Maria Gagal Cabar Keputusan Sekatan Perjalanan

Hata Wahari
2017.05.18
Kuala Lumpur
170518-MY-MARIA620.jpg Maria Chin Abdullah, Pengerusi gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan aktivis Malaysia [BERSIH] di satu majlis di Kuala Lumpur, 14 September 2016.
AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menolak permohonan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang membuat semakan kehakiman mencabar keputusan kerajaan Malaysia mengenakan sekatan perjalanan keluar negara terhadapnya pada 15 Mei tahun lepas.

Maria telah dikenakan sekatan perjalanan keluar negara pada 15 Mei dan mengetahui mengenainya semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika hendak berlepas ke Korea Selatan untuk menerima Anugerah Hak Asasi Gwangju 2016 serta menyampaikan ceramah di Seoul dan Busan.

Bagaimanapun, sekatan perjalanan keatas Maria telah ditarik balik oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada 17 Mei iaitu dua hari selepas sekatan perjalanan itu dikenakan terhadapnya.

Di mahkamah pada Khamis, Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan bahawa Seksyen 59A (1) Akta  Jabatan Imigresen Malaysia 1959 dengan jelas menyatakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen tidak tertakluk kepada semakan kehakiman kecuali atas alasan prosedur.

Hakim berkenaan berkata, dengan itu ia menjadikan permohonan tersebut bersifat akademik setelah sekatan itu ditarik balik.

"Dengan dua alasan ini sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa keputusan larangan ke atas pemohon tidak boleh disemak. Peruntukan ini dengan jelas menunjukkan niat legislatif bahawa keputusan Ketua Pengarah dan Menteri Dalam Negeri tidak boleh disemak di mana-mana mahkamah,” kata Hakim Nik Hasmat.

Hakim Nik Hasmat juga menegaskan bahawa, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen juga dikecualikan daripada memberi sebab kepada sesiapa sahaja yang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Maria sebelum ini menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik serta membuktikan bahawa kerajaan Malaysia terdesak apabila melibatkan isu-isu tertentu di dalam negara.

Cabar kuasa sekatan


Maria memfailkan semakan kehakiman itu bagi mencabar sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya. Permohonannya berasaskan perlunya ada semakan terhadap pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Imigresen Malaysia, yang mengenakan sekatan perjalanan ke luar negara ke atas warganegara pada bila-bila masa yang mereka fikirkan wajar.

Maria turut membuat permohonan untuk mengelakkan dikenakan sekatan perjalanan pada masa depan keatasnya dengan menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dan Menteri Dalam Negeri sebagai respondan kepada permohonan yang difailkan pada 28 Julai tahun lepas.

Gurdial Singh Nijhar mewakili Maria manakala Peguamcara Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mewakili Menteri Dalam Negeri dan Ketua  Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

Gurdial dalam reaksi beliau berkata keputusan mahkamah menjelaskan bahawa apa yang dikatakan oleh hakim pada Khamis adalah Parlimen boleh membuat sebarang undang-undang yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa sahaja kecuali berkaitan dengan hal-hal prosedur.

Rakyat Malaysia dinafikan hak untuk mencabar keputusan yang dibuat dibawah undang-undang dalam kes ini merujuk kepada Seksyen 59 A (1) Akta Jabatan Imigresen 1959, katanya.

“Oleh itu ketuanan Parlimen dalam kes ini telah dinobatkan, saya berpendapat mahkamah perlu membuat semakan sama ada Parlimen dan eksekutif telah melampaui batas kuasa yang ada pada mereka,” tegasnya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Gurdial berkata, beliau telah diarahkan oleh anakguamnya untuk membuat semakan .

Maria ketika dihubungi oleh BeritaBenar pula menegaskan, beliau merasa kecewa kerana ada hakim yang enggan untuk menguatkuasakan pengasingan kuasa serta berlaku sebagai pengimbang kepada kuasa Parlimen dan eksekutif.

“Saya akan membuat rayuan kerana keputusan hari ini bukan sahaja mengenai saya, ia membabitkan interpetasi yang sempit dan berkaitan dengan kebebasan individu malah melibatkan pengasingan kuasa Parlimen dan eksekutif dalam hak-hak rakyat," katanya pada Khamis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.