Menteri Pendidikan Malaysia Letak Jawatan

Ali Nufael
2020.01.02
Kuala Lumpur, Malaysia
200102-MY-Maszlee-620.jpg Menteri Pendidikan Malaysia Maszlee Malik bercakap kepada pemberita dalam sidang media yang diadakan di Kementerian Pendidikan di Putrajaya, 2 Januari, 2020.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Menteri Pendidikan Malaysia mengumumkan perletakan jawatan pada Khamis ketika kementeriannya berdepan dengan kecaman berikutan kontroversi tulisan Jawi sebagai subjek dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di semua sekolah di Malaysia bermula tahun ini.

Maszlee Malik, 45, yang dilantik sebagai menteri pendidikan di dalam kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata kepada pemberita bahawa beliau sudahpun menghantar surat perletakan jawatan kepada Perdana Menteri sebelum sidang media  berlangsung.

“Di atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan di atas dasar ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya, Maszlee Malik, dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, berkuatkuasa 3 Januari 2020,” kata beliau kepada pemberita di kementeriannya di Putrajaya petang Khamis.

Maszlee enggan menyatakan secara terperinci sebab kenapa beliau meletakkan jawatan walaupun didesak keras oleh media.

Beliau cuma berkata nasihat Perdana Menteri adalah untuk kebaikan negara.

“Apapun nasihat yang beliau berikan adalah yang terbaik untuk negara. Saya akan sentiasa berada di sini untuk berbakti kepada negara dalam apa jua peranan,” kata Maszlee semasa sidang media tersebut.

Sebelum itu, Maszlee pada awal sidang media yang berlangsung selama 18 minit itu, turut menyenaraikan pencapaian kementerian pendidikan yang diterajuinya yang menurutnya tidak dapat dicapai oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional.

Bekas ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga Ahli Majlis Tertinggi parti politik Bersatu yang Mahathir adalah pengerusinya, Maszlee mendakwa walaupun kementerian itu telah mendapat pencapaian tinggi, tetapi masih tidak mendapat tempat di dada akhbar sebaliknya kementerian dan diri beliau mendapat perhatian yang tidak sepatutnya serta bersifat politik.

“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) sering jadi perhatian media, kumpulan tertentu dan ahli politik, dan ini bukan daripada pencapaian kita, bukan dari keberhasilan kita dan apa yang kita sumbangkan kepada masyarakat atau apa yang kita lakukan dalam tempoh 20 bulan ini. Malangnya ia tidak mendapat perhatian untuk headline (tajuk utama).  Tajuk sensasi lebih mewarnai. Banyak isu yang sensitif dan sengaja diperbesarkan menjadi pilihan utama.

“Saya sebagai menteri yang menerajui KPM dilihat sebagai menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan seperti isu jawi, internet sekolah, isu makanan percuma dan beberapa isu sampingan yang lain walaubagaimanapun saya percaya saya telah letakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti oleh warga KPM iaitu pendidikan untuk semua,” kata beliau lagi.

Maszlee diasak dengan kritikan selepas beliau mencadangkan tulisan jawi diajar di sekolah vernakular di Malaysia pada Ogos lepas.

Pada 3 Ogos lalu, Maszlee mengumumkan cadangan pelaksanaan pengenalan Jawi akan dibuat secara pilihan dengan guru diberi kuasa menetapkan kaedah pengajaran, serta pengurangan halaman daripada enam kepada tiga muka surat.

Cadangan itu ditentang keras oleh kumpulan pendidikan Cina dan India Malaysia yang menyatakan bahawa kementerian perlu mendapatkan input dari semua pihak sebelum memperkenalkan pembelajaran itu di sekolah-sekolah.

Pembelajaran jawi itu bagi pelajar Tahun 4 sehingga Tahun 6 akan melibatkan tiga mukasurat dalam buku teks sekolah yang bertujuan untuk mengajar pelajar mengenai warisan negara dan konteks artistik penulisan Jawi dalam Bahasa Melayu yang digunapakai pada barangan harian.

Pengenalan modul tulisan jawi mendapat tentangan dari kumpulan pendidikan Cina sejak ianya mula diperkatakan sehingga mendorong kepada desakan supaya lembaga pengarah sekolah dibenarkan untuk menentukan jika modul itu akan diajar kepada pelajar pelbagai bangsa sebelum memperkenalkan pembelajaran itu di sekolah.

Tindakan mereka terhadap tulisan jawi itu dilihat negatif oleh gerakan Melayu yang mendakwa tindakan itu bersifat anti-Islam dan anti-Melayu.

Maszlee turut dikritik atas usaha beliau mengadakan program sarapan percuma buat pelajar sekolah yang diumumkan pada Oktober lepas. Program itu yang hanya melibatkan 100 buat sekolah dalam fasa pertama implementasi dijangka melibatkan perbelanjaan berjumlah RM800 juta (AS$195.7 juta) dan RM1.67 bilion (AS$408.5 juta) apabila ia bermula pada 20 Januari nanti menurut agensi berita Bernama pada 27 Disember lepas.

Kementerian beliau turut dituduh melanggar kontrak oleh YTL Communications yang mendakwa bahawa kementerian telah memungkiri janji untuk melakukan tender terbuka bagi projek internet sekolah selepas ia membelanjakan lebih dari RM4 bilion (AS$978 juta) untuk membina infrastruktur di sekolah-sekolah.

Mahathir tentukan pengganti


Mahathir melantik Maszlee sebagai menteri pendidikan selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 dua tahun lepas.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan akhbar berkenaan isu itu telah mengesahkan penerimaan perletakan jawatan Maszlee sebagai Menteri Pendidikan.

“Maszlee telah menghantar surat perletakan jawatan kepada saya hari ini. Saya [Mahathir] menerima perletakan jawatan tersebut berkuasakuasa 3hb. Januari 2020 dan mengucapkan terima kasih di atas khidmat yang telah beliau berikan selama menjadi anggota kabinet.

“Pengganti beliau akan saya tentukan dan umumkan dalam sedikit masa lagi,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari yang sama.

Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan juga bekas pembantu khas kepada Maszlee, Wan Saiful Wan Jan berkata, tanggungjawab yang dipikul oleh Maszlee adalah sangat besar dan tugasan beliau adalah sangat berat.

“Walaubagaimanapun beliau akan diingati kerana usaha baik yang beliau lakukan. Legasi beliau akan terus hidup,” kata Wan Saiful.

Manakala Siti Zubaidah Kassim yang lantang mengkritik polisi pendidikan Maszlee mempunyai pendapat yang berbeza.

“Orang mungkin ingat saya gembira dengan berita ini. Percayalah saya merasa sebaliknya. Sedih yang ianya berakhir begini. Saya berharap sangat beliau buat perubahan, kerana semua kita tahu yang tahap pendidikan kita masih rendah.

“Saya rasa orang di luar sana patut berhenti mengutuk beliau. Saya cuma berharap siapapun yang menggantikan beliau akan mengambil input tentang apa yang saya tulis berkenaan pendidikan,” kata Siti dalam kenyataan yang dimuatnaik di akaun laman sosial beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.