Follow us

Tempoh Dua Tahun Saman MAS Berakhir

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2016-07-18
E-mel
Komen
Share
Abderrahman, anak lelaki bekas pegawai penerbangan pertama Ahmad Hakimi Hanapi, seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 yang ditembak di timur Ukraine dua tahun lalu, sedih semasa beliau dan ibunya Asmaa Aljuned menghadiri majlis Tahlil dan mengingati kejadian itu di Sepang, Selangor, 18 Julai 2016.
Abderrahman, anak lelaki bekas pegawai penerbangan pertama Ahmad Hakimi Hanapi, seorang rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 yang ditembak di timur Ukraine dua tahun lalu, sedih semasa beliau dan ibunya Asmaa Aljuned menghadiri majlis Tahlil dan mengingati kejadian itu di Sepang, Selangor, 18 Julai 2016.
AFP

Tempoh dua tahun yang digariskan oleh konvensyen antarabangsa bagi waris mangsa pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak dari jarak jauh di Ukraine, untuk menyaman syarikat penerbangan itu berakhir pada Ahad, dengan sekumpulan waris kepada tujuh keluarga mahu memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines (MAS) minggu depan.

Hasrat itu dinyatakan oleh jurucakap kumpulan waris berkenaan Mohamed Affendi Khairuddin, 45,  iaitu suami kepada seorang pramugari MH17, Mastura Mustafa yang terkorban dalam nahas itu, kepada pemberita pada Isnin.

Waris kepada tujuh anak kapal dan penumpang itu ialah waris juruterbang, Kapten Wan Amran Wan Hussin; pembantu juruterbang, Muhamad Firdaus Abdul Rahim; anak kapal, Sanjid Singh Sandhu, Shaikh Mohd. Noor Mahmood dan dua lagi keluarga penumpang MH17 yang akan diumumkan kemudian.

Pesawat Boeing 777-200 milik MAS yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh menggunakan sistem peluru berpandu darat ke udara buatan Rusia, BUK dari wilayah yang dikuasai pemberontak Ukraine pada 17 Julai 2014.

Sebuah konvensyen antarabangsa yang dimeterai pada 1999 menggariskan bahawa waris mangsa mempunyai tempoh sehingga dua tahun untuk menyaman syarikat penerbangan tetapi bukan kerana faktor trauma psikologi.

Tuntutan saman itu adalah untuk menuntut ganti rugi atas dakwaan cuai dan pelanggaran kontrak ekoran kehilangan ahli keluarga mereka dalam penerbangan pesawat tersebut dua tahun lepas itu.

“Saman itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekurang-kurannya pada awal minggu depan, kerana setakat ini tidak ada sebarang persetujuan yang dicapai dengan MAS berkaitan dengan pampasan atau penyelesaian kes tersebut .

“Kami telah melantik peguam untuk menyaman MAS demi mendapatkan keadilan kerana apa yang berlaku ini adalah atas kecuaian pihak MAS,” katanya kepada BeritaBenar pada Isnin.

Beliau berkata, MAS telah mendedahkan anak-anak kapalnya kepada bahaya dengan membiarkan pesawat itu terbang melalui kawasan bergolak yang telah diisytiharkan sebagai zon perang.

Pada 2 Jun lalu, sebanyak 11 waris enam anak kapal MH17 turut memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap MAS bagi menuntut ganti rugi atas alasan sama.

Mohamed Affendi dalam pada itu menggesa pihak kerajaan supaya lebih telus dan tidak membiarkan waris-waris mangsa MH17 tertunggu-tunggu tanpa sebarang jawapan.

“Kejadian telah berlaku genap dua tahun hari ini tetapi siapa dan kenapa pesawat itu ditembak masih belum diketahui, begitu juga dengan keputusan analisis kotak hitam.

“Akibat daripada itu, pampasan atau insurans juga kami tidak dapat, manakala janji-janji yang ditabur sebelum ini seperti pemberian biasiswa kepada anak-anak mangsa juga tidak ditunaikan.

“Kami juga seperti dilupakan kerana tidak pernah dihubungi untuk memaklumkan tentang perkembangan kes atau bertanyakan khabar kecuali jemputan majlis peringatan menerusi e-mel,“ jelasnya.

Reuters pada Isnin memetik laporan syarikat penyiaran kebangsaan Belanda, NOS bahawa MAS telah menandatangani perjanjian untuk menyelesaikan tuntutan kebanyakan mangsa penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine dua tahun lepas

NOS memetik Veeru Mewa , peguam yang mewakili mangsa warga Belanda.

Satu saman oleh seramai 33 waris mangsa MH17 dari Australia, New Zealand dan Malaysia dikemukakan terhadap Rusia dan Presiden Vladimir Putin di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada Mei lepas.

Kumpulan itu menuntut ganti rugi AS$7.6 juta (RM29.9 juta) bagi setiap anggota keluarga mereka yang maut dalam tragedi itu, kata peguam mereka, Jerry Skinner.

Di bawah Konvensyen Montreal, syarikat penerbangan perlu membayar ganti rugi sehingga kira-kira 130,000 euro (AS$145,000 ) kepada keluarga mangsa, tanpa mengambil kira situasi kemalangan.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Media dan Hubungan Luar MAS, Aniz Dzun Nurin ketika dihubungi BeritaBenar menegaskan, MAS tidak akan membuat sebarang kenyataan mengenai perkara pampasan.

Menurutnya , perkara itu adalah rahsia dan tidak akan mendedahkan jumlah pampasan hanya kepada ahli keluarga dan pasukan peguam yang dilantik oleh ahli keluarga.

Sementara itu MAS  dalam satu kenyataan  memberitahu,  lebih 200 anggota keluarga dan rakan-rakan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17, yang ditembak jatuh pada 2014, menghadiri satu majlis persendirian bagi memperingati mereka di Bangunan Pengurusan Penerbangan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Isnin

Majlis itu, yang dianjurkan oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB), turut dihadiri para pekerja syarikat penerbangan itu bagi memberi penghormatan dan memperingati 15 anak kapal yang terkorban dalam tragedi itu.

Anak kapal berkenaan adalah di antara 298 orang yang menaiki pesawat Boeing 777 itu.

Lihat Laman Penuh