Follow us

Malaysia Benarkan Warga Asing Solat di Masjid Mulai 1 September

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-08-25
E-mel
Komen
Share
Suasana solat Jumaat di Masjid Negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, 15 Mei 2020.
Suasana solat Jumaat di Masjid Negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, 15 Mei 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa melonggarkan sekatan COVID-19 yang sebelum ini melarang warga asing beragama Islam daripada menunaikan ibadah solat di masjid, dengan mulai 1 September depan golongan itu boleh bersolat jemaah di masjid, tiga bulan selepas memberi kebenaran pembukaan masjid hanya kepada jemaah tempatan.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuan kelonggaran itu diberikan setelah mendapat persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri berhubung COVID-19, yang sekaligus menyaksikan masjid dibuka kepada semua golongan jemaah.

“Mesyuarat Khas bersetuju untuk membenarkan warganegara asing menjalankan ibadah solat berjemaah di masijd bermula 1 September 2020… Mereka perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan... Sebelum ini, kerajaan tidak membenarkan warga asing untuk solat berjemaah dan banyak rayuan telah diterima berhubung larangan tersebut," kata Menteri itu, tiga bulan selepas kerajaan membenarkan pembukaan masjid dengan bersyarat di seluruh negara.

Putrajaya memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 pada 15 Mac lepas dengan semua masjid, gereja, kuil dan rumah ibadah bukan Islam ditutup sepenuhnya.

Selepas penutupan lebih dua bulan itu, pada Mei lepas, kerajaan mengumumkan yang Putrajaya membenarkan pembukaan masjid tetapi hanya kepada kakitangan sesebuah masjid sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan solat.

Bagaimanapun kelonggaran solat jemaah dan solat Jumaat mula diberikan beberapa minggu selepas itu tetapi hanya dibenarkan kepada rakyat tempatan sahaja mengikut SOP ketat yang perlu diikuti.

Antara syaratnya, jemaah perlu mempamerkan kad pengenalan diri MyKad kepada petugas masjid sebelum diberi kebenaran untuk masuk ke dalam masjid bagi tujuan solat berjemaah.

Pada Julai pula, kerajaan membenarkan duta dan kakitangan kedutaan warga asing menunaikan solat Jumaat di masjid dengan Ismail pada masa penghujung Jun berkata "Setiap kelonggaran kita berikan secara berperingkat, jadi warga asing kita mulakan dengan duta dan kakitangan diplomat dahulu. Bagi warga asing beragama Islam lain, kebenaran masih dalam pertimbangan dan keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat,"

Malaysia mencatatkan sebanyak 9,285 kes COVID-19 dengan jumlah kematian kekal 125 kes, demikian menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia yang dikeluarkan pada Selasa manakala di peringkat global pula, lebih daripada 23.7 juta kes jangkitan dan lebih 816,000 kematian direkodkan, menurut pakar penyakit di Johns Hopkins University yang berpusat di Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, menurut Ismail Sabri, warga asing yang mahu menunaikan solat di masjid perlu mendaftarkan diri dan terpulang kepada pihak jawatankuasa masjid untuk menentukan berapa ramai yang dibenarkan untuk berada di dalamnya dengan mereka perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh sesebuah masjid.

Pada Jun juga, Putrajaya telah membenarkan gereja, kuil dan rumah ibadah bukan Islam dibuka kepada penganut mereka.

Sejadah

Dalam perkembangan yang sama, Ismail mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat kepada jemaah yang datang bersolat di masjid, di mana mereka tidak lagi diwajibkan membawa sejadah sendiri seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Tambahnya, keputusan itu diambil susulan rayuan pelbagai pihak berkenaan arahan membawa sejadah sendiri.

"Terdapat keluhan orang ramai yang terlupa membawa sejadah ke masjid dan dihalang untuk menunaikan solat… Setelah mendengar rayuan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dr Zulkifli Al-Bakri dan atas nasihat KKM, Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk tidak mewajibkan penggunaan sejadah sendiri di masjid.

"Namun, pengunaan sejadah adalah digalakkan tetapi pemakaian pelitup muka masih diwajibkan. Masjid juga boleh menjual pelitup muka," katanya.

Ismail berkata, kerajaan juga mencadangkan jika ada pihak masjid mahu menjadikan kertas pakai buang untuk menggantikan sejadah, perkara itu boleh dilakukan.

Kerajaan mula membenarkan sembahyang jemaah di masjid dan surau pada awal Jun tetapi ia terhad kepada warganegara kerana SOP ketat yang ditetapkan dan jumlah individu yang lebih terhad.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.




Lihat Laman Penuh