Malaysia Perluas Perintah Kawalan Pergerakan Ke Seluruh Negara, Kecuali Sarawak

Keputusan kerajaan dibuat berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di enam negeri lagi, semasa usaha menurunkan kadar penularan giat dijalankan.
Noah Lee & Nisha David
2021.01.19
Kuala Lumpur
Malaysia Perluas Perintah Kawalan Pergerakan Ke Seluruh Negara, Kecuali Sarawak Kakitangan perubatan sebuah klinik swasta yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) sedang menjalankan ujian saringan COVID-19 keatas pelanggan di klinik yang terletak di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, 19 Januari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa memperluaskan Perintah Kawalan Pergerakan di hampir kesemua negeri di negara itu kecuali Sarawak berikutan peningkatan jangkitan kes harian COVID-19 yang konsisten, sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan pakej stimulus bernilai RM15 bilion ringgit untuk membantu ekonomi negara itu, yang terkesan teruk akibat pandemik tersebut.

Pelaksanaan perintah berkurung yang melibat enam lagi negeri iaitu, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis selama dua minggu akan bermula pada Jumaat ini dibuat selepas perintah yang sama dikenakan terhadap Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah minggu lalu.

Keputusan berkenaan diumumkan sehari selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu pakej rangsangan kewangan bernilai AS$3.7 bilion (RM15 bilion) bagi menyokong ekonomi negara yang sedang terkesan teruk oleh pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan mengenai keputusan kerajaan mengenakan PKP keatas enam lagi negeri itu berkata, ianya dibuat berdasarkan penilaian oleh pihak berkuasa terhadap peningkatan jumlah kes yang mencecah lebih 3,000 kes sejak empat hari lepas termasuk di negeri-negeri berkenaan.

"Atas penilaian risiko dan berdasarkan peningkatan kes di negeri ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis bermula 12.01 tengah malam 22 Januari 2021 sehingga 4 Februari 2021.

"Secara kesimpulannya, dengan pengumuman PKP di enam negeri ini maka seluruh negara akan berada di bawah PKP kecuali Sarawak yang masih dalam PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan)," kata Ismail Sabri semasa sidang media di Putrajaya pada petang Selasa.

Selepas lima negeri dan Wilayah Persekutuan berada dibawah PKP selama 14 hari bermula 13 Januari, tiga hari kemudiannya, Kelantan pula dikenakan perintah sama sehingga 29 Januari, iaitu selepas negeri berkenaan merekodkan kenaikan bilangan kes positif harian tinggi.

Antara arahan yang termaktub di bawah PKP adalah penduduk tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing, kecuali dua orang sahaja bagi membeli barangan keperluan, tempoh perniagaan dipendekkan dan aktiviti rentas negeri atau daerah turut tidak dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah dalam satu sidang media berasingan pada Selasa mengumumkan bahawa sejumlah 3,631 lagi kes baharu telah direkodkan negara itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 165,371.

Malaysia telah merekodkan kes harian COVID-19 yang tinggi sejak ia dilanda gelombang ketiga pada Oktober lepas, dengan statistik harian Kementerian Kesihantan Malaysia (KKM) menunjukan bahawa penularan koronavirus dilihat semakin meningkat sejak awal Januari, dengan bilangan kes harian kekal melepasi 2,000 sejak 5 Januari, dan bilangan tertinggi direkodkan setakat ini adalah 4,029 kes baharu pada 16 Januari lalu.

Noor Hisham berkata bahawa berdasarkan kadar kebolehjangkitan virus pada ketika ini, KKM menjangkakan bahawa trend bilangan kes akan terus menunjukkan peningkatan sehingga ke paras 8,000 dalam bulan Mac.

"Kita menjangkakan pada minggu ketiga Februari, kes yang dilaporkan adalah 5,000 sehari dan akan terus meningkat kepada 8,000 kes sehari, Mac nanti," kata beliau.

Pakej rangsangan ekonomi

Pada Isnin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenalkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi bernilai RM15 bilion yang dinamakan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dengan tiga matlamat utama digariskan dengan tujuan perlaksanaannya oleh kerajaan.

Tiga matlamat tersebut adalah untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat, dan menyokong kelangsungan perniagaan, melalui 22 inisiatif yang digariskan oleh kerajaan dalam usaha mencapai tujuan pakej PERMAI itu.

"Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Maka, sukacita saya ingin umumkan.., sebuah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, atau secara ringkasnya, PERMAI yang bernilai sebanyak RM15 bilion… dengan sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan tiga matlamat utama,” kata Muhyiddin ketika mengumumkannya semasa satu perutusan khas yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen utama negara serta di media sosial.

Antara inisiatif yang diumumkan adalah peruntukan RM150 juta (AS$37 juta) bagi menambah 3,500 orang lagi anggota kesihatan yang akan mula bertugas pada hujung bulan Januari; peruntukan RM100 juta (AS$24.7 juta) untuk usaha kerjasama di antara kerajaan dengan hospital swasta bagi merawat pesakit COVID-19 dan pesakit bukan COVID-19; serta kenaikan jumlah pelepasan cukai bagi pemeriksaan kesihatan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19.

Bagi tujuan memelihara kebajikan rakyat pula, antara peruntukan disediakan kerajaan adalah Program Bakul Makanan bagi membantu isi rumah yang layak menerima bantuan, selain peningkatan kadar bantuan bulanan yang diberi melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 di parlimen pada Disember lalu.

"Semasa tempoh pelaksanaan PKP ini, saya ingin menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan. Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini," kata Muhyiddin, merujuk kepada tempoh moratorium bayaran balik pinjaman yang telah dilaksanakan selama enam bulan ketika negara mula dilanda wabak pada tahun lalu.

Selain itu, moratorium selama tiga bulan turut diberikan kepada para peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Matlamat ketiga Permai iaitu untuk menyokong kelangsungan perniagaan menyaksikan 10 inisiatif disenaraikan kerajaan, iaitu yang terbanyak berbanding matlamat memerangi COVID-19 dan kebajikan.

Antaranya ialah pemanjangan Program Subsidi Upah yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Dalam pakej rangsangan kali ini peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion (AS$247 juta) akan diberikan. Ia menyaksikan semua majikan yang beroperasi semasa PKP layak memohon subsidi upah sebanyak RM600 (AS$148.15) untuk setiap pekerja yang bergaji kurang daripada RM4,000 (AS$987.65). Kerajaan juga menaikkan had bagi setiap permohonan daripada 200 pekerja sahaja sebelum ini kepada 500 pekerja.

Sebanyak RM650 juta (AS$160.5 juta) lagi diperuntukkan bagi Geran Khas Prihatin PERMAI bagi membantu pengusaha kecil sederhana (PKS). Ketika pengumuman dibuat Muhyiddin, kerajaan mensasarkan ia akan memberi manfaat kepada 500,000 PKS di tujuh negeri di bawah PKP, dengan setiap satu mendapat bayaran RM1,000 (AS$246.91), manakala PKS di negeri-negeri lain akan menerima RM500 (AS$123.46).

"Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, Kerajaan juga bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak 500 ringgit kepada 14 ribu pemandu pelancong serta 118 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak 66 juta ringgit," kata Muhyiddin.

Ubat penahan sakit

Sementara itu, seorang pakar ekonomi berkata pakej PERMAI adalah satu sambungan kepada siri bantuan yang telah diberikan sebelum ini, dan menyifatkannya sebagai inisiatif "yang penting" terutama sekali bagi membantu golongan peniaga ketika pandemik.

Hoo Kee Ping, seorang penasihat ekonomi di Institut Strategik Untuk Asia Pasifik, berkata kejayaan PERMAI bagaimanapun bergantung kepada berapa lama PKP dilaksanakan.

"PERMAI ini lebih kepada satu ubat penahan sakit, berbanding untuk menyembuhkan. Ia bergantung kepada berapa lama PKP berjalan serta berapa cepat proses pemvaksinan dapat dibuat. Jika PKP hanya untuk jangka masa pendek, maka PERMAI akan mencapai kejayaan. Akan tetapi, jika ia berpanjangan, banyak perniagaan tidak akan dapat bertahan," kata beliau ketika dihubungi BeritaBenar.

Menurut Hoo, pelanjutan moratorium ke atas pinjaman bank juga dapat melegakan banyak peniaga, terutama pengusaha kilang serta pengusaha bas yang mungkin terpaksa berhadapan risiko peralatan atau kenderaan mereka ditarik pihak bank sekiranya tidak mampu membayar ansuran bulanan kerana terjejas oleh wabak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.