Dua Anggota Abu Sayyaf Maut Dalam Serbuan Awal Pagi di Sabah

Nisha David & Ken Cheng
2021.08.20
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
Dua Anggota Abu Sayyaf Maut Dalam Serbuan Awal Pagi di Sabah Mayat seorang daripada anggota kumpulan ASG yang ditembak mati pihak berkuasa ketika serbuan awal pagi di sebuah ladang kelapa sawit di utara Pulau Timbang, Sabah, 20 Ogos 2021.
[Ihsan ESSCOM]

Pihak berkuasa Malaysia menembak mati dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf dalam insiden berbalas tembakan di sebuah kawasan hutan sawit di Pulau Timbang yang terletak berhampiran Sandakan di negeri Sabah pada awal pagi Jumaat.

Mereka yang dikenal pasti sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan, berusia lingkungan 30-an serta merupakan sebahagian daripada kumpulan pekerja asing yang diserbu pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan polis di sebuah kuarters untuk pekerja ladang Borhill di pulau itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali memberitahu media bahawa susulan kematian kedua-dua individu, pihak berkuasa percaya mereka telah berjaya menggagalkan rancangan untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit di kawasan terbabit untuk dijadikan tebusan – antara aktiviti yang sering dilakukan ASG.

Beliau berkata identiti suspek telah disahkan dengan bantuan pihak berkuasa Filipina.

"Kami menerima maklumat daripada pemimpin kecil ASG bernama Sansibar Bencio yang ditahan pihak berkuasa di Beaufort pada Mei lalu bahawa beliau telah mengarahkan sel ASG di Pulau Timbang untuk melaksanakan penculikan dua pemilik ladang kelapa sawit berbangsa Cina di Sandakan dan Sukau bagi mendapatkan wang tebusan.

"Wang tebusan itu akan digunakan sebagai dana untuk kem ASG di timur Sulu yang terletak di Kompleks Bud Bawis di Panamao, Sulu di Selatan Filipina," kata Hazani kepada BenarNews.

Beliau berkata berdasarkan maklumat itu, pihak berkuasa telah menyerbu kuarters pekerja terbabit dan memberkas 25 warga asing - 11 dari Filipina dan 14 dari Indonesia manakala dua lagi berjaya meloloskan diri.

Pihak berkuasa Filipina telah mengesahkan bahawa tujuh daripada warga Filipina yang ditangkap adalah anggota ASG di Sulu.

"Beberapa suspek telah berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa semasa serbuan itu. Kami berjaya mengesan mereka dan hasil daripada maklumat yang didapati, kami menyerbu sebuah kawasan ladang sawit yang ditinggalkan di utara Pulau Timbang di mana dua suspek itu telah dilihat. Pihak berkuasa terpaksa membalas tembakan selepas mereka mula menembak," kata Hazani.

Beliau berkata kedua-dua suspek terbunuh dalam insiden berbalas tembakan yang berlangsung selama tiga minit. Polis menemukan sepucuk pistol jenis Colt .45 dan sebilah parang berhampiran mayat kedua-dua lelaki.

Hazani turut mengingatkan para pemilik ladang sawit supaya membuat pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh ke atas semua pekerja asing sebelum mengambil mereka bekerja. Ini bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa aktiviti penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.

"Tolong periksa dan jangan sesuka hati mengambil pekerja hanya kerana mereka tenaga kerja yang murah. Mereka ini mungkin ada motif tersembunyi. Jangan hanya fikirkan keuntungan," katanya kepada media.

Hazani memaklumkan BenarNews bahawa ramai lagi anggota ASG yang dipercayai berada di Sabah.

"Mereka sedang bersembunyi tetapi kita akan terus berusaha mengesan kedudukan mereka," katanya.

Sabah telah menjadi antara titik panas bagi aktiviti penculikan bagi mendapatkan wang tebusan. Pihak berkuasa berdepan cabaran untuk mengawal setiap sudut sempadan negara memandangkan saiz perairan dan garis sempadan yang amat besar.

Sempadan yang luas itu membuka ruang kepada militan ASG untuk menceroboh masuk ke Malaysia ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa Filipina atau bagi menjalankan aktiviti penculikan.

Bagaimanapun, sejak pandemik COVID-19 melanda Malaysia pada awal tahun 2020, tiada penculikan dilaporkan di negeri itu selepas pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Sabah.

Kerjasama membuahkan hasil

Pakar keselamatan serantau Ramli Dollah berkata insiden itu menjadi peringatan bahawa Malaysia memerlukan kerjasama negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina dalam mendepani ancaman keselamatan.

"Risikan adalah tulang belakang kejayaan pasukan keselamatan Malaysia dalam menangani isu keselamatan terutama yang membabitkan ASG.

"Kejayaan di Beaufort dan apa yang berlaku hari ini menunjukkan bahawa kerjasama dua hala antara Malaysia dan Filipina masih erat dalam soal keselamatan terutama di bidang perisikan walaupun kedua-dua negara mempunyai isu termasuk tuntutan ke atas Sabah."

Beliau berkata insiden itu juga satu petanda bahawa ASG semakin lemah di Filipina dan membuktikan bahawa polisi Manila untuk menekan aktiviti kumpulan tersebut telah membuahkan hasil.

"ASG hanya menanti hari untuk dikalahkan di Filipina hasil daripada inisiatif Manila yang telah berjaya mematahkan ancaman kumpulan itu.

"Beberapa anggota kumpulan itu telah menyerah diri kepada kerajaan atau dibunuh oleh tentera Filipina. Kumpulan itu telah berjaya dilemahkan dan Sabah menjadi antara lokasi di mana kumpulan ini mencari perlindungan."

Ramli juga berkata pihak berkuasa Malaysia turut mencatatkan beberapa kejayaan dalam usaha mematahkan ancaman ASG seperti yang boleh dilihat menerusi operasi sebelum ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.