Malaysia-Australia Kongsi Maklumat Menentang Keganasan

Hata Wahari
2017.03.14
Kuala Lumpur
170314-my-mas-aus.jpg Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein dan Menteri Luar Australia Julie Bishop semasa pertemuan dua hala di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 14 Mac 2017.
[Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysia]

Malaysia dan Australia bersetuju untuk mempertingkatkan  kerjasama keselamatan terutama dalam perkongsian maklumat risikan mengenai militan Negara Islam (IS) di Asia Tenggara, kata Menteri Pertahanan Malaysia selepas bertemu Menteri Luar Australia pada Selasa.

Hishammuddin Hussein memberitahu kerjasama perkongsian maklumat itu akan dibuat melalui Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, dalam usaha mengesan dan menghadapi  kemungkinan militan Negara Islam dari Syria dan Iraq akan pulang.

“Australia akan berkerjasama dengan Malaysia melalui Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman yang merupakan inisiatif bersama antara saya dan Timbalan Putera Raja Arab Saudi, Raja Muhammad Salman dalam menangani gerakan IS,

“Perkongsian maklumat perisikan akan melibatkan ahli akademik, universiti dan cendekiawan termasuk menawan hati dan pemikiran rakyat yang mungkin dipengaruhi kumpulan militan itu  dan propagandanya,`` katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Australia, Julie Bishop di Bangunan Parlimen pada Selasa.

Ujar beliau, persetujuan itu dicapai memandangkan  ancaman IS dijangka akan meningkat berikutan kawasan yang dikuasai oleh kumpulan itu di Iran dan Syria semakin mengecil.

Arab Saudi dan Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan penubuhan pusat itu ketika  Raja Salman bin Abdul Aziz al-Saud mengakhiri lawatannya ke Malaysia, baru-baru ini.

Pusat Raja Salman bagi Keamanan Antarabangsa,  dijadual akan dilancarkan dalam masa tiga bulan, akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memerangi keganasan global.

Pusat berkenaan akan ditubuhkan dengan kerjasama Pusat Intelek Peperangan di Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Pusat Keselamatan dan Pertahanan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Liga Islam Sedunia, menurut kenyataan bersama kedua-dua negara sebelum ini.

Ramai militan akan kembali

Hishammuddin berkata ramai militan IS dijangka akan kembali ke negara asal terutama ke Asia Tenggara termasuk  Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Operasi ketenteraan yang sedang dilaksanakan oleh gabungan Amerika Syarikat (AS) sejak Oktober lepas terutama di Mosul, Iran akan memaksa  beratus-ratus militan untuk kembali ke negara asal dan penyokong dari Asia Tenggara tidak terkecuali dalam perkara ini,” katanya yang  menerima kunjungan Julie Bishop yang sedang dalam mengadakan  lawatan rasmi ke beberapa negara ASEAN [Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara] termasuk  Malaysia.

Beliau berkata,  Australia juga bersetuju untuk menyediakan sokongan teknologi dan peralatan dalam usaha untuk menangani ancaman IS yang semakin meningkat di rantau ini terutamanya kumpulan militan Abu Sayyaf yang telah berjanji setia dengan IS.

"Pengalaman Australia menangani penularan pengaruh ekstremis boleh dijadikan rujukan kepada kita dalam menangani ancaman itu di sini," katanya

Selain itu, Menteri Pertahanan Malaysia juga memberitahu antara perkara lain yang dibincangkan bersama Menteri Luar Australia itu ialah mengenai isu Laut China Selatan.

Sejak tahun 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan seramai 285 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan IS, di mana 66 daripada mereka telahpun dibebaskan, menurut angka terkini daripada kerajaan yang diperolehi BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.