Malaysia haram tayangan filem indie Mentega Terbang

Perintah larangan turut meliputi aktiviti publisiti bagi filem yang dikeluarkan pada 2021 itu.
Iskandar Zulkarnain & Minderjeet Kaur
2023.09.13
Kuala Lumpur
Malaysia haram tayangan filem indie Mentega Terbang Poster filem arahan pengarah Malaysia Khairi Anwar “Mentega Terbang,” yang diterbitkan pada 2021 kini diharamkan tayangannya oleh kerajaan Malaysia.
[Ihsan Facebook @mentegaterbangmovie]

Malaysia telah mengharamkan tayangan sebuah filem terbitan tempatan mengenai kisah seorang remaja perempuan Islam cuba mendalami pandangan agama lain mengenai konsep kelahiran semula selepas ibunya meninggal dunia, atas alasan “bertentangan dengan kepentingan awam.”

Filem indie “Mentega Terbang’ telah mencetuskan kemarahan dikalangan komuniti Islam yang konservatif di negara itu, dengan dakwaan bahawa karya tersebut menggalakkan umat Islam untuk meninggalkan agama mereka.

Pengharaman itu hadir selepas pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengharamkan jam tangan Swatch dengan tema LGBT, dua buku kanak-kanak dan sebuah novel, juga atas alasan mengancam negara yang berbilang kaum, di mana Islam adalah agama rasmi dengan umat Islam membentuk 70 peratus daripada populasi negara itu.

“Menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620), menteri membuat perintah yang boleh dinamakan Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023.

“Menteri melarang penayangan, pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem yang diperihalkan dalam jadual yang bertentangan dengan kepentingan awam di seluruh Malaysia.

“Bagi maksud perintah ini, filem yang disebut dalam subperenggan hendaklah termasuk bahan publisiti filem itu,” demikian menurut perintah larangan tersebut yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 21 Ogos.

Jadual yang dimaksudkan merujuk kepada tajuk filem iaitu Mentega Terbang arahan Khairi Anwar Jailani, terbitan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.

Perintah berkenaan telah diwartakan pada tarikh 1 September di laman web Jabatan Peguam Negara di bawah Akta Penapisan Filem 2002.

BenarNews cuba untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan keputusan Kementerian Dalam Negeri tentang larangan tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas ketika berita ini dikeluarkan.

Ancaman bunuh

Skrip filem ditulis oleh Khairi bersama Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui telah mengundang kecaman hebat oleh kumpulan konservatif Islam di negara itu apabila sedutan filem tersebut tular pada Mac lalu.

Mentega Terbang mengetengahkan kisah remaja Muslim bernama Aishah yang tertarik kepada agama dengan konsep kelahiran semula selepas kematian.

Antara sedutan filem kontroversi tersebut sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam adalah babak watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging babi daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan.

Dalam satu lagi babak, bapa Aisyah membenarkan remaja itu keluar dari Islam dan memeluk agama lain.
Para pengguna media sosial di kalangan umat Islam negara itu telah mengecam penerbitan filem yang didakwa cuba mengelirukan akidah umat Islam khususnya remaja.

Pada awal Mac, Menteri Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap filem itu mendapati Mentega Terbang bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia.

Susulan daripada itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meminta Jakim untuk mengemukakan ulasan secara terperinci supaya tindakan undang-undang dapat diambil.

Pada pertengahan Mac, Khairi telah menerima ancaman bunuh manakala dua buah kereta miliknya telah disimbah cat dan bahan asid.

Tindakan tersebut telah dikecam oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan yang di luar batas undang-undang.

Dalam kes itu, suspek masih belum dikenalpasti.

Meraih sokongan

Syahid Johan, salah seorang penerbit filem indie yang berpengalaman selama sepuluh tahun dalam industri perfileman mempersoalkan sama ada trend kekangan khususnya melibatkan kandungan kreatif yang sarat dengan elemen politik, semakin meningkat.

Ujarya, kecenderungan kerajaan untuk meraih sokongan pengundi Melayu telah membawa kepada peningkatan perhatian ke atas mereka yang disifatkan sebagai liberal.

Menurutnya tindakan itu membawa kepada pengharaman ke atas filem-filem yang mempunyai elemen kritis dan subjek-subjek yang kontroversi, semata-mata kerana ingin mendapat sokongan golongan pengundi majoriti.

“Adakah kerajaan cuba untuk mendapatkan (sokongan) pengundi Melayu dengan menekan sesiapa sahaja yang dianggap liberal?” ujarnya kepada BenarNews.

Sayid turut mempersoalkan mengapa kandungan seni harus dikekang atas nama politik dan menegaskan filem seperti Mentega Terbang seharusnya dilihat sebagai refleksi kepada satu usaha khalayak masyarakat memahami isu-isu yang kompleks.

Berikutan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada para penerbit filem indie yang mengangkat isu-isu kompleks dalam karya mereka akan menjadi “barisan hadapan” yang bakal berdepan dengan tindakan tatkala mereka bergelut dengan ketegangan di antara ekpresi kreatif mereka dan kekangan dari mereka yang cuba memancing sokongan pengundi.

“Mengapa mengganggu seni? Saya telah menonton filem itu dan tidak menemui apa yang salah mengenainya. Mengapa diharamkan? Ia adalah refleksi kepada pandangan kita dan cubaan untuk memahami agama kita,” ujarnya lagi.

Syahid menegaskan kerajaan perlu memberikan ruang kepada para penerbit untuk membina impresi seni mereka.

Mesej halus budaya liberal

Sementara itu, Faisal Chal timbalan presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia berkata sentimen yang diketengahkan dalam Mentega Terbang seperti babak remaja wanita Melayu memakan makanan tidak halal telah menimbulkan kemarahan sekumpulan umat Islam di Malaysia.

“Bagaimana kerajaan membenarkan (penayangan)? Jika tiada bantahan oleh orang ramai, mungkin kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya kepada BenarNews.

Faisal berkata kerajaan mungkin tidak mengharamkan filem berkenaan jika ia tidak mendapatkan kritikan lantang dari umat Islam, sambil menyifatkan langkah pengharaman tersebut bertujuan meredakan kemarahan orang ramai.

Muhammad Fauzi Asmuni, perunding kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa Mentega Terbang mengandungi mesej halus berkenaan fahaman liberal dalam amalan beragama.

“Mesej-mesej halus seumpama itu mungkin boleh ditapis oleh orang Islam yang berilmu. Tetapi bagi orang awam, mesej seumpama itu mempunyai potensi yang tinggi untuk mengelirukan. Ia juga amat jelas akan mengelirukan golongan muda dan kanak-kanak,” ujarnya kepada BenarNews.

Fauzi berkata Isma juga menyarankan agar tayangan filem itu tidak hanya diharamkan di pawagam atau televisyen, tetapi juga meliputi saluran media sosial.

“Untuk membuktikan keseriusan kerajaan terhadap pembikinan filem tersebut, penerbitnya mestilah dikenakan tindakan tegas. Tidak ada gunanya jika tayangan diharamkan tetapi penerbitnya tidak dikenakan tindakan apa-apa,” tegas beliau.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.