Parlimen Malaysia Lulus Pelan Pertahanan 10 Tahun Negara

Hadi Azmi & Aminah Farid
2019.12.02
Kuala Lumpur, Malaysia
191202-MY-MatSabu.jpeg Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu memaklumkan tentang “aktiviti ketenteraan”di Laut China Selatan ketika membentangkan Kertas Putih Pertahanan di parlimen, 2 Dis 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Parlimen Malaysia meluluskan kertas cadangan mengenai dasar pertahanan pertama kerajaan baharu pada Isnin, manakala Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyelar pencerobohan kapal-kapal asing di wilayah perairan negara dan menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap hak-hak kedaulatan.

Satu salinan “Kertas Putih Pertahanan” setebal 90 muka surat, yang dijangka menggariskan rangka tindakan keselamatan negara kerajaan, termasuk perspektifnya mengenai ancaman bukan tradisi, telah dilihat oleh penggubal undang-undang namun belum diumumkan kepada orang awam.

“Pencerobohan kapal-kapal asing di kawasan perairan berhampiran Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur [adalah] satu pencabulan ke atas hak-hak kedaulatan Malaysia dalam zon ekonomi eksklusifnya yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Mohamad ketika berucap di Parlimen sebelum penggubal undang-undang meluluskan kertas putih itu.

Mohamad tidak mengenal pasti kapal asing yang belayar melewati perairan Malaysia tanpa kebenaran namun kenyataannya itu dibuat selepas beliau bercakap mengenai isu Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

“Pendudukan dan penenteraan serta aktiviti lain China di Laut China Selatan dan Operasi Kebebasan Navigasi atau FONOP yang dijalankan oleh Amerika Syarikat telah merubah pertikaian mengenai wilayah perairan kepada satu pergelutan kuasa global,” kata beliau mengikut transkrip ucapannya yang disampaikan dalam bahasa Melayu.

Mohamad memaklumkan penggubal undang-undang bahawa hubungan antara Washington dan Beijing telah “memasuki satu fasa baharu, yang lebih cenderung ke arah persaingan berbanding toleransi.”

“Persekitaran luar yang tidak stabil mewujudkan ketidakpastian yang boleh mengancam kepentingan negara,” kata beliau.

Semasa perdebatan lima jam sebelum kertas putih itu diluluskan, ahli parlimen pembangkang menyelar kerajaan kerana tidak memberikan butiran terperinci mengenai pemerolahan berkaitan ketenteraan yang dirancang.

“Pelan untuk membina sesuatu aset ketenteraan boleh mengambil masa melebihi lima atau lapan tahun, dan ini boleh memberi kesan kepada trajektori dan tumpuan bukan hanya kepada orang awam tetapi juga anggota pasukan bersenjata sendiri,” kata Hishamuddin Hussein, bekas menteri pertahanan.

Shahidan Kassim, bekas menteri di jabatan perdana menteri, turut mengkritik “kekurangan perhatian” dokumen pertahanan itu berhubung pencerobohan kuasa asing di tebing pasir dan pulau yang dituntut oleh Malaysia di Laut China Selatan.

“Wilayah perairan kita sering diceroboh orang luar namun masih tidak ada tindakan dari pihak Malaysia,” kata Shahidan kepada BeritaBenar semasa pengubal undang-undang berdebat mengenai pandangan strategik negara itu. “Beting Patinggi Ali, contohnya. Semua ini adalah wilayah kita, semua tebing pasir ini namun China melakukan rondaan di kawasan perairan ini.”

Kenyataan ketua pertahanan itu dibuat dua bulan selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak mahu mengambil satu pendirian yang agresif terhadap China dalam isu itu, yang menyaksikan negara dengan penduduk majoritinya beragama Islam tersebut adalah sebuah daripada negara yang mengemukakan tuntutan.

“Kami harus menerima hakikat bahawa China adalah suatu kuasa besar,” kata Mahathir kepada BeritaBenar semasa lawatannya ke New York pada September. “Negeri-negeri Melayu telahpun wujud berhampiran China sejak 2,000 tahun yang lalu. Kami dapat bertahan kerana kami tahu membawa diri kami.”

“Kami tidak mahu bertindak agresif kerana kami tidak mempunyai kapasiti, oleh itu, kami menggunakan cara lain,” kata beliau. “Pada masa lalu, kami menghantar emas dan perak ke China setiap tahun sebagai suatu simbol bahawa kami, secara praktiknya, tunduk kepada mereka.”

Brunei, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan bertindih ke atas sebahagian dari Laut China Selatan, yang dituntut oleh Beijing hampir keseluruhannya. Di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping, tentera Beijing telah meningkatkan kehadirannya di kawasan perairan penting yang dilalui kapal-kapal dagang dengan nilai kira-kira AS$5 trilion setiap tahun.

Beijing telah meningkatkan ketegangan serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas ia merubah tebing-tebing pasir yang menjadi rebutan kepada pulau-pulau yang dilindungi peluru berpandu, selain mengadakan rondaan tentera di tiga kawasan terumbu karang.

China turut menggelisahkan negara-negara di rantau ini bulan lepas apabila ia menghantar kapal pengangkut pesawat pertama buatannya sendiri ke kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu. Agensi berita rasmi Beijing, Xinhua bagaimanapun berkata kapal tersebut sekadar belayar melewati kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu sebagai sebahagian daripada “ujian peralatan dan latihan rutin.”

Semasa sidang akhbar selepas penggubal undang-undang meluluskan kertas putih itu, Menteri Pertahanan Malaysia tersebut telah menjawab kritikan bahawa dokumen baharu itu tidak mempunyai butiran terperinci mengenai pembiayaan yang diperlukan bagi pembelian aset.

“Terdapat perkara yang tidak boleh didedahkan dan akan dibincang di peringkat kementerian, dan sesetengahnya adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi,” kata Mohamad.

Malaysia memperuntukkan sebanyak AS$3.87 bilion sebagai bajet pertahanannya tahun ini, yang menyaksikan pengurangan kira-kira 40 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia memperuntukkan sebanyak AS$3.4 bilion bagi pertahanannya tahun depan, menurut laporan tempatan.

Mohamad memberitahu pemberita bulan lepas bahawa negara itu telah menerima tawaran dari Rusia untuk menukar sebahagian armada pesawat tempurnya kepada model lebih baharu, termasuk jet pejuang Su-35 atau MiG-35. Beliau berkata bagaimanapun, adalah tidak realistik bagi negara itu untuk mempertimbang pembelian pesawat tempur baharu sehingga selepas 2030.

Tentera Udara Diraja Malaysia ketika ini menggunakan kira-kira 18 pesawat pejuang Su-30MKM, yang diterima pada 2007, dan baru-baru ini menghentikan penggunaan 10 jet pejuang MiG-29 yang telah beroperasi sejak pertengahan 1990-an, menurut Jane’s Defense, sebuah laman sesawang yang memantau pemerolehan peralatan ketenteraan di seluruh dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.