Pilihan Raya Negeri Melaka Jadi Kayu Pengukur, Kata Penganalisis

Undi majoriti Melayu Melaka dijangka berpecah antara UMNO dan gabungan BERSATU dengan PAS.
Hadi Azmi
2021.11.15
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Pilihan Raya Negeri Melaka Jadi Kayu Pengukur, Kata Penganalisis Pemimpin UMNO dan bekas Perdana Menteri Najib Razak bercakap dengan penduduk Melaka semasa menjamu selera, di Melaka, 14 Nov. 2021.
[Ihsan Facebook Najib Razak]

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal menjadi kayu pengukur bagaimana rakyat Malaysia akan mengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selain menjadi penanda terhadap bentuk pakatan politik di peringkat nasional pada masa hadapan, kata penganalisis.

Undi penting orang Melayu akan berpecah di Melaka kerana sekurang-kurangnya tiga parti peringkat kebangsaan, yang mendapat sokongan etnik majoriti Malaysia itu, bersaing untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung 20 Nov ini.

"Semua parti utama Melayu menggunakan pilihan raya ini sebagai proksi untuk melihat arah mana angin bertiup pada pilihan raya umum akan datang," kata James Chin, seorang penganalisis politik dari Universiti Tasmania, kepada BenarNews.

PRN itu juga adalah yang pertama bagi negara dengan rakyat berbilang bangsa itu sejak Ismail Sabri Yaakob dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) berkuasa pada Ogos, pentadbiran kedua yang tidak dipilih rakyat, memegang jawatan sejak Mac 2020.

PRU akan datang dijadual berlangsung pada 2023, tetapi boleh dipercepat berdasarkan keputusan PRN Melaka, seperti kata pemerhati yang tidak dinamakan kepada beberapa media tempatan.

Keputusan undian adalah isu yang mengelirukan pakar politik kerana PRN Melaka bakal menyaksikan UMNO, parti yang berteraskan Melayu, bertelagah dengan sekutunya sendiri dalam Kerajaan Persekutuan, iaitu BERSATU dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), selain gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

PAS yang konservatif memutuskan untuk bersama dengan BERSATU dan bukan UMNO semasa PRN Melaka kerana parti Islam itu ingin menentukan dengan pihak mana ia akan bergabung pada PRU. BERSATU ditubuhkan pada 2016 oleh kumpulan yang berpecah daripada UMNO, yang ahlinya terlibat dalam skandal kewangan 1MDB.

"Jadi, ini adalah pilihan raya yang pelik dan agak sukar untuk menentukan mood pengundi," kata Chin.

211115-MY-Inside.jpg

Bendera parti gabungan pembangkang Pakatan Harapan (merah) dan Barisan Nasional dilihat di Jonker Walk, destinasi pelancongan popular di Melaka, Malaysia, 13 Nov 2021. [Hadi Azmi/BenarNews]

Kempen solo UMNO

Dari segi sejarah, Melaka adalah kubu kuat UMNO walaupun parti itu tewas kepada Pakatan Harapan pada PRU 2018 susulan skandal 1MDB yang mengecewakan penyokongnya.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan hanya memerintah negeri itu dalam tempoh yang singkat selepas berlaku pembelotan sehingga menyebabkan ia tumbang pada Mac 2020. UMNO yang tidak dipilih kemudian berjaya membentuk kerajaan negeri namun turut tumbang pada 4 Okt selepas empat Ahli DUN menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri Melaka.

Berbanding mengambil langkah memperbaiki keretakan dalam kerajaan campuran di negeri itu, Yang Dipertua Negeri Melaka memutuskan sudah tiba masanya untuk mengadakan pilihan raya meskipun terdapat dakwaan bahawa UMNO telah mendesak beliau untuk membubarkan DUN.

Justeru, keputusan PRN Melaka adalah penting buat UMNO, demikian menurut pakar politik Wong Chin Huat.

Sebelum ini, UMNO memutuskan bahawa parti itu tidak akan bersama BERSATU semasa bertanding pada PRU akan datang. Walaupun BERSATU menyokong UMNO dalam Kerajaan Persekutuan, mereka berentap sesama sendiri di Melaka.

“Jika menang, ia akan memberi keyakinan dan legitimasi kepada UMNO untuk bertanding secara solo pada PRU ke-15,” tulis Wong dalam artikel untuk akhbar tempatan Sinar Harian.

PRN Melaka mungkin lebih penting bagi BERSATU, yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata Wong. Jika parti itu tidak menang, ia mungkin lenyap seperti parti serpihan UMNO yang lain sebelum ini, katanya.

Dan jika UMNO mendapat bilangan kerusi terbanyak tetapi tidak cukup untuk membentuk majoriti mudah dalam DUN yang mempunyai 28 kerusi itu, ia "sedia berbincang dengan mana-mana pihak untuk berkongsi kuasa," kata Wong.

BERSATU mungkin bukan antara pihak itu, tegas Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, beberapa kali.

‘Bodoh, tidak ada otak’

Kekalutan politik itu memualkan segelintir pengundi di Melaka, sebuah negeri yang terkenal dengan penduduknya yang lantang bersuara.

Seorang penarik beca berusia 69 tahun, Atan Hamzah, mempersoal kebijaksanaan mengadakan pilihan raya ketika negara merangkak keluar daripada pandemik COVID-19 selepas lebih 95 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima suntikan vaksin mereka.

“Inilah yang berlaku apabila mempunyai orang tidak berakal, bodoh… tiada maruah,” kata Atan kepada BenarNews pada Ahad.

"Masyarakat baru dibuka semula selepas sekatan pergerakan dan kini tiba-tiba anda menyebabkan pilihan raya diadakan."

Satu lagi PRN telah diadakan semasa pandemik iaitu di Sabah pada September tahun lepas yang membawa kepada peningkatan tinggi dalam jangkitan, dan merebak ke seluruh negara sehingga mengambil masa berbulan-bulan untuk dikawal.

Kali ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melarang parti politik berkempen secara berdepan. Bagaimanapun, hampir semua ahli politik dilihat mengingkari arahan itu, lapor media tempatan.

Pelanggaran terang-terangan seperti itu selain tindakan segelintir ahli politik yang tanpa segan silu menukar parti demi kepentingan peribadi, amat menjengkelkan pengundi. Sebagai contoh, dua daripada empat ADUN yang menyebabkan kerajaan UMNO di Melaka tumbang kini bertanding sebagai wakil pembangkang.

“Saya dan rakan-rakan tidak bercadang untuk pergi [mengundi],” kata Ragu Suppiah, 70, kepada BenarNews.

"COVID satu hal, selain itu apa gunanya mengundi jika mereka hanya akan melompat parti semula sebaik sahaja dipilih?"

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh