Kehadiran Pejuang Asing Rumitkan Pertempuran di Selatan Filipina
2017.06.05
Washington DC

Kerajaan-kerajaan Asia Tenggara sedang berusaha untuk menentukan berapa ramai militan asing yang mempunyai kaitan dengan Negara Islam berada di selatan Filipina, setahun selepas pemimpin-pemimpin IS menggesa para pengikutnya, yang tidak dapat ke Syria atau Iraq, sebaliknya pergi ke pulau Mindanao.
Para pegawai Tentera Filipina telah mengenal pasti rakyat dari enam negara dalam kalangan lebih 120 orang disyaki ekstremis yang mempunyai kaitan dengan IS, yang terbunuh di selatan bandar Marawi, di mana pertempuran ganas mereka dengan tentera kerajaan kini memasuki minggu ketiga.
Para pejuang asing yang terbunuh itu bertempur bersama-sama ahli-ahli bersenjata Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang dibantu oleh geng Maute dengan ahli-ahlinya termasuk rakyat Indonesia, Malaysia dan Singapura serta Chechnya, Arab Saudi dan Yaman, kata Tentera Filipina.
Bercakap dalam satu persidangan mengenai keselamatan antarabangsa di Singapura pada hujung minggu lalu, Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa "seramai 1,200 ahli ISIS berada di Filipina, dengan kira-kira 40 orang daripadanya adalah dari Indonesia."
Semasa memberi maklum balas kepada komen Ryacudu di Dialog Shangri-La, satu forum keselamatan serantau tahunan yang dianjurkan Singapura, Setiausaha Pertahanan Filipina Ricardo David berkata, beliau tidak mengetahui tentang angka itu.
"Saya benar-benar tidak tahu, angka saya adalah kira-kira 250 hingga 400 orang, yang nyata banyak bezanya," katanya kepada pemberita pada persidangan itu dihadiri oleh pegawai-pegawai dari 39 negara.
Pertempuran di Marawi meletus pada 23 Mei lalu selepas Isnilon Hapilon, komander Abu Sayyaf yang diiktiraf sebagai pemimpin cawangan IS di Filipina, telah dikesan di bandar itu.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah mengisytiharkan undang-undang tentera di selatan negaranya selepas kumpulan militan mengambil alih sebahagian besar Marawi, yang menunjukkan kumpulan berkaitan IS telah dapat menawan wilayah di luar Syria dan Iraq buat pertama kalinya. Tentera Filipina berusaha merampas semula sebahagian besar Marawi, yang ditinggalkan para penduduknya, daripada pihak militan namun ia nampaknya mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.
"Kumpulan itu menawan Bandar Marawi ... membuktikan potensi mereka untuk menjadikan Mindanao sebagai wilayat (daerah) ISIS bagi para militan Asia Tenggara," kata Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu laporan yang menilai ancaman keganasan di Asia Tenggara. Ia dikeluarkan awal bulan ini dan merujuk IS dengan akronim lain.
Marawi jadi 'pengubah strategi’
Usaha perekrutan IS memberi tumpuan kepada meningkatkan kekuatan kumpulan ekstremis di Filipina, kata Sidney Jones, pengarah Institut Analisis Dasar Konflik (IPAC), sebuah badan pemikir yang berpejabat di Jakarta.
"Apa yang jelas ialah pada tahun lepas, adanya aliran desakan menerusi Telegram daripada rakyat Indonesia di Syria dan para penyokong ISIS di Indonesia tentang Filipina sebagai tempat yang harus dikunjungi. Memandangkan semakin sukar menyeberangi sempadan Turki ke Syria, mesej di media sosial telah berubah daripada 'sertai kami di Syria' kepada 'pergilah ke perjuangan yang dekat dengan tanah air',"kata Jones kepada BeritaBenar.
"Ironinya, ketika kerajaan-kerajaan Barat seperti Amerika Syarikat dan Australia melihat bahaya besar dibawa oleh pejuang asing yang datang dari Syria dan Iraq ke Filipina, sebenarnya, ancaman yang lebih besar adalah daripada bakal pejuang rantau ini yang tidak pernah menjejakkan kaki di Timur Tengah, "katanya.
Pada Jun 2016, IS mengeluarkan satu video propaganda yang menunjukkan seorang rakyat Filipina, seorang warganegara Indonesia dan seorang rakyat Malaysia muncul bersama-sama untuk menggesa umat Islam supaya berjuang di Syria atau Filipina.
"Jika anda tidak boleh pergi ke [Syria], sertai kami dan pergilah ke Filipina," kata ahli IS Malaysia, Rafi Udin, dalam video berdurasi 20 minit itu.
Beliau juga menggesa penyokong IS di tanah air supaya menggunakan sebarang cara untuk membunuh orang bukan Islam dan mereka yang tidak beriman "di mana sahaja anda bertemu dengan mereka."
Dalam video itu, ketiga-tiga lelaki itu melaksanakan apa yang kelihatan seperti pemenggalan kepala tiga tahanan, yang tangan mereka diikat dan berpakaian jingga. yang melutut di hadapan mereka.
Rommel Banlaoi, yang menerajui Institut Filipina bagi Penyelidikan Keamanan, Kekerasan dan Keganasan yang berpejabat di Manila berkata, kerajaan-kerajaan rantau ini perlu berubah dalam usaha mereka memerangi kumpulan ekstremis.
"Keadaan yang berlaku di Marawi adalah pengubah strategi dalam usaha Filipina menangani pemberontakan dan memerangi keganasan. Pertempuran di Marawi menunjukkan pertalian rumit antara penentangan pihak bersenjata tempatan dan keganasan antarabangsa, "katanya kepada BeritaBenar.
“Kesan daripada krisis Marawi tidak akan menamatkan konflik bersenjata secara automatik kerana kumpulan-kumpulan ancaman yang berdepan tentera kerajaan dilihat mempunyai keupayaan daya tahan untuk berkembang dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan keadaan baru muncul," jelas beliau.
Malaysia, Indonesia buru pejuang
Di Kuala Lumpur, Ketua Polis Malaysia berkata segelintir militan dari negaranya terlibat dalam pertempuran di Marawi.
"Berdasarkan risikan dan berita, terdapat lima rakyat Malaysia di bandar Marawi. Tiga orang telah terbunuh dan kita, pada masa ini, sedang mengesahkan jumlah rakyat Malaysia yang ada di Marawi, " kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar.
Di Jakarta, jurucakap Polis Indonesia Setyo Wasisto berkata, kira-kira 38 warganegara Indonesia pergi ke selatan Filipina tahun lepas, tetapi tidak semuanya mempunyai kaitan dengan pertempuran di Marawi.
"Empat orang terbunuh di Marawi dan 22 masih lagi berada di selatan Filipina. Kita tidak tahu tentang keadaan mereka,"katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat, tanpa mengenal pasti empat yang terbunuh itu. Seramai 12 orang rakyat Indonesia sedang menunggu untuk dihantar pulang selepas ditahan oleh pasukan keselamatan Filipina, katanya.
Nasir Abbas, seorang penganalisis keganasan dan bekas anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, berkata, jumlah rakyat Indonesia yang berada di Filipina mungkin lebih ramai berbanding apa yang diunjurkan kerajaan.
"Saya fikir bilangannya mungkin lebih daripada 80 orang kerana selatan Filipina sentiasa menjadi pusat latihan ketenteraan di Asia Tenggara," katanya kepada BeritaBenar. "Kumpulan-kumpulan radikal di Indonesia mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan-kumpulan di Filipina," katanya.
Seorang lagi penganalisis keganasan memberitahu BeritaBenar bahawa jumlah itu mungkin lebih tinggi.
"Sel-sel yang menyokong IS di Indonesia mempunyai hubungan yang rapat dengan para pengganas Filipina," kata Al Chaidar, seorang penganalisis keganasan daripada Universitas Malikussaleh di wilayah Aceh.
Rondaan bersama
Mindanao terletak berhampiran Sabah, negeri Malaysia Timur, di mana pihak berkuasa tempatan memberi amaran pada Januari lalu bahawa sel-sel yang mempunyai kaitan dengan IS merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat transit untuk menghantar para pejuang ke selatan Filipina.
Sebelum ini, angkatan tentera Malaysia telah mengerahkan aset-asetnya ke Sabah, termasuk bot-bot rondaan, untuk melindungi 'kawasan yang dikenal pasti sebagai terdedah kepada kemasukan dari selatan Filipina".
Laut yang memisahkan selatan Filipina dari borneo Malaysia dan Indonesia juga bergolak sejak 2016 dengan perbuatan lanun dan penculikan maritim pelayar daripada kapal-kapal perdagangan oleh ahli-ahli bersenjata Kumpulan Abu Sayyaf. Sejak tahun lepas, ketiga-tiga negara berjiran itu berikrar untuk melancarkan rondaan bersama dengan matlamat untuk melindungi kapal-kapal daripada serangan serupa tetapi rondaan bersama itu telah beberapa kali ditangguhkan.
Pada persidangan Dialog Shangri-La, Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa rondaan bersama yang ditunggu sejak sekian lama kini bersedia untuk dimulakan.
"Malaysia, Filipina dan Indonesia akan melancarkan rondaan laut bersama di perairan Mindanao bulan ini bagi memerangi sebarang ancaman daripada kumpulan militan Daesh yang mahu mewujudkan sebuah khalifah di Asia Tenggara," katanya kepada BeritaBenar pada Isnin, dengan menggunakan nama lain bagi IS .
"Rondaan bersama di perairan yang bersempadan dengan tiga negara ini akan bermula pada 19 Jun namun rondaan udara akan dilaksanakan sejurus selepas itu."
Para pegawai dari Filipina dan Indonesia tidak segera membalas permintaan BeritaBenar 'untuk pengesahan tarikh berkenaan.
Hata Wahari di Kuala Lumpur dan Rina Chadijah di Jakarta menyumbang kepada laporan ini.