Kerajaan Malaysia Meterai Pakatan Bersejarah Dengan Pembangkang Demi Kestabilan Negara

Mereka bersetuju Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum Ogos, cadang Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai PM.
Hadi Azmi
2021.09.13
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia Meterai Pakatan Bersejarah Dengan Pembangkang Demi Kestabilan Negara Speaker Dewan Negara Rais Yatim (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani pakatan kerjasama antara Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob (paling kanan) dan pemimpin pembangkang Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (dua dari kiri) di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur,13 Sept 2021.
[Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia]

Kerajaan Malaysia pada Isnin telah menandatangani satu perjanjian kerjasama dengan blok utama pembangkang yang dijangka mampu memastikan kestabilan pentadbiran pemerintah, iaitu yang ketiga dalam tempoh 18 bulan susulan pertikaian politik.

Memorandum itu, yang dimeterai pada hari pertama satu daripada persidangan rutin Parlimen tahun ini, menyatakan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum Ogos 2022 sekali gus mencadangkan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang memiliki majoriti tipis, akan kekal berkuasa sekurang-kurangnya sehingga tarikh itu.

“Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan hari ini melakar sejarah negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik,” kata Perdana Menteri itu merujuk kepada blok utama pakatan pembangkang yang diketuai ahli politik veteran Anwar Ibrahim.

“MoU ini membentuk kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.”

Butiran MoU itu dijangka dikeluarkan pada Selasa, menurut Pejabat Perdana Menteri namun beliau berkata ia merangkumi enam agenda termasuk pelan pemulihan COVID-19, transformasi pentadbiran, reformasi Parlimen dan kebebasan institusi kehakiman.

Ahli Parlimen Pembangkang Fahmi Fadzil dalam ciapannya berkata kerajaan dan pembangkang telah bersetuju bahawa “Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai 2022.”

Ini bermakna kestabilan politik adalah dijamin sekurang-kurangnya bagi tempoh 300 hari. Malaysia dijadual mengadakan pilihan raya umum pada 2023 namun pendahulu Ismail Sabri iaitu Muhyiddin Yassin telah berjanji bahawa ia akan diadakan sebaik sahaja pandemik COVID-19 reda.

MoU itu adalah hasil beberapa siri rundingan kedua-dua pihak yang menyaksikan satu kenyataan bersama dikeluarkan padda Ahad bagi mengumumkan persetujuan yang dicapai.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, yang membuka persidangan Parlimen, memuji usaha ke arah pemeteraian memorandum persefahaman itu yang disifatkan baginda sebagai “matang.”

MoU itu juga mampu membuka laluan ke arah pembaharuan politik, yang dijanjikan Ismail Sabri pada Jumaat lepas dalam usaha meraih sokongan pembangkang.

Pembaharuan yang ditawarkan beliau termasuk undang-undang melarang Ahli Parlimen melompat parti dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun. Portal berita tempatan Malaysiakini yang mendakwa telah melihat salinan tawaran itu berkata kedua-dua pembaharuan ini tidak disertakan dalam MoU itu.

Malaysiakini juga berkata MoU itu menyatakan bahawa Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar sama ada akan menyokong atau mengambil sikap berkecuali daripada undi berhubung belanjawan jika ia atau rang undang-undang berkaitan dirundingkan terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak sebelum dibentangkan.

Fahmi, yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat pimpinan Anwar, antara pihak yang memeterai memorandum persefahaman itu berkata Pakatan Harapan akan terus berfungsi sebagai pembangkang.

“Pakatan Harapan tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan atau terlibat dalam penggubalan dasar secara langsung,” katanya dalam beberapa siri ciapan.

“Kami kekal sebaagai pembangkang dalam Parlimen yang setia kepada Seri Paduka Baginda untuk menyediakan semak dan imbang kepada kerajaan bagi memastikan mereka kekal bertanggungjawab terhadap rakyat.”

‘Ismail Sabri bukan reformis’

Penganalisis politik James Chin, seorang professor di Universiti Tasmania, berkata beliau masih ragu-ragu bahawa MoU itu akan membawa perubahan besar dalam politik Malaysia.

“MoU itu adalah sesuatu yang baik namun ia tidak akan mengubah landskap politik secara kekal,” kata Chin kepada BenarNews.

Beliau berkata Ismail Sabri hanya ingin memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong yang menggesa semua pihak berusaha ke arah kestabilan politik.

“Seperti yang pernah saya katakan beberapa kali sebelum ini, Ismail Sabri bukan seorang reformis. Perkara ini hanya berlaku disebabkan tekanan daripada Istana, COVID-19, krisis ekonomi yang sedang melanda serta rakyat yang semakin meluat dengan kerenah politik. Persekitaran yang khusus,” kata Chin.

Yang di-Pertuan Agong telah menamakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri bulan lepas setelah pemimpin terdahulu iaitu Muhyiddin meletak jawatan kerana Ahli Parlimen parti politik terbesar dalam gabungan pemerintahannya menarik balik sokongan mereka terhadap beliau.

Muhyiddin telah dinamakan sebagai Perdana Menteri oleh Agong selepas kerajaan pimpinan ahli politik veteran Mahathir Mohamad yang dipilih semasa pilihan raya umum tumbang pada Februari 2020 susulan pertikaian dalaman setelah melakar kemenangan bersejarah pada 2018.

Kerajaan pakatan pimpinan Muhyiddin, yang turut terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), terpaksa berdepan pertikaian dalaman sepanjang 17 bulan memerintah. Sejak Ismail Sabri daripada UMNO mengangkat sumpah pada 22 Ogos, pihak dalam pakatannya, yang turut melibatkan Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin, juga sering bertikam lidah.

Seperti pendahulunya, Ismail Sabri memiliki majoriti tipis di Parlimen dengan hanya 114 daripada 220 Ahli Parlimen menyokong beliau. Jika hanya empat Ahli Parlimen menarik balik sokongan terhadapnya, beliau akan kehilangan sokongan majoriti.

Penganalisis politik Wong Chin Huat pula berkata beliau melihat situasi parlimen tergantung selepas pilihan raya berikutnya.

“MoU ini memberikan peluang kepada parti-parti utama untuk belajar menyesuaikan diri antara satu sama lain dan bersaing secara profesional,” kata Wong dari Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs.

Beliau berkata jika kerjasama ini berhasil dan kepelbagaian partisan berjaya dilahirkan, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai tindakan melompat parti oleh Ahli Parlimen atau perdana menteri yang kerap bertukar pada masa akan datang.

“Meskipun butiran kerjasama yang didedahkan hari ini mungkin tidak menepati semua kehendak kita, semua pihak yang terlibat termasuk orang awam, hendaklah mendesak agar ia terus diperbaiki pada bulan-bulan yang akan datang,” kata Wong kepada BenarNews.

“Marilah kita berikan peluang kepada keamanan, meskipun ia tidak sempurna.”

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.