Malaysia Kaji Tawaran Jual-Beli Malaysia Airlines Berhad, Mahathir

Ali Nufael
2019.03.20
Kuala Lumpur, Malaysia
190320-MY-MalaysiaAirlines1000.jpg Pesawat Penerbangan Malaysia bersedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur [KLIA] di Sepang, berhampiran Kuala Lumpur, 11 Disember 2014.
[AFP]

Pentadbiran Putrajaya sedang mengkaji pelbagai tawaran yang diterima daripada beberapa entiti untuk membeli syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines Berhad [MAS], yang berdepan dengan krisis kewangan, kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Rabu.

Mahathir berkata, MAS gagal untuk membuat keuntungan walaupun menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dan juga tenaga luar, maka atas sebab itu kerajaan sedang mengkaji dan tidak menolak sebarang cadangan penjualan.

“Kita sedang menganalisa keadaan sama ada kita patut jual atau tidak. Kita pernah mengambil pengurusan luar negara untuk menguruskan MAS tetapi kita masih rugi. Hanya satu cara sahaja untuk mengubah ini, iaitu dengan menjualnya,” kata Mahathir.

Mahathir berkata pelbagai tawaran telah diterima dari organisasi dalam dan luar negara tetapi secara peribadinya, Perdana Menteri itu mahu MAS terus beroperasi sambil mengaku yang kewangan kerajaan tidak begitu stabil untuk terus membantu syarikat penerbangan berkenaan.

“Saya sayangkan MAS dan mahunya ianya terus menjadi syarikat penerbangan kebangsaan tetapi kita tidak mampu (untuk menguruskannya),” kata Mahathir.

Beliau turut memberitahu pemberita di Parlimen bahawa kerajaan sehingga kini telah menyalurkan 6 bilion ringgit dana kepada MAS dalam usaha menyelamatkannya tetapi pihak pengurusan gagal menggunakan sepenuhnya bantuan tersebut dalam mengembalikan MAS ke zaman kegemilangannya.

“Kerajaan beri 6 bilion ringgit tetapi MAS mengambil keputusan untuk membuang 6,000 pekerja dan menutup beberapa laluan destinasi jadi tiada sebarang penambahbaikan berlaku,” kata Mahathir.

Jual jika merugikan

Nazari Ismail, pakar ekonomi yang bertugas di Universiti Malaya memberitahu BeritaBenar bahawa kerajaan patut menjual syarikat penerbangan itu jika tidak mampu lagi untuk menguruskannya.

“Tidak ada makna kerajaan terus memberikan dana jika tiada perubahan positif. Ia juga membazirkan duit rakyat,” kata pensyarah kanan itu.

Walaubagaimanapun, penganalisis ekonomi, Barjoyai Bardai berpendapat bahawa MAS masih boleh diselamatkan melalui inisiatif baru seperti 'crowd funding'.

"Bagi saya keputusan menjual MAS adalah keputusan yang emosional. Kita masih boleh menyelamatkan MAS. Inisiatif baru boleh dibuat dengan membawa rakyat bersatu menjana dana melalui 'crowd funding' kerana MAS adalah syarikat milik rakyat dan perlu diuruskan oleh satu pasukan yang berkaliber," Barjoyai berkata.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai pasukan itu dimana beliau menyebut nama bekas pengerusi MAS Abdul Aziz Rahman.

"Tan Sri Aziz adalah orang yang berkaliber membina semula jenama baru itu. Beliau pernah membuktikannya satu masa dahulu. Ditambah dengan idea baru dari orang muda kita mampu menghidupkan semula syarikat milik negara," kata Barjoyai.

Sementara itu, bekas kakitangan MAS berkata kepada BeritaBenar bahawa syarikat itu gagal diuruskan oleh pemimpin atasan kerana campurtangan politik.

"Kakitangan MAS yang dibuang adalah mangsa. Kegagalan MAS berpunca dari pihak atasan yang gagal membawa MAS ke puncak kejayaan. Masalah di MAS sangat meruncing dan bukan perkara mudah. Banyak perkara yang perlu dirombak," kata Noor Raihan yang pernah berkhidmat selama 33 tahun bersama MAS.

Azman Kocai turut bersetuju dengan berkata bahawa campurtangan ahli politik merumitkan keadaan.

"MAS dipenuhi tangan ghaib. Orang yang tak sepatutnya berada disitu, ada disitu. Pengstrukturan semula telah dibuat ramai yang diberhentikan tetapi masih gagal membawa untung. Salah siapa? Jika bukan pihak atasan," kata Azman yang pernah berkhidmat di MAS selama 27 tahun.

Manakala Persatuan Pesara MAS (MASRA) memohon kerajaan untuk tidak melepaskan syarikat penerbangan itu.

“Persatuan bersedia untuk memberikan bantuan dan nasihat dalam usaha membantu MAS kembali ke zaman kegemilangannya. Saya yakin kita mampu. Kita ada juruterbang, jurutera, petugas kabin bertaraf dunia,” kata patron MASRA, Aziz Abdul Rahman.

Aziz merupakan salah seorang individu yang memainkan peranan penting dalam penubuhan syarikat penerbangan tersebut pada tahun 1970an.

Manakala presiden MASRA, Kapten Abdul Razak Hashim berkata, penutupan MAS akan membawa kepada situasi yang lebih buruk kerana 13,000 pekerja akan kehilangan pekerjaan.

“Ia akan menjadi seperti hari kiamat jika syarikat penerbangan itu ditutup. Seramai 13,000 pekerja yang akan terjejas jika MAS ditutup” kata beliau.

Minggu lepas bekas perdana menteri Najib Razak berkata Pakatan Harapan tidak perlu menjual syarikat penerbangan MAS kerana plan pemulihan yang beliau utarakan semasa menjadi perdana menteri ternyata berkesan.

“Ini adalah langkah yang salah kerana MAS merupakan kebanggaan kita. Setiap negara mempunyai syarikat penerbangan mereka sendiri jadi kita juga perlu.

“Pelan pemulihan kita berjaya. Ia memerulukan sedikit masa lagi dan tiada sebab kenapa MAS perlu ditutup,” kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen minggu lepas.

Menurut agensi berita nasional Bernama, jumlah kerugian yang dihadapi oleh MAS pada 2017 adalah sebanyak RM812 million.

Dua minggu lalu, Khazanah Nasional Berhad dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM7.3 bil pada 2018, separuh daripadanya dikatakan disumbang menerusi pelaburan Khazanah di dalam MAS,

MAS beroperasi pada Oktober 1972. Kejadian lima tahun lepas melibatkan dua pesawatnya terus memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat penerbangan itu yang semenangnya sudah meruncingkan.

Pada 8 Mac, 2014, pesawat MAS yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari radar bersama-sama 239 penumpang dan anggota penerbangan. Kehilangan pesawat itu menjadi misteri terbesar dalam dunia penerbangan dunia.

Dan dalam tahun yang sama, iaitu empat bulan selepas kehilangan MH370, Malaysia dikejutkan sekali lagi apabila pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pemisah Ukraine ketika melalui kawasan udara negara itu hingga menyebabkan kematian semua penumpang dan kru berjumlah 298 orang.

Kerajaan melantik Christoph Mueller sebagai ketua pengarah urusan bagi membantu MAS pada 2016 tetapi beliau meletakkan jawatan sebelum tempoh tiga tahun perkhidmatan  tamat.

Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Peter Mueller, tetapi tempoh perkhidmatan Mueller juga singkat dan jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada anak tempatan Izham Ismail sehingga kini.

Selepas memenangi Pilihanraya Umum ke-14, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata, negara berdepan dengan beban kewangan yang memuncak ekoran dari skandal 1MDB dan salah urus negara ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

Beberapa projek mega terpaksa ditunda berikutan status kewangan negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.