Indonesia: Enam Negara Setuju Perangi Keganasan Tanpa Sempadan

Ismira Lutfia Tisnadibrata
2017.07.29
Manado, Indonesia
170729-ID-manado-620.JPG Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia Wiranto (kanan) bersama-sama Peguam Negara Australia George Brandis bercakap kepada para wartawan susulan pertemuan enam negara dalam satu mesyuarat di Manado, Indonesia, 29 Julai 2017.
[Ismira Lutfia Tisnadibrata/BeritaBenar]

Pegawai-pegawai dari Asia Tenggara, Australia dan New Zealand yang bertemu di Indonesia pada Sabtu bersetuju bahawa negara-negara mereka akan menyokong satu sama lain dalam mendepani peningkatan ancaman keganasan yang dikaitkan dengan pertempuran militan yang berkaitan dengan Negara Islam (IS) di Marawi, Filipina.

Para pegawai tinggi dari Indonesia, Malaysia, Filipina dan Brunei menyertai rakan-rakan negara Pasifik mengambil bahagian dalam mesyuarat sehari yang dihoskan oleh Indonesia dan Australia di ibu kota Sulawesi Utara, Manado. Perbincangan mereka memberi tumpuan kepada keganasan di rantau ini yang melingkari lautan Sulu dan Celebes.

"Keganasan global merupakan ancaman maut terhadap semua masyarakat kita dan dengan kejatuhan khalifah di Timur Tengah, kembalinya pejuang pengganas asing ke rantau kita dan peningkatan keganasan merentas sempadan, ia adalah ancaman yang semakin teruk, bukannya semakin berkurangan, dan oleh itu, ia menuntut tindak balas serantau, "kata Peguam Negara Australia George Brandis.

"Masalah itu menyelubungi peristiwa yang berlaku di Marawi baru-baru ini."

Wiranto, menteri penyelaras hal ehwal politik, perundangan dan keselamatan Indonesia berkata, forum itu difokuskan khusus untuk negara-negara di sekitar Laut Sulu bagi mencegah limpahan konflik Marawi ke negara-negara jiran.

"Negara-negara di sekitar Laut Sulu mempunyai kepentingan langsung  keselamatan di sub rantau ini dan kami mengehadkan forum ini di peringkat sub serantau," kata Wiranto dalam sidang berita bersama-sama Brandis selepas pertemuan itu.

Wiranto juga berkata, IS telah mengubah strateginya dengan menempatkan militan secara bertaburan bagi menubuhkan kubu kuat baru di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, berikutan kekalahan mereka di Syria dan Iraq.

"Pada mulanya, mereka mahu menubuhkan kubu kuat baru di Indonesia, di Poso (Indonesia), atau di Marawi (Filipina) tetapi berdasarkan situasi objektif, mereka memilih Marawi," kata Wiranto sambil memberitahu bahawa negara-negara yang mengambil bahagian dalam forum itu telah diberi  taklimat oleh delegasi Filipina mengenai status Marawi di mana tentera kerajaan sedang memerangi militan sejak 23 Mei lalu.

Media sosial

Perbincangan lain forum itu memberi tumpuan kepada penggunaan media sosial militan.

"Keenam-enam negara itu bersetuju bahawa perlunya tindakan segera untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang menyediakan rangkaian sosial, perkongsian kandungan dan perkhidmatan pesanan," kata Wiranto.

Pengganas menggunakan media sosial dan enam negara berkenaan bersetuju untuk belajar daripada satu sama lain dalam menangani propaganda ekstremis, kata beliau.

Kerajaan Indonesia telah menyekat perkhidmatan pesanan dalam talian Telegram awal bulan ini susulan kebimbangan bahawa pengganas menggunakannya untuk menyebarkan propaganda radikal dan mengajar para pengikutnya cara melancarkan serangan atau memasang bom.

Para peserta forum itu juga bersetuju untuk mengkaji undang-undang di setiap negara di mana ekstremis dan militan yang pulang ke negara asal  bersama-sama mereka yang memberikan bantuan dan sokongan kepada militan adalah dianggap sebagai penjenayah. Ini amat penting khususnya bagi Indonesia, dengan pegawai-pegawainya sedang membincangkan pindaan terhadap undang-undang menangani keganasan bagi menjadikan pengganas atau penyokong mereka sebagai penjenayah dan membenarkan kemungkinan penglibatan tentera, sambil mengekalkan rasa hormat terhadap hak asasi manusia.

Brandis turut memuji Wiranto kerana menghimpunkan enam negara berkenaan  untuk menangani masalah sama yang dihadapi mereka dan "untuk membina sebuah kerangka di mana enam negara yang hadir hari ini dapat terus bekerja bersama-sama, belajar daripada satu sama lain,  membantu satu sama lain, untuk memastikan bahawa kita sentiasa berada di hadapan berbanding pengganas. "

Bekerjasama

Penasihat Keselamatan Nasional Filipina Hermogenes C. Esperon Jr menganggap pertemuan itu sebagai berjaya kerana negara peserta dapat belajar daripada satu sama lain.

"Saya fikir kita telah mewujudkan jalinan hubungan yang baik dengan negara-negara yang mempunyai kebimbangan serupa," katanya kepada BeritaBenar selepas forum itu.

Esperon berkata para pemimpin bersetuju untuk bertemu kerana mereka sedar bahawa mereka perlu menjalinkan kerjasama berikutan sifat keganasan tanpa sempadan.

"Keganasan boleh berlaku di mana-mana negara, kerana ia tidak memerlukan  pasukan yang besar. Mereka tidak perlu bergerak dalam formasi besar, ia hanya memerlukan satu minda yang tekad untuk bertindak terhadap kita, itu yang kita mahu cegah, "katanya.

Di Marawi, operasi untuk memerangi militan dilaksanakan manakala medan pertempuran telah dikurangkan daripada asalnya 16 kampung kepada tiga kampung  di kawasan yang padat penduduk. Orang awam masih terperangkap, kata Esperon.

"Kami amat, amat berhati-hati tentangnya. Ia akan menjadi lebih perlahan  tetapi ia mungkin memenuhi matlamatnya kerana dengan mereka bertindak perlahan, kita mungkin dapat menyelamatkan nyawa insan yang tidak berdosa, "katanya.

Wiranto dan Brandis berkata para peserta juga bersetuju untuk mengadakan forum yang sama pada tahun depan.

 

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia Wiranto bercakap kepada para peserta pada mesyuarat keamanan di Manado, 29 Julai 2017. (Ihsan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundangan dan Keselamatan Indonesia)

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.