Wajar Tahan Pemimpin Bersih, Ketua Polis Malaysia
2016.11.23
Putrajaya

Ketua Polis Malaysia pada Rabu menafikan dakwaan bahawa pemimpin Bersih telah dizalimi dalam kurungan, dan turut mengesahkan bahawa Maria Chin Abdullah ditahan kerana terlibat dalam aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.
Maria, pengerusi gabungan badan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil Malaysia [Bersih] ditahan pada 18 Nov lepas, kerana beberapa dokumen yang ditemui semasa serbuan keatas pejabat Bersih pada hari berkenaan, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
Maria ditahan menjelang perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, yang beliau dan beberapa aktivis lain terlibat dalam penganjurannya dalam usaha untuk memaparkan penglibatan Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal rasuah dana negara 1MDB, yang telah dinafikan oleh Najib.
“Dia [Maria] ditahan kerana kami dapati dia boleh mengancam keselamatan negara, " kata Khalid pada sidang media yang enggan mendedahkan kandungan dokumen yang kini dalam siasatan.
Sejak penahanannya, Maria telah menerima rawatan perubatan yang mencukupi, kata Khalid sambil mempertahankan dirinya daripada kritikan kumpulan NGO. Dalam satu surat yang dikeluarkan secara bersama, badan-badan bukan kerajaan itu telah mendesak supaya Maria dibebaskan, sambil mendakwa beliau kini dikurung di dalam sebuah sel yang bertingkap kecil dengan lampu yang terpasang sepanjang masa.
"Doktor juga telah melawatnya sebanyak tiga kali sejak berada dalam tahanan," kata Khalid sambil menambah doktor sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kecemasan.
Pada Selasa, Maria menerima lawatan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), yang diketuai oleh Razali Ismail. Razali berkata Maria kelihatan berada dalam keadaan sihat dan sel tahanannya di dalam keadaan bersih.
"Apa yang dipanggil katil tidak mempunyai tilam dan beliau perlu mandi dengan air sejuk. Beliau perlukan tilam, sekurang-kurangnya untuk mengurangkan ketidakselesaan katil kayu.
"Maria juga telah meminta senaskhah Al-Quran dan bahan-bahan bacaan, dan juga mahu berjumpa dengan anak-anak dan keluarga," kata Razali tentang lawatan 90 minit beliau itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Khalid berkata, Maria tidak membuat permintaan tetapi pihak polis cuba menyediakan kesemua kelengkapan jika ada sebarang permintaan dibuat.
Penangkapan dikaitkan dengan dokumen
Maria telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang membenarkan pihak berkuasa menahan beliau selama 28 hari tanpa dakwaan, Khalid mengesahkannya.
"SOSMA boleh digunakan bukan sahaja untuk anti-keganasan tetapi juga untuk penyeludupan manusia dan juga sebagai kesalahan yang boleh mengancam keselamatan negara," kata Khalid, mempertahankan penangkapan itu.
Maria adalah antara 24 penganjur dan penyokong perhimpunan Bersih bersama-sama dengan kumpulan perhimpunan Baju Merah yang ditahan sebelum, semasa dan selepas perhimpunan Bersih 5. Kesemua mereka telah dibebaskan, kecuali Maria.
Jamal Md Yunos, pemimpin pro-kerajaan kumpulan Baju Merah, dan tiga aktivis dari kumpulannya telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa.
"SUHAKAM terus berpegang kepada kedudukan bahawa Maria Chin Abdullah tidak wajar dipenjarakan dan menegaskan bahawa mengikut Perkara 9 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, tidak ada sesiapa pun boleh dikenakan tangkapan sewenang-wenangnya, ditahan atau dibuang negeri," kata Razali, sambil menambah Maria telah disoal siasat selama tiga jam sejak penahanannya
Sejak Isnin, beratus-ratus rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam perhimpunan menyalakan lilin di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, menuntut pembebasan Maria.
Perhimpunan itu akan terus diadakan setiap malam sehingga beliau bebas, kata seorang pegawai Bersih.
Siasatan kaitan OSF
Sementara itu, polis sedang menyiasat kemungkinan Bersih mempunyai kaitan dengan Open Society Foundations (OSF) yang dibiayai oleh George Soros. Khalid berkata Maria telah mengaku menerima dana dari OSF.
"Kita mengetahui tentang rekod OSF. Berapa banyak negara telah mereka jatuhkan, " kata Khalid tanpa memberikan maklumat lanjut mengenainya.
Chin mengakui kumpulannya telah menerima wang sebanyak RM70,000 ringgit (AS$ 15,750) dari OSF antara tahun 2010 dan 2011, tetapi OSF menafikan dakwaan Khalid, lapor portal Asia Sentinel.
"Open Society Foundations berbangga menyokong masyarakat sivil di Malaysia selama 10 tahun. Mendakwa pembiayaan Open Society Foundations digunakan untuk menggulingkan kerajaan di Malaysia adalah palsu sepenuhnya, " kata kumpulan itu dalam satu kenyataan melalui e-mel kepada South China Morning Post.