Malaysia Harap Suspek MH17 Didakwa Hujung Tahun Ini

Ray Sherman
2017.07.13
Kuala Lumpur
170713-MY-MH17-620.jpg Menteri Pengangkutan Malaysia, Liow Tiong Lai bercakap kepada pemberita di Putrajaya selepas menghadiri majlis tertutup bagi mengingati ulang tahun ketiga tragedi penembakan penerbangan Malaysia Airline MH17, 13 Julai, 2017.
Photo: Benar

Selepas mengadakan upacara peringatan bersama saudara-mara mereka yang terbunuh dalam penerbangan Malaysia Airlines 17 (MH17) pada Julai 2014, seorang menteri di Malaysia berkata, beliau berharap sebuah mahkamah Belanda akan mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian menembak jatuh pesawat berkenaan, menjelang akhir tahun ini.

Pasukan Siasatan Bersama lima negara (JIT) telah menyoal lebih daripada 200 orang dan memperincikan senarai itu kepada 100 orang yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014, kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai kepada pemberita.

"Mudah-mudahan menjelang akhir tahun ini atau tahun depan, kita boleh mendapatkan keputusan mengenai siapa yang boleh didakwa di mahkamah," katanya.

Seorang anggota keluarga, yang menghadiri majlis peringatan tetapi enggan dikenali, berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai butiran tersebut semasa sesi yang diadakan di ibu pejabat pentadbiran Putrajaya, berhampiran Kuala Lumpur.

"Kami tidak dimaklumkan mengenai tempoh masa sehingga mana siasatan akan selesai, apalagi pendakwaan yang akan dilakukan," kata seorang anggota keluarga kepada BeritaBenar. Nampaknya maklumat yang diberikan kepada anda [pemberita] berbeza sepenuhnya daripada apa yang diberikan kepada anggota keluarga."

Katanya, upacara peringatan pada Khamis merupakan yang kedua bagi pihak berkuasa bertemu dengan keluarga mangsa dalam tempoh tiga tahun sejak pesawat itu ditembak, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk hampir 200 warga Belanda. Empat puluh tiga rakyat Malaysia dan 13 rakyat Indonesia yang berada di dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.

“Satu-satunya perkara yang boleh saya kumpulkan dari taklimat ialah kerajaan seolah-olah berada di landasan yang betul mengenai perkara itu, tetapi mereka tidak dapat menjawab soalan saya apabila saya bertanya bilakah tarikh penutupnya," kata beliau.

Kira-kira 90 anggota keluarga mangsa menghadiri sesi peringatan dan taklimat tertutup, tanpa membenarkan liputan media.

Berikutan dengan upacara peringatan itu, Liow memberitahu pemberita bahawa keluarga mangsa telah diberi taklimat mengenai siasatan yang berterusan dan keputusan awal bulan ini oleh Pasukan Siasatan Bersama untuk bicara suspek di Belanda dan bukannya di mahkamah antarabangsa kerana bilangan mangsa yang terlibat.

“Mereka bertanya kepada kami banyak soalan dan kami menjawab apa saja yang kami boleh," katanya sambil menambah bahawa keluarga mangsa turut melahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan Malaysia dalam membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Bangkai nahas pesawat penerbangan Malaysia Airline 17 berhampiran bandar Shaktarsk, Ukraine, 18 Julai, 2014. [AFP]

Keluarga sokong siasatan


Bapa kepada Mohd Ali Md Salim, seorang penumpang Boeing 777 yang merupakan pelajar kedoktoran di Universiti Rotterdam, bercakap kepada pemberita selepas upacara peringatan itu.

"Saya gembira dengan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan dan semua ahli keluarga berharap keadilan dapat dilakukan dan kami akan menunggu untuk itu," kata Md Salim Sarmo.

Sementara itu, isteri arwah pembantu juruterbang berkata beliau gembira dengan perkembangan siasatan itu.

"Saya sangat lega kerana tahap pengumpulan maklumat dan data akhirnya berakhir dan kini siasatan sedang bergerak ke fasa kedua," kata Sharifah Asmaa Alwee Aljuned, isteri kepada Pegawai Penerbangan Malaysia Airlines, Ahmed Hakimi Hanapi, kepada BeritaBenar.

"Saya positif bahawa semua usaha yang dilaksanakan oleh JIT akan membawa keadilan."

Anggota JIT dari Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine telah menetapkan bahawa pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Russia yang dilancarkan oleh pemisah pro-Rusia yang melawan kuasa kerajaan Ukraine. Pada September 2016, JIT mengeluarkan laporan interim yang menyimpulkan bahawa peluru berpandu telah dibawa dari Rusia.

Pegawai Rusia mengisytiharkan tidak bersalah dan menyalahkan tentera Ukraine terlibat dalam tragedi itu.

Bertindak balas terhadap laporan itu, pegawai Rusia mengatakan data radar membuktikan bahawa tidak ada roket yang dilancarkan daripada dalam wilayah yang dikuasai oleh pemisah pro-Rusia di Ukraine.

Mengenai panggilan persidangan dengan pemberita pada masa itu, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata radar Rusia telah mengenal pasti semua objek yang melintasi di wilayah pemberontak itu.

"Data itu sangat jelas ... tiada roket," katanya. "Sekiranya terdapat roket, ia hanya boleh dilancarkan dari tempat lain."

Empat belas bulan sebelum itu, Rusia menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menyekat resolusi yang bertujuan mewujudkan sebuah tribunal antarabangsa bagi MH17, dengan mengatakan bahawa tindakan itu akan menjadinya tidak produktif.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.