Kes Perbicaraan MH17 Bermula, Malaysia Pantau Perkembangan

Nisha David & Noah Lee
2020.03.09
Kuala Lumpur, Malaysia
200309-MY-MH17-Hague1000.jpg Kelihatan kerusi kosong bagi tertuduh dengan barisan hakim memasuki ruang mahkamah untuk perbicaraan empat lelaki yang didakwa menembak jatuh Penerbangan Malaysia MH17, di The Hague, Belanda, 9 Mac, 2020.
[AP]

Perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh terhadap tiga warga Rusia dan seorang rakyat Ukraine, dituduh menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia MH17 sehingga menyebabkan kematian 298 orang, lima tahun lepas, bermula di Mahkamah Daerah The Hague, Belanda, dengan Malaysia memanggilnya satu tonggak ke arah mencari kebenaran serta menwujudkan keadilan.

Hakim Henrik Steenhuis dalam ucapan pembukaan memulakan prosiding di mahkamah yang terletak di Kompleks Kehakiman Schipol (SJC), The Hague pada Isini berkata fail kes mengandungi 36,000 helaian bukti digital berhubung kes tersebut telah diserahkan oleh Jabatan Pendakwaraya Belanda kepada mahkamah.

"Ramai yang menunggu perbicaraan ini bermula. Hari ini perbicaraan kes jenayah MH17 akan bermula,” kata Steenhuis, yang mengetuai barisan tiga hakim, yang sebelum itu turut memperkenalkan dua lagi hakim, iaitu Dagmar Kosters dan Helen Kersterns-Fockens pada permulaannya.

Beliau berkata demikian sebaik saja selepas pendakwa raya Dedy Woei-A-Tsoi bangun dan menyebut nama satu persatu mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan yang mengambil masa kira-kira 20 minit. Turut bersama pasukan Dedy ialah Ward Ferdinandusse.

Hakim itu berkata, kes menembak jatuh MH17 pada 17 Julai 2014 di Timur Ukraine merupakan sebab kenapa kes ini dibuka.

“Akibat dari kejadian itu, 298 lelaki, wanita dan kanak-kanak telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah impak daripada kejadian itu dan perlu dilalui waris, hampir tidak dapat dibayangkan.

Penumpang dan anak kapal terdiri daripada 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia terbunuh dalam kejadian tersebut.

Kes berprofil tinggi itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Daerah tersebut mengikut sistem perundangan Belanda.

Empat tertuduh yang dinamakan dalam pendakwaan ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Seorang tertuduh, Pulatov diwakili oleh dua peguam Belanda, manakalan sembilan peguam mewakili 398 keluarga dan waris mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan kesalahan membunuh dan dengan sengaja serta tidak sah memusnahkan MH17 yang menyebabkan kematian penumpang dan anak kapal, dengan skop tuduhan mungkin akan diperluaskan lagi semasa prosiding.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun penjara tanpa parol atau pembebasan awal.

Kesalahan menyebabkan jatuhnya pesawat MH17 sehingga menyebabkan kematian semua penumpang dan anak pesawat adalah mengikut Artikel 168 Kod Jenayah Belanda manakala kesalahan membunuh pula adalah mengikut Artikel 289 kod sama.

Hakim itu berkata, peguam kepada Pulatov akan turut diberikan peluang untuk mengkaji fail kes tersebut selama beberapa minggu sebagai persiapan bagi perbicaraan berkenaan.

Steenhuis turut berkata bahawa dalam tempoh perbicaraan itu, mahkamah akan memberikan peluang kepada ahli keluarga mangsa untuk memberikan keterangan di mahkamah.

Difahamkan keluarga mangsa dari Malaysia tidak hadir pada perbicaraan kali ini manakala kerajaan pula menghantar wakil dari Jabatan Peguam Negara dan pegawai daripada pejabat Kedutaan Malaysia Amsterdam bagi memantau perkembangan kes.

Malaysia sambut baik


Wisma Putra dalam satu kenyataan menyambut baik perbicaraan itu diadakan sambil berkata  langkah tersebut amat penting dalam mengetahui kebenaran serta memberikan keadilan kepada mangsa tragedi pesawat MH17 yang berlaku enam tahun lepas.

“Sebagai ahli Pasukan Jawatankuasa Bersama (JIT), Malaysia kekal komited terhadap proses kehakiman dan penyiasatan. Malaysia menggesa semua negara dan pelakunya untuk memberikan kerjasama penuh dalam penyiasatan menurut Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2014),

Menurut kementerian itu, Malaysia menekankan betapa pentingnya proses yang berwibawa dan telus berdasarkan kedaulatan undang-undang dalam menegakkan keadilan dengan turut memantau rapat prosiding mahkamah tersebut.

Usaha kesan pelaku sebenar

Darlina Kwan, adik Ketua Pramugari pesawat tersebut, Dora Shahila Kassim, perbicaraan yang sedang berlangsung di Belanda itu diharap dapat mengesan si pelaku yang bertanggungjawab dalam kes itu.

"Mahkamah juga perlu mengenalpasti punca sebenar kejadian ini. Kami memang sudah dimaklumkan mengenai perbicaraan yang baru bermula melalui emel dan memang mengikuti setiap butiran dari Malaysia," katanya kepada BeritaBenar.

Katanya, kehidupan tanpa kakaknya yang mengutamakan hubungan kekeluargaan memang berbeza dan arwah cukup penting untuk keluarga mereka.

"Anak tunggalnya, Nur Diyana Yazeera baru sahaja dapat menerima hakikat dan mendapat kekuatan untuk meneruskan pengajiannya. Bukan mudah untuk anak tunggal itu membesar tanpa ibunya," katanya.

Detik penting mencari keadilan


Sementara itu, kerajaan Ukraine menyatakan perbicaraan kes itu menjadi satu detik penting ke arah menegakkan keadilan bagi mangsa MH17 dan waris dengan persalah perlu dipertanggungjawabkan keatas tindakan mereka itu.

"Kami amat yakin terhadap kebebasan dan profesionalisme prosedur perundangan mahkamah Belanda. Bidang kuasa utama untuk menyiasat dan membicarakan dalang serangan ini adalah hak Ukraine.

“Bagaimanapun, bagi memastikan perbicaraan yang benar-benar bebas dan telus, hak untuk menghukum di bawah Pasukan Siasatan Bersama (JIT) diserahkan kepada Belanda," kata Duta Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo menerusi satu kenyataan kepada Bernama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.