Pekebun Mangga Di Utara Raih Keuntungan Semasa Gelombang Panas

S. Adie Zul
2016.05.04
Perlis
160504-my-harumanis-620 Saidin Saad memeriksa buah mangga harumanis di kebun beliau berhampiran Kampung Paya Kelubi, Perlis, 29 April, 2016.
S.Adie Zul/BeritaBenar

Suhu terik 36 darjah Celsius (96.8 darjah Fahrenheit) nampaknya tidak menghalang pekebun Malaysia, Saidin Saad daripada memeriksa pokok mangga harumanis yang tumbuh dengan banyaknya di kebun beliau di negeri Perlis.

Pekebun berusia 65 tahun itu adalah antara beberapa penanam bertuah pelbagai jenis mangga harumanis yang menikmati durian runtuh daripada gelombang panas berpanjangan yang melanda Semenanjung Malaysia sejak Januari. Digelar sebagai fenomena 'Super' El Nino dalam kalangan penduduk tempatan, gelombang haba terutamanya melanda negeri-negeri utara, termasuk Perlis dan Kedah, yang tidak mengalami hujan sejak lebih sebulan lalu.

"Biasanya, kami mula memetik mangga pada April dan pokok-pokok ini akan berhenti menghasilkan buah dalam tempoh sebulan, tetapi kali ini ia berbeza  sama sekali," kata Saidin, yang kebun kecilnya terletak berhampiran Kampung Paya Kelubi, kepada BeritaBenar.

"Kali ini, penuaian bermula seawal pertengahan Mac dan pokok-pokok mangga ini masih mengeluarkan bunga, jadi, saya rasa kami dapat terus menuai sehingga Jun berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana kami biasanya mendapatkan hanya satu pusingan menuai," jelasnya.

Saidin menjangka kebunnya yang seluas 0.7 ekar (0.28 hektar) untuk menghasilkan enam tan metrik (6.6 tan) mangga itu pada 2016 - dua kali ganda berbanding pengeluaran tahunan pada tahun-tahun sebelumnya.

Tetapi, tuah Saidin tidak dikongsi oleh lebih 3,000 pekebun harumanis lain di Perlis. Kegagalan melakukan penyelenggaraan dengan baik dan kurangnya pembajaan  menyebabkan penurunan keseluruhan 60 peratus  dalam pengeluaran buah-buahan itu tahun ini – kemerosotan ketara daripada  2,200 tan metrik (2,425 tan)  tahun lepas kepada 1,000 tan metrik (1,102 tan)  tahun ini, menurut jabatan pertanian negeri.

Kemerosotan bekalan itu menyebabkan berlakunya  kesan domino ke atas harga runcit gred 'A' harumanis, yang melonjak daripada RM25 (AS$ 6.20)  sekilo kepada antara RM35 dan RM40  ($ 8.65- $ 9,93)  sekilo.

Saidin meraih durian runtuh kali ini kerana bekalan beliau adalah jauh lebih banyak.

Cuaca jejaskan tanaman

Kegembiraan Saidin turut dikongsi adik lelakinya, Ishak, 56, yang mengendalikan kebun lain berdekatan dengannya.

"Ada pelbagai faktor yang menyumbang kepada pengurangan hasil, selain El Nino. Ia adalah gabungan banyak faktor seperti pokok tidak elok, kurangnya penyelenggaraan dan kurangnya pembajaan, manakala cuaca boleh menjadi satu daripada faktor yang memburukkan lagi keadaan, "katanya kepada BeritaBenar.

"Tetapi, pokok harumanis memerlukan iklim  panas dan kering untuk menghasilkan buah yang baik dan itulah sebabnya [jenis mangga itu] hanya ditanam di Perlis," katanya.

Pengarah Jabatan Pertanian Perlis Zulkepli Amin Jusoh berkata, cuaca itu yang bermula awal tahun ini, turut  menjejaskan pengeluaran tanaman ramai pekebun lain.

"Hujan lebat berlaku di negeri-negeri Pantai Timur antara Disember dan Januari lalu, yang menghantar angin sejuk ke Perlis, lalu mencetuskan hujan di beberapa kawasan di Perlis pada masa itu, sedangkan cuaca sepatutnya panas dan kering.

"Ini telah memberi kesan kepada pokok harumanis [daripada berbunga], yang diterjemahkan kepada penurunan ketara dalam pengeluaran buah-buahan itu secara keseluruhannya,"kata Zulkepli kepada BeritaBenar.

Beliau berkata, keadaan itu tidak pernah berlaku di Perlis kerana ia tidak dijangka mengalami hujan sepanjang Disember bagi merangsang pembungaan  harumanis.

"Ramai daripada pekebun harumanis tidak mempunyai tanaman alternatif untuk bergantung, jadi, mereka mengalami kerugian besar tahun ini," katanya.

Zulkepli berkata jabatan itu telah mengedarkan hampir 200 pam air kepada para pekebun harumanis, yang kebun mereka terjejas teruk akibat gelombang haba. Jabatan itu juga telah mengemukakan laporan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  bagi mendapatkan pampasan untuk para pekebun yang terjejas, katanya.

Pusat harumanis

Harumanis adalah baka khas mangga tropika yang hanya tumbuh di Perlis, negeri Malaysia yang paling kecil berhampiran sempadan Malaysia-Thai. Banyak kebun buah itu terdapat di Perlis tetapi tiga kawasan penanaman utamanya adalah di Bukit Bintang, Paya Kelubi dan Chuping.

Negeri itu kini berada pada penghujung iklim yang paling panas dan kering di negara ini. Para pencinta harumanis sering melawat Perlis di antara pertengahan April dan awal  Jun.  Peningkatan perdagangan dalam talian juga mendapat permintaan tinggi bagi baka mangga ini, yang merupakan satu daripada buah tropika yang paling mahal.

Buah-buahan yang ditanam di Perlis diedarkan merata tempat – dengan meraih pasaran eksport ke Jepun, Singapura dan Brunei serta menjana RM40 juta (AS $ 9.900.000) tahun lepas. Ia merupakan satu-satunya mangga Malaysia yang dibenarkan memasuki pasaran Jepun.

Tidak hairanlah mengapa  Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun lepas memberikan hak eksklusif kepada kerajaan negeri Perlis untuk memasarkan mangga harumanis.

Namun permintaan domestik tidak dapat dipenuhi walaupun pekebun-pekebun menggajikan penduduk tempatan sebagai pengawal keselamatan bagi menjaga tanaman mereka daripada penceroboh.

Tiada bekalan ke Jepun


Zulkepli berkata, kekurangan pengeluaran itu memaksa kerajaan negeri untuk menangguhkan eksport harumanis ke pasaran Jepun tahun ini.

Beliau menyifatkan kemerosotan besar-besaran pengeluaran buah-buahan itu sebagai satu kerugian besar bukan sahaja untuk pekebun yang terlibat, tetapi buat ekonomi negeri juga kerana tanaman itu menarik begitu ramai pelancong ke rantau ini.

Beliau berkata, perolehan lebih rendah dicatatkan walaupun kawasan yang dikhaskan untuk kebun harumanis bertambah dengan seluas 1,028 hektar (2,540 ekar) tahun ini.

Dalam usaha  meningkatkan eksport (terutamanya ke Jepun) pada tahun-tahun akan datang, jabatan itu menggalakkan pemilik kebun supaya memohon persijilan Amalan Pertanian Baik  (My GAP), yang memenuhi piawaian kualiti ketat pasaran Jepun, kata Zulkepli.

"Setakat ini, kita sudah mempunyai 14 pekebun yang mempunyai sijil GAP dan mereka telah berjaya mengeksport buah-buahan mereka ke Jepun tahun lepas.

"Kami sedang mengaudit 29 pemilik kebun individu baru untuk program eksport ke Jepun dan... kami menyasarkan hasil keseluruhan mencecah 4,000 tan metrik pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.