Sambutan Kemerdekaan ke-64 Malaysia Dibayangi Krisis Politik Tidak Berkesudahan

Krisis politik dapat diselesaikan melalui pilihan raya dengan pengundi muda penentu hala tuju negara, kata penganalisis.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
2021.08.31
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Sambutan Kemerdekaan ke-64 Malaysia Dibayangi Krisis Politik Tidak Berkesudahan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Muhaini Zainal Abidin secara maya menyaksikan persembahan kawad senyap oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, 31 Ogos 2021. Perdana Menteri itu masih menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia/BenarNews]

Malaysia pada Selasa menyambut Hari Kebangsaan ke-64 dalam suasana pandemik COVID-19 bagi dua tahun berturut-turut serta ketegangan politik yang belum menunjuk tanda akan reda, dimana penganalisis berpendapat krisis politik dapat diselesaikan melalui proses pilihan raya baharu dengan pengundi muda dilihat mempunyai suara mengubah hala tuju politik negara tersebut.

Dalam pada itu, di ambang sambutan Hari Kebangsaan, Anggota Parlimen Malaysia telah menerima notis pengumuman mengenai pindaan tarikh sidang Parlimen daripada Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat kepada tarikh baharu iaitu 13 September sehingga 12 Oktober dan bukan lagi seperti dijadualkan mulai 6 September sehingga 30 September.

Penganalisis berpendapat pergolakan politik yang berlaku sejak Putrajaya ditadbir oleh pemimpin yang tidak dipilih oleh rakyat dan telah bertukar sebanyak dua kali akan kekal tidak stabil selagi proses pilihan raya tidak dibuat bagi mengeluarkan negara itu dari pergolakan krisis tersebut.

Selain itu, para penganalisis yang bercakap kepada BenarNews berpandangan bahawa kemampuan Putrajaya menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi akan memberi impak sentimen terhadap pengundi muda.

“Pengundi muda bersikap kritikal untuk mengubah demokrasi Malaysia daripada para pembuat dasar yang tidak lagi selari dengan zaman kepada sistem yang bersifat lebih ampuh dan pelbagai, yang akhirnya membolehkan negara keluar dari persaingan yang bersifat mengongkong,

“Mereka juga (pengundi muda) merupakan kumpulan yang mempunyai suara paling dinamik dalam menuntut kepada perubahan, mereka tidak terikat kepada parti politik yang dianggotai oleh ibubapa mereka, tetapi lebih kepada polisi,” kata Penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Tashny Sukumaran kepada BenarNews.

Penganalisis politik dari University of Nottingham Bridget Welsh pula memberitahu BenarNews berpandangan rakyat terutamanya pengundi muda akan menggunakan hak mereka dalam sistem demokrasi untuk menghukum kerajaan yang gagal dalam menangani pandemik.

“Jelas kelihatan wujudnya ketidakpuasan di kalangan pengundi muda terhadap kebanyakan parti-parti politik utama, mereka memberi fokus terhadap penyampaian kerajaan dan salah tadbir ekonomi semasa COVID-19 untuk menghukum parti-parti yang berkuasa kerana golongan ini [pengundi muda] dan kurang berkemampuan yang paling teruk terjejas akibat pandemik,” ujar Welsh.

Agen perubahan

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat usaha untuk merealisasikan peranan golongan muda sebagai agen perubahan dalam sistem demokratik Malaysia adalah cabaran yang besar.

Ini kerana setakat September 2020, dianggarkan seramai 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih dan golongan ini mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan 15 juta warga Malaysia yang layak mengundi.

Selain itu, pada Mac lalu, Yang di-Pertua Dewan Negara, Rais Yatim dilaporkan berkata Undi 18 yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan Julai, tidak dapat diteruskan atas alasan pelbagai kekangan, antaranya proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun yang memakan masa lama.

Kesedaran golongan belia mengenai hak mereka untuk menentukan masa depan negara mula dilihat apabila pada April lalu, sekumpulan anak muda berusia antara 18 dan 20 tahun telah memfailkan tindakan undang-undang memohon beberapa perintah mahkamah berkaitan penangguhan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi automatik.

Mereka bermula dengan langkah kanan apabila pada pertengahan Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kumpulan anak muda itu untuk mengemukakan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, kerajaan serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden.

Mahkamah bersetuju dengan hujah pemohon pindaan beberapa akta berkaitan pilihan raya adalah isu kedua dan ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelaksanaannya.

Malaysia dicengkam krisis politik berpanjangan yang disebabkan oleh perebutan kuasa diantara parti politik di dalam negara. Dalam tempoh tiga tahun, Kerajaan Persekutuan telah bertukar tangan sebanyak tiga kali -dua Perdana Menteri – Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob yang dilantik tidak melalui proses Pilihan Raya ekoran keadaan negara yang masih belum bebas dari pandemik COVID-19.

Walaupun Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri baharu, politik negara masih tidak stabil kerana beliau memerintah negara dengan majoriti tipis 114, jumlah yang cukup tetapi masih boleh digugat pada bila-bila masa.

“Dalam senario biasa, penyelesaian terbaik kepada ketidakstabilan politik adalah dengan membubarkan parlimen dan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya, namun ia tidak dapat dilakukan sekarang kerana pandemik COVID-19 masih belum reda,” katanya penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Azizuddin Mohd Sani.

Krisis kesihatan di Malaysia juga melihat kepada lebih 1.7 juta penduduk telah dijangkiti pandemik itu manakala 15,000 orang kehilangan nyawa akibat COVID-19 sejak awal 2020.

Kerajaan menjangkakan Program Vaksinasi Kebangsaan yang dilancarkan pada Februari lalu akan berjaya memvaksinasikan 80 peratus penduduk dewasa Malaysia bagi mewujudkan imunisasi kelompok dan jika ini dicapai, Pilihan Raya yang akan datang mungkin akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan.

Notis Parlimen

Sementara itu, Nizam Mydin Bacha Mydin, setiausaha Dewan Rakyat dalam satu notis kepada para Ahli Parlimen pada Selasa, yang dilihat oleh BenarNews, memaklumkan: “Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis 30 September 2021 telah dipinda ke Isnin 13 September hingga Khamis, 12 Oktober 2021.”

Bagaimanapun, notis itu tidak menjelaskan sebab-sebab penangguhan manakala usul undi percaya bagi membuktikan keabsahan PM kesembilan Ismail Sabri Yaakob, yang mengangkat sumpah jawatan 10 hari lalu selepas mendapat sokongan 114 MP menerusi akuan bersumpah yang dipersembahkan kepada Istana Negara, tidak kelihatan dalam senarai agenda persidangan.

Dalam pada itu, badan pemerhati hak asasi, Human Rights Watch (HRW) menggesa PM Malaysia yang baru untuk memberi komitmen kepada kebebasan bersuara dan perhimpunan aman, serta tidak mengulangi tindakan keras ke atas para aktivis yang diamalkan oleh pentadbiran Muhyidin yang digantikannya.

“Pihak berkuasa Malaysia dalam tempoh setahun lalu telah mengambil pendekatan yang keras terhadap pengkritik dengan menindas dan mendakwa para peserta perhimpunan aman, wartawan dan para aktivis,” kata Linda Lakhdhir penasihat undang-undang HRW bagi rantau Asia dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya lagi, pelantikan Ismail Sabri sebagai PM baru wajar digunakan sebaiknya untuk membetulkan sikap terhadap kepentingan masyarakat yang lebih terbuka dan menghormati hak asasi di Malaysia, selain menghentikan pendakwaan ke atas mereka yang menegakkan hak asasi dan politik.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.