Peluru Berpandu Rusia Punca Nahas Pesawat MH17, Laporan Belanda

Imran Vittachi & S. Adie Zul
2015.10.13
151013-MY-MH17-620 Serpihan muncung pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17 ditunjukkan kepada media di The Hague semasa pembentangan laporan akhir siasatan nahas itu oleh Lembaga Keselamatan Belanda, 13 Oktober 201
AFP

Kemaskini pada 11.30a.m. ET - 2015-10-14

Satu peluru berpandu buatan Rusia menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines Penerbangan 17 di timur Ukraine pada Julai 2014, kata penyiasat Belanda dalam satu laporan akhir pada Selasa, menyebabkan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menggesa supaya tindakan segera diambil dengan  membawa pihak yang menyebabkan nahas itu  ke muka pengadilan.

Ini merupakan kali pertama penyiasat mengesahkan kepada umum bahawa peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia telah digunakan untuk menembak jatuh pesawat itu, yang  mengorbankan kesemua 298 anal kapal dan penumpangnya.

“Kini kita  tahu bahawa pesawat itu telah ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pengumuman laporan Belanda.

"Walaupun ia telah lama dispekulasikan, hakikatnya rantaian peristiwa itu kini dbuktikan secara muktamad oleh Lembaga Keselamatan Belanda yang bermakna kita mesti terus mengambil langkah untuk memastikan mereka yang terbabit dipertanggungjawabkan bagi tindakan kejam ini," katanya.

Empat puluh tiga rakyat Malaysia dan 13 rakyat Indonesia adalah di antara yang terbunuh dalam nahas pesawat MH17 semasa berada di ruang udara timur Ukraine, yang dikuasai oleh pemberontak yang disokong Rusia, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai, 2014.

Kebanyakan penumpang adalah rakyat Belanda, menurut senarai penumpang yang dikeluarkan oleh Malaysia Airlines (MAS).

Laporan setebal 279 muka surat daripada Lembaga Keselamatan Belanda membentangkan kesemua faktor yang menyebabkan insiden itu, tetapi ia tidak secara khusus menyalahkan mana-mana pihak dalam nahas pesawat Boeing 777 yang berlaku berhampiran perkampungan Hrabove di Ukraine.

Nahas itu berpunca daripada ledakan peluru berpandu darat ke udara BUK yang terbang berhampiran bahagian depan jet jumbo itu, kata para pegawai Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) semasa membentangkan laporan berikutan penyiasatan bencana itu.

"MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat ke udara BUK," kata Pengerusi lembaga itu Tjibbe Joustra pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media antarabangsa di pangkalan udara Gilze-Rijen, Netherlands. Sidang itu diadakan dengan berlatarkan binaan semula sebahagian daripada bangkai pesawat malang itu.

Sebahagian daripada muncung, kokpit dan kelas perniagaan pesawat itu telah dibina semula daripada serpihan pesawat yang ditemui di tempat kejadian nahas dan diterbangkan ke pangkalan udara itu, yang terletak di selatan Netherlands.

Joustra berkata, MH17 ditembak jatuh semasa terbang pada paras 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Letupan itu membunuh serta merta tiga anak kapal pesawat malang Malaysia itu yang kemudian menyebabkan pesawat itu berkecai di udara, kata beliau.

'Keraguan Serius'

Prasangka mengenai siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu itu sebahagian besarnya ditujukan kepada pemberontak Ukraine yang disokong  Rusia  atau tentera Rusia yang menjalankan operasi di zon perang itu, tetapi Rusia menolak teori berkenaan dengan menegaskan bahawa roket itu telah dilancarkan oleh tentera kerajaan Ukraine.

Pada Julai 2015, Malaysia dan empat negara lain - Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine - menggubal resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)  yang menggesa tribunal antarabangsa supaya mendakwa pelaku nahas itu. Tetapi Rusia menggunakan vetonya untuk mengelakkan tindakan itu  dalam undi Majlis Keselamatan PBB.

Lima negara di sebalik ketetapan itu kini bersatu sebagai Pasukan Penyiasatan Bersama dan sedang menjalankan siasatan jenayah terhadap nahas itu,  yang merupakan siasatan berasingan daripada penyiasatan yang dijalankan oleh Lembaga Keselamatan Belanda, kata Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DAC), hari ini.

Kerajaan Rusia pula mempersoalkan integriti hasil siasatan Belanda itu.

"Masih ada  keraguan yang serius sama ada matlamat tulen sesuatu penyiasatan yang dijalankan di Belanda merupakan hasil sebab sebenar di sebalik malapetaka itu dan bukannya menjustifikasikan dakwaan  yang  telah dikemukakan terlebih dahulu," lapor Agence France-Presse yang memetik jurucakap Kementerian Luar Rusia  Maria Zakharova sebagai berkata.

"Pakar-pakar Rusia tidak pernah mendapat akses kepada semua bahan-bahan siasatan itu," katanya, sambil menambah mereka akan mengkaji laporan itu dengan teliti.

Ruang Udara selamat?

Laporan itu juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan pesawat yang terbang di ruang udara zon konflik, walaupun pada paras yang amat tinggi daripada kawasan darat. Dalam tempoh tiga hari hingga kepada hari kejadian itu, sebanyak 61 pengendali syarikat penerbangan dari 32 negara menerbangkan pesawat mereka di ruang udara kawasan bergolak di timur Ukraine, kata DSB. Pada hari nahas itu, sebanyak 160 penerbangan komersil melalui kawasan berkenaan.

Najib turut menyentuh mengenai hal itu dengan menggambarkan nahas itu sebagai "satu tindakan yang tidak diduga."

“Daripada 160 penerbangan yang melalui laluan sama seperti MH17, tiada satupun dinasihatkan oleh pihak berkuasa mengenai sebarang ancaman.," katanya.

Dan sejauh manakah Malaysia Airlines bertanggungjawab, "Malaysia Airlines menyedia dan mengendalikan pesawat MH17 mengikut peraturan dan undang-undang," kata Lembaga Keselamatan Belanda dalam kenyataan akhbar yang mengiringi laporan yang dikeluarkan itu.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa "pihak-pihak penerbangan terlibat tidak mengesan dengan secukupnya tentang risiko konflik bersenjata di bahagian timur Ukraine untuk melakukan penerbangan awam melintasi ruang udara itu."

“Malah, Ukraine mempunyai alasan mencukupi untuk menutup ruang udara di zon konflik bersenjata di timur Ukraine sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014,” kata pegawai-pegawai DSB.

Malaysia Airlines, yang turut kehilangan pesawat lain MH370, di bawah keadaan misteri hanya empat bulan sebelum nahas MH17, juga mengeluarkan kenyataan sebagai reaksi kepada pengumuman laporan Belanda itu.

"MAS telah bekerja rapat dengan pihak berkuasa Belanda dan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyiasatan. Kami mengalu-alukan pengumuman hasil laporan itu dan berharap ia dapat memberi penjelasan kepada keluarga mangsa kejadian yang amat tragik,” kata syarikat penerbangan itu.

"MAS juga memberi jaminan kepada semua waris mangsa bahawa kami akan terus bekerjasama dengan pihak terbabit dengan kejadian yang menimpa pesawat MH17,” kata MAS.

'Tidak Konklusif'

Di Pulau Pinang, negeri kelahiran dua anak kapal pesawat malang itu,  anggota keluarga mereka menuntut keadilan untuk orang kesayangan mereka itu.

"Saya telah membaca laporan itu di Internet tetapi ia tidak konklusif mengenai siapa yang bertanggungjawab di sebalik kejadian itu. Mesti ada yang bertanggungjawab. Mana-mana negara mesti bertanggungjawab," kata Jijar Singh Sandhu, bapa pramugara Sanjid Singh Sandhu,  kepada pemberita di rumahnya di Bukit Mertajam pada petang Selasa.

"Pada masa ini, kita masih tidak tahu dengan pasti siapa dalangnya. Kita perlu tahu siapa mereka supaya kita boleh mendakwa mereka,” katanya.

“Jika mereka mengatakan Rusia, kita boleh dakwa Rusia. Jika Ukraine bertanggungjawab, kita boleh dapatkan peguam untuk menyaman Ukraine.”

Semua 15 anak kapal pesawat itu adalah rakyat Malaysia.

‘Dakwa dalang’

Malaysia tetap mahu mendakwa mereka yang bertanggungjawab melepaskan tembakan peluru berpandu BUK yang menyebabkan MH17 terhempas, kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa.

Beliau berkata, bersandarkan kepada laporan DSB, Malaysia bersama Pasukan Siasatan Bersama (JIT) berasa lebih cekal untuk mencari keadilan buat mangsa MH17 yang terkorban dan sebagai sebahagian daripada anggota JIT, Malaysia kekal dengan satu matlamat untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Tribunal antarabangsa di bawah Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mungkin telah diveto tetapi perjuangan kami untuk keadilan masih belum selesai. Malaysia bersama-sama rakan JIT - Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia sedang berusaha untuk menerima pakai satu perjanjian bagi menubuhkan mahkamah antarabangsa bebas dalam usaha mendapatkan mekanisme pendakwaan efektif terhadap mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada DSB kerana melakukan siasatan teliti dan telus, Liow berkata, Malaysia akan terus menggerakkan usaha untuk menjadikan ruang udara lebih selamat dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersatu melaksanakan usaha itu.

“Kita tidak boleh melengahkan lagi perubahan operasi penerbangan antarabangsa komersil. Perlu ada laporan tepat pada waktunya mengenai maklumat berkaitan risiko penerbangan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) oleh negara anggota.

"ICAO mesti menubuhkan protokol sejagat untuk menyebarkan maklumat ini kepada negara anggota dan syarikat penerbangan," kata beliau dalam kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berkata usaha mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi MH17 masih dijalankan oleh JIT yang terdiri daripada penyiasat Malaysia, Belanda, Ukraine, Australia dan Belgium.

Ketua Pengarah DCA Azharuddin Abdul Rahman menjelaskan laporan DSB pada Selasa dibuat berdasarkan kepada Lampiran 13 ICAO yang hanya meliputi aspek teknikal termasuk mengenal pasti punca nahas.

"Lampiran 13 ini adalah untuk mencari apa sebenarnya yang berlaku dan membuat cadangan supaya perkara sama tidak berulang lagi.

"Oleh itu, ia tidak bertujuan mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab kerana itu bukan terma rujukan Lampiran 13," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.