COVID-19: Malaysia Catat Kes Kematian Harian Tertinggi

Jumlah kematian akibat COVID-19 bakal mencecah lima angka pada September jika situasi kekal tidak berubah, kata pakar kesihatan.
S. Adie Zul & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-06-02
Share
COVID-19: Malaysia Catat Kes Kematian Harian Tertinggi Jenazah mangsa COVID-19 sedang diangkat oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) ke liang lahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Gombak, Selangor, 22 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Rabu merekodkan 126 kes kematian harian berkaitan COVID-19, angka tertinggi sejak penularan pandemik mula dikesan di negara tersebut awal tahun lepas dengan Ahli Majlis Sains Badan Kesihatan Dunia Adeeba Kamarulzaman berkata kadar kematian di negara Asia Tenggara itu bakal mencecah sehingga 26,000 menjelang September jika kes jangkitan harian yang tinggi gagal dibendung.

Jumlah kematian berkaitan COVID-19 sehingga kini mencecah hampir 3,000 kes dengan jumlah keseluruhan jangkitan 587,165 kes, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Rabu.

“Jumlah kematian hari ini membabitkan 123 warganegara dan tiga bukan warganegara menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 2,993 kes.

“Bilangan kes jangkitan baharu adalah 7,703 kes dengan jumlah kes aktif adalah sebanyak 82,274 kes manakala 22 lagi kluster baharu telah dikesan, menjadikan jumlah kluster masih aktif sebanyak 674 kluster,” kata Noor Hisham.

Jumlah kes 126 kematian yang direkodkan pada Rabu telah mengatasi rekod kematian paling tinggi pernah dicatatkan pada 29 Mei lalu sebanyak 98 kematian dengan Malaysia terus mencatatkan angka kes jangkitan harian melebihi 7,000 kes selama dua hari berturut-turut.

Sementara itu, ahli Majlis Sains Badan Kesihatan Dunia Adeeba Kamarulzaman memberi amaran bahawa kes kematian di Malaysia boleh meningkat melebihi 26,000 kematian sekiranya kadar kes jangkitan harian tinggi yang direkodkan pada waktu ini gagal dibendung menjelang September.

"Unjuran ini mengatakan bahawa jika jumlah kita seperti sekarang pada bulan September akan mencecah 29,000 kes. Banyak tu. Ia lebih kurang 200 kematian sehari sehingga September dan COVID-19 bakal menjadi punca kedua kematian di Malaysia selepas sakit jantung," kata Adeeba merujuk kepada kajian yang dilakukan oleh Insititut Kesihatan Metrik dan Penilaian di Universiti Washington.

Adeeba berkata demikian dalam satu siri wawancara khas yang di siarkan secara langsung oleh portal akhbar tempatan Sinar Harian di media sosial awal Rabu.

Katanya bagi memastikan jangkitan dapat diputuskan adalah wajar bagi Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh diadakan dengan Malaysia perlu melalui keperitan sekatan pergerakan penuh sekarang bagi memastikan ia adalah untuk kali yang terakhir.

"Disebabkan kes jangkitan baharu yang melonjak tinggi, kita tidak mempunyai pilihan selain daripada melaksanakan sekatan pergerakan yang lebih ketat.

“Jika kita biarkan kadar jangkitan baharu ini berterusan, sistem kesihatan negara yang kini telah pun berada dalam situasi kritikal, akan lumpuh dan sekiranya itu berlaku ekonomi kita tidak akan pulih seperti yang diharapkan.

“Oleh itu, kita perlu melalui keperitan ini pada masa sekarang dan kita perlu membuat pilihan bagi memastikan ini adalah sekatan pergerakan kali yang terakhir,” katanya.

Bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu juga menekankan tentang kepentingan merangka strategi dalam menentukan tempoh yang sesuai untuk membuka semula semua aktiviti ekonomi.

“Saya fikir keputusan menetapkan tempoh dua minggu untuk membuka semula semua aktiviti bukanlah keputusan yang tepat.

“Apa yang penting adalah untuk kita menetapkan berapakah kadar jangkitan kes baharu yang sesuai untuk membuka semula ekonomi bagi memastikan hospital kita bersedia untuk menampung jumlah pesakit sekiranya berlaku lonjakan kes jangkitan selepas kita menamatkan sekatan pergerakan."

Adeeba berkata Malaysia boleh belajar daripada pengalaman Taiwan menangani penularan COVID-19 tanpa perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Antara langkah awal yang diambil Taiwan adalah menutup sempadan dan menggunakan teknologi digital secara sangat menyeluruh, di mana proses saringan, pengesanan kontak, isolasi dan proses berkaitan disokong oleh teknologi digital.

"Mereka betul-betul menghayati semua pendekatan masyarakatnya, semua agensi bekerjasama termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan akademia bekerjasama,” ujarnya apabila berkongsi pengalaman menghadiri seminar mengenai The Taiwanese Success Story

Adeeba berkata antara kejayaan negara lain yang boleh dicontohi dalam mengekang pandemik COVID-19 adalah Vietnam, Bhutan dan sebuah negara paling miskin di Afrika, Rwanda.

Kembalikan keyakinan rakyat

Adeeba turut berkata kepimpinan negara wajar mengambil tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat kerana dalam soal kesihatan awam, asasnya adalah kepercayaan.

"Jika kita melihat contoh negara-negara yang telah berjaya menangani COVID-19, rakyat mereka mempunyai tahap keyakinan dan kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan.

"Suka atau tidak, kerajaan mesti mengambil langkah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, sesuatu yang kita berjaya buktikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (yang pertama), di mana rakyat telah memberikan kerjasama dengan duduk di rumah, menonton televisyen dan sebagainya.

"Tetapi sekarang (kurang kerjasama) mungkin sebab yang pertama adalah kelesuan terhadap pandemik, yang kedua adalah kerana kecelaruan prosedur operasi standard (SOP) dan yang ketiga disebabkan oleh pilih kasih (dalam penguatkuasaan).

"Jadi, selain dari bersatu, perkara kedua terpenting adalah untuk meraih semula kepercayaan," katanya.

Imunisasi bantu selesaikan masalah

Adeeba berkata beliau yakin program imunisasi yang sedang berlangsung akan membantu menyelesaikan sebahagian besar daripada masalah yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Negara-negara itu secara agresif 'roll out the vaccine' dan sekarang mereka boleh menjalani kehidupan tanpa perlu memakai pelitup muka dan sebagainya," ujarnya lagi.

Bagaimanapun Adeeba berkata proses vaksinasi seluruh negara akan mengambil masa disebabkan kekangan mendapatkan bekalan vaksin daripada para pengeluar, walaupun kerajaan sedang berusaha mendapatkan bekalan dengan segera.

Sehingga setakat ini hanya 51 peratus dari populasi rakyat berumur 18 tahun ke atas yang telah mendaftar di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Malaysia mensasarkan Februari 2022 untuk mencapai 80 peratus 'herd imunity'.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh