Maria Lepas Jawatan Pengerusi BERSIH, Mahu Bertanding Pada PRU
2018.03.05
Kuala Lumpur

Maria Chin Abdullah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi BERSIH untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum [PRU] akan datang sebagai calon bebas bagi pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH), katanya ketika dihubungi oleh BeritaBenar pada Isnin.
“Saya telah memutuskan untuk melepaskan jawatan dalam Bersih sebagai pengerusi dan mengambil cabaran baru dalam arena politik,” katanya ketika dihubungi.
Maria berkata, satu sidang media akan dibuat secara bersama dengan BERSIH di North South Initiative, Petaling Jaya mengenai perkara itu, pada Selasa.
Beliau turut memberitahu yang beliau bercadang untuk bertanding sebagai calon bebas bagi Pakatan Harapan pada PRU akan datang.
Namun, Maria enggan mengulas lanjut, bila diminta untuk menyatakan parti pembangkang mana menjadi pilihan beliau untuk menjadi calonnya.
Wanita itu sebaliknya menjelaskan yang maklumat terperinci mengenai keputusan beliau itu akan dimaklumkan pada sidang media yang akan diadakan pada Selasa.
Pada Mac tahun lalu, Maria bersama lima lagi wanita Asia Tenggara telah diberi pengiktirafan oleh Amnesty International [AI] atas semangat keperwiraan dalam memberi inspirasi kepada masyarakat dan memperjuangkan hak asasi manusia sempena sambutan Hari Wanita peringkat antarabangsa.
Pada Disember pula, BERSIH [Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil] yang diketuai Maria telah memenangi anugerah “Asia Democracy and Human Rights” dari Taiwan.
Bina semula Malaysia yang lebih baik
Para pemimpin PH yang mengalu-alukan pengumuman Maria, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Fahmi Fadzil berkata kepada BeritaBenar bahawa pengumuman Maria itu menunjukkan bahawa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan pelbagai tujuan di negara ini, kini bersama-sama untuk membina semula Malaysia yang lebih baik.
“Kita lihat lebih ramai NGO dan professional kini menyokong PH. Ini merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi pakatan pembangkang untuk menarik sokongan dari semua lapisan kelompok masyarakat di negara ini,” katanya pada Isnin.
Di bawah perlembagaan Malaysia, pilihan raya umum perlu diadakan setiap lima tahun, dan yang berikutnya harus diadakan sebelum Ogos tahun ini.
Pembangkang hampir berjaya menumpaskan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi sejak itu berjuang untuk menampilkan pakatan yang lebih bersatu di dalam pilihan raya umum akan datang.
PRU ke-14 paling lewat perlu diadakan pada Ogos tahun ini. Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat pada Isnin - kemungkinan sidang Dewan Rakyat yang terakhir sebelum pilihan raya umum.
Parti-parti komponen PH dilaporkan telah mula merekrut aktivis sosial, ahli akademik dan penganalisis untuk bertanding pada PRU akan datang.
Pemimpin PH dan BERSIH juga menuntut kerajaan membenarkan kehadiran pemantau pilihanraya antarabangsa yang bebas semasa pilihan raya akan datang.
Individu lain
Minggu lalu, pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan dijangka bertanding untuk merebut kerusi Parlimen pada PRU ke-14.
Bagaimanapun, Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff melihat keputusan Maria untuk bertanding sebagai membuktikan bahawa NGO berpihak kepada pembangkang.
Katanya, tindakan Maria itu mencerminkan bahawa Bersih merupakan platform untuk kepentingan PH yang diketuai DAP dan jelas bercanggah dengan kenyataan bahawa NGO tersebut adalah sebuah badan bebas.
“Perkara berkenaan sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pemimpin-pemimpin Bersih sebelum ini, termasuk A. Samad Said dan S. Ambiga, telah mengisytihar secara terbuka untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya,” katanya.
Maria sebelum ini telah ditahan selama 10 hari di bawah undang-undang keselamatan negara pada 19 November 2016 iaitu pada malam sebelum perhimpunan bantahan besar-besaran yang beliau dan aktivis Bersih lain anjurkan di Kuala Lumpur bagi mengetengahkan dakwaan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal rasuah. Najib menafikan dakwaan itu.
Beliau menggambarkan bagaimana pegawai polis menutup matanya semasa mereka mengiringinya setiap pagi untuk disoal siasat selama beberapa jam berhubung pergerakan akar umbinya serta kaitan gabungan itu dengan sebuah NGO yang berpejabat di Amerika Syarikat.
Maria juga menganggap penangkapannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) - yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa didakwa – sebagai tidak sah.