Malaysia akan ambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana kandungan memudaratkan

Malaysia berkata Meta telah gagal menurunkan kandungan sensitif berkait isu kaum, agama dan institusi diraja.
Iman Muttaqin Yusof
2023.06.23
Kuala Lumpur
Malaysia akan ambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana  kandungan memudaratkan Paparan foto Facebook dapat dilihat di skrin telefon pintar di hadapan logo syarikat selepas penjenamaan semula Meta, 28 Oktober 2021.
[Dado Ruvic/Ilustrasi/Reuters]

Kerajaan Malaysia pada Jumaat berkata Putrajaya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat induk Facebook, Meta Platforms, atas kegagalannya menurunkan kandungan memudaratkan dari platform media sosial itu walaupun selepas diminta berbuat demikian berulang kali.

Facebook "dibelenggui dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama, serta penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan," demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dalam satu kenyataan media, pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas undang-undang komunikasi tersebut berkata kerajaan gagal dalam usahanya untuk mendapatkan kerjasama Meta bagi menangani masalah kandungan di Facebook.

"Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam," kata SKMM dalam kenyataan itu.

Meta Malaysia tidak memberikan respon segera terhadap permohonan BenarNews untuk mendapatkan komen mereka. SKMM pula masih belum memberikan maklum balas terhadap beberapa soalan daripada BenarNews untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil itu.

Menurut platform pengurusan media sosial, Hootsuite, dari Kanada, daripada 5.3 bilion pengguna Internet di seluruh dunia, sebanyak 3.71 bilion mengguna sekurang-kurangnya satu daripada empat aplikasi milik Meta setiap bulan - Facebook, Instagram, Messenger, atau Whatsapp.

Statistik pula menganggarkan lebih 25 juta orang menggunakan Facebook di Malaysia, negara majmuk berbilang kaum di Asia Tenggara di mana isu berkaitan agama, perkauman serta institusi raja adalah dianggap sensitif.

Pada April lalu, Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan terhadap kenyataan-kenyataan menghina yang menyentuh tiga perkara tersebut.

Malaysia sebelum itu telah mengarahkan laman-laman web serta platform media sosial, termasuk Facebook dan Twitter supaya menurunkan kandungan sedemikian.

Pada awal bulan ini, kerajaan Malaysia mengancam untuk mengambil tindakan terhadap aplikasi Telegram milik Rusia kerana platform berkenaan telah disalahgunakan untuk aktiviti penipuan, penyebaran bahan lucah, serta pengedaran dadah.

Bagaimanapun, Telegram kemudiannya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selepas mengadakan pertemuan dengan polis dan SKMM awal minggu ini.

Syarikat-syarikat penyedia platform media sosial telah menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada orang ramai serta penggubal undang-undang di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ketika perdebatan hangat mengenai tahap tanggungjawab yang perlu diambil penyedia platform itu dalam mengawal kandungan.

Di Asia Tenggara, negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam telah meluluskan undang-undang yang mengkehendaki syarikat penyedia media sosial untuk menurunkan isi kandungan yang dianggap memudaratkan dalam tempoh 24 jam.

Singapura juga telah memperkenalkan peraturan serupa di bawah Rang Undang-Undang Keselamatan Atas Talian pada hujung tahun lepas.

Pejuang hak dan kebebasan bagaimanapun menyatakan bahawa dalam kebanyakan kes, undang-undang kawalan tersebut telah ‘menyekat’ kebebasan bersuara.

Pihak berkuasa di Malaysia sebelum ini pernah menahan pengguna Internet kerana mengkritik kerajaan, institusi diraja serta Islam, menurut Freedom House, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpusat di Washington DC.

Dalam laporan suku tahunan dikeluarkan pada Ogos 2022, Meta berkata ia telah menurunkan sebanyak 596 akaun Facebook, 180 halaman, 11 kumpulan dan 72 akaun Instagram kerana melanggar polisi syarikat itu berkenaan tingkah laku tidak tulen yang diselaraskan.

Menurut Meta, satu jaringan ditubuhkan di Malaysia untuk merosak atau memanipulasi pandangan awam, dan didakwa mempunyai kaitan dengan Polis Diraja Malaysia.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.