Malaysia Catat 147 Kes Sabitan Pemerdagangan Orang Sepanjang 2017

Hata Wahari
2018.01.19
Kuala Lumpur
alwi620.jpeg Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri(KDN), Alwi Ibrahim (kanan) mengiringi Timbalan Ketua Pewakilan Kedutaan Besar Amerika di Kuala Lumpur, Dean Thomson pada mesyuarat Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (MAPO) pertama di Putrajaya, 19 Januari 2018.
[Ihsan KDN]

Malaysia telah mencatatkan sebanyak 147 jumlah  sabitan kes pemerdagangan orang pada tahun 2017 iaitu  peningkatan sebanyak 47 kes sabitan berbanding 100  kes pada tahun 2016, demikian menurut pegawai tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) .

Ketua Setiausaha KDN, Alwi Ibrahim memberitahu, kerajaan juga telah bersetuju untuk menubuhkan mahkamah sesyen anti-pemerdagangan dalam mempercepatkan pengurusan kes berkaitan itu selaras usaha memastikan aspek kebajikan dan hak asasi mangsa pemerdagangan orang terus terpelihara mulai Mei depan.

“Sepanjang tahun 2017, jumlah sabitan kes pemerdagangan orang adalah sebanyak  147 sabitan berbanding 100 sabitan pada tahun 2016,” kata Alwi dalam satu kenyataan pada Jumaat selepas mempengerusikan mesyuarat majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) pertama bagi tahun ini di Putrajaya.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Dean Thompson dan juga wakil-wakil Ketua Setiausaha serta ketua jabatan yang terdiri daripada ahli MAPO.

Alwi berkata pada tahun lalu, seramai 150 orang mangsa pemerdagangan orang telah menerima insentif bulanan manakala 95 orang mangsa telah menikmati kebenaran untuk bergerak bebas dan bekerja di Malaysia.

Tambah beliau, beberapa agenda telah dirancang untuk menambah baik program kebenaran bekerja melalui penglibatan secara langsung dalam industri, selain pemeteraian dokumen kerjasama antara kerajaan dan majikan dalam setiap sektor yang telah dikenalpasti.

Alwi juga menegaskan, dari aspek pencegahan, Malaysia juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan negara sumber termasuk dengan pejabat kedutaan serta sektor industri yang terlibat untuk terus dipertingkat dalam memastikan elemen anti-pemerdagangan orang diterapkan di semua peringkat masyarakat.

Disamping itu, katanya kesemua ahli MAPO telah juga  menandatangani ikrar bebas rasuah untuk membanteras sebarang pelakuan rasuah dan salah guna kuasa semasa melaksanakan tugas untuk menghapuskan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan program tahunan serta insiatif baru yang bakal diperkenalkan dalam usaha memperkasakan perundangan, memperkukuhkan kerjasama antara agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam siasatan kes serta pengurusann mangsa pemerdagangan orang.

Pada Jun tahun lepas, Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia [TIP] 2016, telah menaikkan kedudukan Malaysia dari tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian,  setahun selepas ia terjebak dalam krisis penghijrahan manusia merentasi Asia Tenggara dan penemuan kubur-kubur di dalam hutan di kedua-dua belah sempadan Malaysia dan Thailand pada Mei 2015, yang mengandungi mayat-mayat etnik Islam Rohingya dari Myanmar dan pendatang Bangladesh yang diperdagangkan.

“Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya standard minima untuk membanteras pemerdagangan manusia, bagaimanapun, ia sedang melaksanakan usaha-usaha penting untuk menangani masalah tersebut," kata Pejabat bagi Memantau dan Memerangi Pemerdagangan Manusia dalam laporan tahunannya mengenai keadaan pemerdagangan manusia di seluruh dunia.

Laporan itu turut menyebut,"Kerajaan telah menyoal siasat beberapa pegawai selepas penemuan sejumlah besar kubur di sempadan Thailand, tetapi tidak mendakwa mana-mana pegawai yang bersubahat dalam jenayah pemerdagangan manusia, dalam tempoh Laporan itu,"

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pada tahun lepas menegaskan kerajaan Malaysia melalui MAPO sentiasa komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang dengan menyeru semua pihak memainkan peranan yang lebih penting menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasaan.

Pada 28 November 2017, Jabatan Peguam Negara Malaysia telah mencatat sebanyak 91 sabitan kesalahan menerusi Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) (ATIPSOM) bagi sepanjang tahun sehingga 24 November 2017, berbanding hanya tujuh sabitan untuk tempoh yang sama pada tahun 2016.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata, susulan siasatan berkaitan penemuan kubur besar di Wang Kelian itu, seramai 15 individu telah didakwa di mahkamah dengan tiga daripadanya disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta 670 manakala seorang lagi masih menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis.

Mengenai penguatkuasaan, Ahmad Zahid dalam kenyataan itu juga memberitahu bahawa  sebanyak 403 kes telah disiasat dengan tangkapan 679 individu dibuat sepanjang tahun lalu termasuk kes-kes yang melibatkan eksploitasi seks, perkhidmatan paksa dan pemindahan organ.

"Seramai 42 penjawat awam dari agensi penguatkuasaan telah ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya atas kesalahan berkaitan aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran,”katanya.

Tambahnya, seramai 1,130 mangsa telah diberikan perlindungan rumah oleh mahkamah dengan majoriti yang dieksploitasikan terdiri daripada kaum wanita.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.