MH17: Malaysia Dan Waris Mengalukan Pendakwaan Di Belanda

Ray Sherman
2017.07.07
Kuala Lumpur
170707-my-mh171000.jpg Ahli-ahli pasukan siasatan bersama membentangkan keputusan awal penyiasatan jenayah ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17, di Nieuwegein, Belanda, 28 September 2016.
AFP

Kerajaan Malaysia dan waris mangsa pesawat Malaysia Airlines penerbangan 17 yang ditembak peluru berpandu dari Rusia tiga tahun lalu menerima dan bersetuju mengenai pendakwaan di peringkat nasional yang akan dibuat di Belanda.

Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai berkata keputusan pasukan siasatan bersama (JIT) telah memilih Belanda sebagai negara pendakwaan untuk memastikan proses akuantabiliti dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.

“Malaysia bersama rakan kongsi JIT, Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia telah bersetuju dengan pendakwaan kebangsaan di Belanda  sebagai proses berkesan bagi memastikan akauntabiliti serta mematuhi piawaian tertinggi antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Pesawat MH17 itu ditembak jatuh pada 17 Julai, 2014, di ruang udara Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang menaikinya.

Pasukan siasatan jenayah antarabangsa pada September lalu telah merumuskan bahawa peluru berpandu pemusnah pesawat yang dibawa dari Rusia telah menembak jatuh pesawat Malaysia itu, hampir tiga tahun lalu.

Pada Rabu Menteri Luar Belanda Bert Koenders mengumumkan yang suspek yang bertanggungjawab terhadap penembakan pesawat berkenaan akan didakwa di Belanda dan kerjasama JIT akan berterusan sehingga pendakwaan.

“Kesemua negara JIT memutuskan bahawa suspek harus didakwa di Belanda, bagi membolehkan kerjasama serta sokongan antarabangsa diteruskan dan kerjasama berpasukan itu seterusnya dibawa sehingga ke fasa pendakwaan,” kata Bert dalam kenyataan pada Rabu itu.

Tambahnya, melalui itu, proses pendakwaan  boleh dilakukan bagi kesemua mangsa yang berasal dari pelbagai negara.

“Ini penting, kerana mangsa datang dari 17 negara di lima benua berlainan,” katanya sambil menambah melalui proses itu, negara anggota  JIT akan menerima panggilan daripada Majlis Keselamatan untuk proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi jenayah itu.

Lega siasatan berjalan

Sharifah Asmaa Alwee Aljuned, isteri arwah Ahmad Hakimi Hanapi, pembantu juruterbang penerbangan MH17 semasa dihubungi mengenai pengumuman terbaru itu berkata beliau berasa lega kerana fasa pertama siasatan telah berakhir.

“Saya sangat lega kerana tahap pengumpulan data akhirnya berakhir dan sekarang siasatan sedang bergerak ke fasa kedua, Saya positif bahawa kesemua usaha yang dilaksanakan oleh JIT akan membawa kepada keadilan,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pada September lalu, ketua pendakwa raya Belanda Fred Westerbeke, yang mengetuai pasukan JIT berkata pada sidang media di Nieuwegein, negara itu berkata pasukan JIT tidak dapat mendedahkan kesemua hasil penemuannya kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan jenayahnya.

Beliau berkata, siasatan itu telah mengenal pasti kira-kira 100 orang yang kini masih diteliti lagi. Westerbeke menekankan bahawa “tanggapan yang jelas tentang rantaian perintah itu" perlu dihasilkan sebelum ia dapat menentukan sama ada mereka bersalah, lapor Voice of America (VOA), satu, entiti BeritaBenar.

Para penyiasat menetapkan bahawa peluru berpandu Buk darat ke udara Rusia telah dibawa masuk ke Ukraine tidak lama sebelum berlakunya tragedi itu, dan kemudian diseludup kembali ke Rusia sejurus selepas itu.

JIT cuba menubuhkan mahkamah antarabangsa tetapi Rusia menyekat draf resolusi penubuhan mahkamah itu pada 2015.

Temui waris

Sementara itu, kerajaan Malaysia akan menemui waris mangsa pada 13 Julai ini untuk memberi taklimat perkembangan terkini termasuk berkaitan pendakwaan suspek, demikian kata Menteri Pengangkutan negara itu.

"Kerajaan mengulangi pendirian bahawa keadilan perlu ditegakkan dan suspek yang bertanggungjawab dalam tragedi berkenaan perlu dihadapkan ke mahkamah,” katanya dalam laporan Berita Harian pada Khamis.

JIT dianggotai wakil daripada negara-negara yang paling terjejas dalam tragedi itu - Malaysia, Belanda, Australia dan Belgium yang bekerjasama dengan Ukraine untuk mengumpul bukti yang boleh digunakan dalam pendakwaan jenayah terhadap mana-mana negara berkenaan.

Polis Belanda sebelum ini berkata, hasil penemuan bersama-sama dengan hasil daripada penyiasatan awal mungkin sudah cukup kukuh untuk digunakan dalam satu perbicaraan jenayah, lapor VOA. Pendakwa tidak boleh memfailkan pertuduhan pada masa itu kerana penyiasat antarabangsa belum bersetuju di mahkamah mana perbicaraan itu patut diadakan.

Sebelum ini, Lembaga Keselamatan Belanda membuat kesimpulan bahawa MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di Ukraine.

Dalam reaksinya kepada laporan interim JIT pada masa itu, pegawai-pegawai Rusia berkata data radar membuktikan bahawa tiada roket yang dilancarkan dari dalam wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia di Ukraine, lapor VOA.

Pada sidang panggilan dengan wartawan, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata radar Rusia telah mengenal pasti semua objek terbang di atas wilayah pemberontak itu.

"Data itu memang jelas ... tidak ada roket," katanya. "Jika ada roket, ia mungkin dilancarkan dari tempat lain.”

Pada Julai 2015, Rusia menggunakan kuasa veto Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat resolusi yang bertujuan mewujudkan tribunal antarabangsa MH17, dengan menyatakan bahawa langkah sedemikian adalah "tidak produktif."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.