SPRM minta menantu bekas PM pulang hadapi pendakwaan
2024.02.22
Kuala Lumpur
Agensi anti-rasuah Malaysia pada Khamis menyatakan pihaknya telah menyelesaikan siasatan kes pecah amanah jenayah terhadap menantu bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bersedia untuk mendakwanya sebaik sahaja beliau pulang ke negara itu.
Muhammad Adlan Berhan, 48, yang dipercayai bersembunyi di luar negara, dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan ke atas projek yang melibatkan pendaftaran dan pengambilan pekerja serta penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
"Kertas siasatan melibatkan Adlan telah selesai dan bersedia untuk dituduh (di mahkamah), namun dia masih belum dapat dikesan dan belum kembali ke tanah air,” kata Azam pada sidang media di Kuala Lumpur.
Adlan telah disenaraikan sebagai “orang dikehendaki” sejak tahun lalu dan dipercayai sedang menyembunyikan diri bagi mengelak pendakwaan pecah amanah jenayah oleh agensi anti-rasuah Malaysia itu.
Pada Ogos lalu, SPRM memaklumkan yang suruhanjaya itu sedang mengesan Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat, 69, setelah kedua-duanya gagal hadir bagi membantu siasatan keatas kes rasuah dan penyelewengan bernilai berbilion ringgit melibatkan kes terbabit.
“Hasil semakan SPRM dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kedua-dua penama berkenaan telah meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023 serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini,” jelas SPRM dalam kenyataan tersebut.
Adlan, bagaimanapun menafikan tuduhan melarikan diri daripada undang-undang menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguamnya Baljit Singh Sidhu pada 9 Ogos.
Kenyataan tersebut turut memaklumkan Adlan akan pulang ke Malaysia bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan SPRM selagi ia tidak mengandungi unsur-unsur ancaman atau penganiayaan.
“Anak guam kami memiliki hak sama seperti rakyat Malaysia yang lain iaitu bebas untuk bergerak dan mengembara termasuk ke luar negara, apatah lagi untuk menjalankan perniagaan ke seluruh pelosok dunia,” menurut Baljit.
Mansoor turut membuat kenyataan pada bulan yang sama menyangkal dakwaan melarikan diri sebaliknya sudah memberikan kerjasama kepada SPRM yang mengetahui lokasi keberadaannya.
"Saya meninggalkan Malaysia pada pertengahan Mei lalu atas urusan perniagaan. Saya kemudian dihubungi oleh pegawai penyiasat SPRM dan memberi maklum balas melalui surat bertarikh 3 Jun 2023 bahawa saya akan kembali selepas menyelesaikan urusan perniagaan.
"Bagaimanapun, pegawai penyiasat SPRM menggesa saya untuk pulang dengan segera ketika kemuncak kempen politik Pilihan Raya Negeri. Saya memaklumkan terdapat urusan yang belum selesai dan akan pulang dalam masa terdekat," katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Interpol
Pada Oktober lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan telah menerima jawapan serta dokumen yang diperlukan daripada SPRM dan permohonan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Adlan dan Mansoor telah diserahkan kepada Interpol Asia.
“Notis merah kita telah hantar kepada Interpol (Asia) dan pihak mereka masih menunggu jawapan dari Lyon (ibu pejabat Interpol di Perancis) dan kita yakin notis merah akan dikeluarkan,” kata Razarudin semasa satu sidang media.
Laporan media tempatan pada Februari tahun lalu memetik sumber SPRM berkenaan siasatan penyalahgunaan kuasa dalam proses pemberian kontrak kerajaan bernilai lebih RM1 bilion (AS$250 juta) kepada menantu seorang bekas perdana menteri.
Susulan laporan tersebut, Muhyiddin memuat naik satu hantaran di laman media sosial milik beliau pada 9 Februari menafikan pemberian kontrak tersebut kepada menantunya selain menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berniat jahat bagi menutup kepincangan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran tersebut, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan beliau tidak pernah sama sekali terlibat dalam proses penganugerahan kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad (IRIS) yang dijalankan secara tender terbuka semasa memegang jawatan perdana menteri.
“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai perdana menteri pada waktu itu.
“Selain itu, tiada mana-mana ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” menurut Muhyiddin dalam hantaran berkenaan.
Pentadbiran Muhyiddin menyifatkan NIISe sebagai sistem yang lebih baik berbanding Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) iaitu sistem utama Jabatan Imigresen yang merekodkan jumlah pelawat keluar masuk ke Malaysia yang sudah digunakan lebih 20 tahun kerana kelemahannya tidak dapat mengesahkan pergerakan warga asing.
Sistem NIISe dilaporkan dicadangkan oleh Muhyiddin ketika menjadi Menteri Dalam Negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga 2020 selepas beliau membatalkan MyIMMS akibat kos yang tinggi.