Ahli politik Malaysia, suami disiasat berkait dakwaan perdagang manusia di Myanmar
2024.08.29
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia telah membuka siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mashitah Ibrahim dan suaminya, Abdul Shakor Abu Bakar berhubung dakwaan penglibatan dalam pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan pusat penipuan terkenal di Myanmar, kata seorang pegawai.
Siasatan itu dimulakan berikutan laporan kumpulan hak asasi manusia Justice For Myanmar, yang mendakwa pasangan itu terlibat dalam aktiviti jenayah terancang di wilayah Myawaddy Myanmar, hab yang terkenal dengan aktiviti terlarang termasuk pengedaran dadah dan pelacuran.
Laporan itu memperincikan banyak pautan perniagaan yang telah ditubuhkan oleh junta yang bersekutu dengan Pasukan Pengawal Sempadan Karen (BGF) di Thailand, Malaysia dan lebih dari itu.
Mashitah, seorang ahli politik parti pemerintah – Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu (UMNO) masih aktif berpolitik adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2008-2013.
“Kami telah merekodkan kenyataan ahli politik dan suaminya berhubung dakwaan aktiviti pemerdagangan manusia,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain kepada pemberita pada Khamis.
“Siasatan masih diteruskan dan kami telah mengambil keterangan daripada pasangan itu serta saksi lain. Polis juga akan menyemak berita dalam talian terkini untuk membantu siasatan.”
Pada Mei, laporan Justice For Myanmar mengaitkan Mashitah dan Abdul Shakor dengan Wan Kuok-koi, bekas pemimpin Triad 14K yang terkenal, salah satu kumpulan jenayah terancang paling berkuasa di Asia.
Menurut laporan itu, Wan menubuhkan Dongmei Park, sebuah projek pembangunan di wilayah Myawaddy, Myanmar pada 2020 dengan bantuan “warganegara Malaysia yang mempunyai hubungan kuat” termasuk ahli politik berkenaan dan suaminya selain dua individu bernama Liong Kee Huat dan Yong Mun Hong.
Semasa upacara peletakan asas Taman Dongmei, juga dikenali sebagai Taman Perindustrian Saixigang, apabila ia mula dilancarkan pada 2020 yang dirasmikan oleh Mashitah, Abdul Shakor dan Wan Kuok, anggota Tentera Kebangsaan Kuki (KNA) yang lengkap bersenjata berdiri di seberang pentas semasa acara itu, lapor Justice For Myanmar, kumpulan aktivis yang berjuang untuk merungkaikan kartel junta.
Kumpulan itu juga melaporkan bahawa Mashitah Ibrahim berkongsi foto dirinya dalam perjalanan dengan sekumpulan 20 “taiko”, istilah Kantonis untuk abang atau bos besar.
Amerika Syarikat sebelum ini telah mengenakan sekatan ke atas Wan dan Dongmei Park pada 2020 dengan alasan penglibatan mereka dalam aktiviti terlarang, termasuk penyeludupan manusia dan penyeludupan dadah.
Apabila Radio Free Asia, sebuah organisasi berita yang bersekutu dengan BenarNews, melaporkan mengenai kisah itu pada Jun, Mashitah yang juga bekas Ahli Parlimen Baling, Kedah enggan mengulas mengenai dakwaan penglibatannya dan hanya menyatakan, “tidak berminat”.
Pada masa itu, BenarNews tidak menemui sebarang rekod awam untuk Liong Kee Huat, atau nombor telefon Yong Mun Hong. Tiada siapa yang membuka pintu sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang disenaraikan di bawah nama Mun Hong dalam pendaftaran korporat Kumpulan Dongmei di Hong Kong.
Nafi terlibat
Pada Khamis, Mashitah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai “tidak berasas” dalam hantaran di media sosial.
Beliau menuduh pengkritik cuba mencemarkan reputasinya dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengaitkannya dengan aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar.
“Saya telah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman berkaitan tuduhan liar beberapa pihak yang mengaitkan saya dengan aktiviti (di) Myanmar. Saya menafikan penglibatan dengan aktiviti tersebut.
“Maklumat itu dikutip dari picisan media seberang. Kebetulan kawan saya ajak bergambar sahaja pada projek dia di sana.
“Alhamdulilah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama maupun undang-undang Malaysia,” kata Mashitah dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Ketika dihubungi BenarNews pada hari sama, Mashitah enggan mengulas lanjut dan berkata beliau dalam proses memberi kenyataan kepada polis.
Sementara itu, kumpulan hak asasi tempatan Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) sehari sebelumnya mendakwa bahawa Kumpulan Dongmei yang diketuai oleh Wan terlibat dalam membina pusat penipuan dan hab pemerdagangan manusia di Myawaddy, termasuk sebuah tapak yang dikenali sebagai KK Park.
Menurut MHO, pusat itu dikawal ketat oleh tentera Myanmar dan terkenal dengan pelbagai aktiviti haram termasuk perjudian, pengedaran dadah dan pelacuran.
Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim telah menggesa siasatan menyeluruh terhadap dakwaan itu dengan menyatakan ia berpotensi merosakkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kami akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," kata Hishamuddin pada Rabu.
“Kami berharap siasatan menyeluruh dan tindakan tegas mengenai perkara ini.”
Media tempatan Harian Metro melaporkan Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata bahawa "mereka akan menyiasat" dakwaan itu.
Bandar Myawaddy, yang terletak berhampiran sempadan Thailand telah menarik perhatian pihak berkuasa antarabangsa dan Malaysia kerana kewujudan pusat penipuan yang ketara.
Di sepanjang Sungai Moei, sepanjang 31 batu di sempadan Myanmar-Thailand, terdapat sekurang-kurangnya 17 zon jenayah berbeza yang meliputi kira-kira 5 juta meter persegi ruang pejabat jenayah, menurut Institut Keamanan AS tahun lepas.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail pada awal April memberitahu Parlimen bahawa seramai 331 daripada 470 mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia telah diselamatkan sejak September 2021 di seluruh Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos.
Beliau berkata 139 mangsa masih terkandas di luar negara, menurut hansard Parlimen.
Perhambaan siber
Jurucakap Justice For Myanmar Yadanar Maung dalam satu kenyataan kepada BenarNews mengalu-alukan siasatan polis Malaysia dan SPRM terhadap dakwaan penglibatan Mashitah dalam taman penipuan siber Dongmei.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu segera menyiasat semua warganegara Malaysia yang terlibat dalam jenayah transnasional di Myanmar dan memastikan akauntabiliti penuh.
“Model perniagaan Dongmei Park ialah penderitaan manusia dan kemusnahan nyawa, mengaut keuntungan daripada pemerdagangan manusia dan perhambaan siber.
“Dongmei Park juga menyokong Karen BGF/KNA, sebuah militia jenayah yang bertanggungjawab melakukan jenayah perang yang bersekutu dengan tentera Myanmar,” dakwa Yadanar.
Beliau menambah dengan berkata, “sebagai Pengerusi ASEAN seterusnya, Malaysia perlu menunjukkan kepada rakyat Myanmar dan rantau ini bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan penglibatan rakyatnya dalam pemerdagangan manusia dan perhambaan siber.”
“Malaysia perlu mengambil pendirian yang jelas dalam menentang perniagaan dengan junta tentera dan militianya, menolak memberikan legitimasi kepada junta dan menolak pemilihan palsunya,” tambahnya lagi.