Malaysia Haramkan Penganjuran Kursus Marxisme Kilat
2016.03.02
Kuala Lumpur
Malaysia mengharamkan penganjuran Kursus Marxisme Kilat, yang dijadualkan berlangsung di Selangor, dengan Ketua Polis Negara memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang terlibat.
Khalid Abu Bakar dalam laman Twitter miliknya @KBAB51 pada Rabu memberi amaran bahawa polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta kursus, yang antara lain akan membincangkan topik melibatkan pemikiran tokoh falsafah Jerman, Karl Marx.
Karl Marx adalah seorang ahli falsafah, politik dan pakar teori kemasyarakatan dengan aliran pemikirannya berkait rapat dengan sistem ekonomi, sosial dan politik yang berunsurkan komunisme dan bukunya ‘Das Kapital’ memaklumkan bagaimana komunisme mencorak satu teori ekonomi yang bertentangan dengan kapitalisme.
Kursus anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM), sebuah parti politik di negara itu, bersama pakatan berhaluan kiri yang dikenali sebagai Gabungan Kiri dijadual mengadakan kursus berkenaan di Kedai Buku Gerak Budaya di Petaling Jaya, pada 20 Mac depan.
“Bukan sahaja penganjur, peserta yang menghadiri kursus menyalahi undang-undang, akan turut diambil tindakan oleh @PDRMsia,” catat Ketua Polis itu dalam amaran kedua melalui akaun twitternya pada Rabu.
Pada Feb 27 lepas, Khalid turut menghantar pesanan yang sama dalam akaunnya itu dengan berkata “usaha menghidupkan fahaman komunis @PDRMsia tidak akan membenarkan kursus ini dijalankan. Penganjur akan dipanggil” bersama gambar poster yang dikeluarkan oleh penganjur kursus berkenaan di laman media sosialnya itu.
Kerajaan Malaysia pernah memerangi fahaman komunis yang di dukung oleh Parti Komunis Malaya (MCP) di antara 1968 sehingga 1989 yang akhirnya membawa kepada satu perjanjian damai yang ditandatangani di Haatyai pada 2 Dis 1989, dengan Thailand menjadi mediator.
‘Selar tindakan’
Dalam pada itu seorang ahli Jawatankuasa PSM, S. Arutchelvan yang juga koordinator penganjur, menyelar tindakan Khalid yang mahu mengharamkan acara berkenaan yang didakwanya “tanpa sebarang usul periksa.”
“Ketua Polis Negara tidak boleh mengharamkan sesuatu acara hanya menggunakan Twitter. Dia mesti memberitahu di bawah peruntukan undang-undang mana yang diguna pakai oleh Polis untuk mengharamkan program berkenaan selain mendapati PSM bersalah,” katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Katanya, Khalid tidak boleh mengharamkan sesuatu acara tanpa menyelidik kandungan terlebih dahulu sambil mempersoal di mana letaknya hak asasi manusia serta kebebasan maklumat, bersuara dan berpersatuan di Malaysia.
“Saya dimaklumkan bahawa pegawai polis cawangan khas telah pergi ke premis Gerakbudaya dan mahukan pemiliknya ke balai polis untuk disoal siasat,
“Saya juga menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai ASP Lim Chee Koon dari IbuPejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang mahu merekodkan kenyataan saya dan juga pensyarah lain,” tambah beliau lagi.
‘Kritikan sistem kapitalis’
Poster publisiti kursus itu telah mula diedarkan sejak beberapa minggu lepas termasuk di laman media sosial dengan menampilkan gambar Karl Marx.
Antara topik yang akan dibincangkan pada kursus adalah mengenai kritikan aliran pemikiran Marxist terhadap sistem kapitalis, selain kegagalan pentadbiran komunis semasa rejim Pol Pot di Kemboja dan pemerintahan Korea Utara.
Arutchelvan juga mendakwa, buku-buku berkaitan Marx dan Marxisme boleh didapati dengan mudah di semua rak-rak buku di perpustakaan awam dan universiti selain topik Marxisme juga diajar di kebanyakan universiti di dunia dan universiti tempatan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Khalid dalam memerangi Marxisme dan Komunisme kerana UMNO, parti terbesar di Malaysia dan juga menjadi tulang belakang kerajaan campuran Barisan Nasional yang memimpin negara itu, turut mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan komunis seperti Cuba, China dan Vietnam.
“Ini adalah era selepas perang sejuk dan ia seolah-olah KPN masih terjebak dengan perintah dunia lama,” katanya.
Arutchelvan mendakwa tindakan Khalid menghangatkan isu kursus tersebut adalah untuk “melencongkan” mata rakyat terhadap isu-isu lain yang lebih mendesak yang dihadapi Malaysia pada masa ini.
PSM yang bertanding di bawah logo Parti Keadilan Rakyat dalam pilihanraya sebelum ini ditubuhkan pada tahun 1998.
Ia dinafikan pendaftaran sebagai parti politik oleh Kerajaan Malaysia kerana dilihat sebagai “satu ancaman kepada keselamatan negara." Namun pada Jun 2008, Kementerian Dalam Negeri membenarkan PSM didaftar sebagai parti politik.