MH17: Malaysia Berikrar Terus Cari Keadilan Pada Ulang tahun Ke-5

Staf BeritaBenar
2019.07.17
Kuala Lumpur, Malaysia
190717-MY-MH17-620.jpg Anggota keluarga mangsa Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh, menyalakan lilin sebagai tanda peringatan terhadap mereka yang terkorban dalam nahas lima tahun lepas, pada satu majlis yang diadakan di Kedutaan Australia di Kuala Lumpur, 17 Julai 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia menyambut ulang tahun kelima pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh ke timur Ukraine, dengan berikrar untuk terus mencari keadilan kepada mangsa, hanya beberapa minggu selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menolak hasil penemuan yang Rusia terlibat

Putrajaya pada Rabu mengeluarkan kenyataan melalui Kementerian Pengangkutannya sempena sambutan ulang tahun kelima tragedi itu sekali lagi mengatakan komitmen kerajaan untuk terus mengejar mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, lima tahun lepas.

"Lima tahun mungkin telah berlalu tetapi tekad kami untuk akauntabiliti dan keadilan tidak akan berkurang. Kerajaan Malaysia akan terus mengejar mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah kejam ini dan memastikan keadilan bagi mangsa,

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli-ahli Pasukan Penyiasatan Bersama dan negara-negara yang bersedih hati serta masyarakat antarabangsa dalam memaklumkan kemajuan kepada para waris dalam mencari akauntabiliti dan keadilan,

“Kita akan tetap tegas dalam meneruskan perjuangan ini dan berusaha sedaya mungkin sehingga keadilan terlaksana,” menurut kenyataan itu lagi,” kata Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan lima perenggan yang dikeluarkan di pusat pentadbiran negara di Putrajaya.

Sementara itu, Mahathir semasa diminta mengulas mengenai kejadian nahas pesawat tersebut selepas lima tahun berkata, Malaysia masih bersedih dengan perkara yang dilakukan dengan sengaja itu.

Agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada Rabu memetik Mahathir sebagai berkata, “Kita berasa sedih kerana ini satu perkara yang dilakukan secara sengaja itu, tetapi kita tidak tahu siapa yang melancarkan roket itu,”

Pada 20 Jun lepas, Perdana Menteri itu mahu bukti yang lebih kukuh sebelum menuduh Rusia bertanggungjawab menembak jatuh MH17, dengan menolak hasil siasatan para penyiasat antarabangsa termasuk seorang dari negaranya sendiri.

Mahathir pada sidang media itu berkata, sejak awal lagi, siasatan menentukan bagaimana 298 penumpang dan anak kapal yang terbunuh dalam nahas tragis di ruang udara Ukraine lima tahun lalu itu adalah berat sebelah.

"Kita rasa tidak gembira kerana sejak awal lagi, ia menjadi isu politik tentang bagaimana Rusia dituduh melakukan kesalahan. Malah, sebelum pun mereka menyiasatnya, mereka sudah pun menuduh Rusia, dan sekarang mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai bukti," kata Mahathir sambil menambah "Jadi, sangat sukar bagi kita untuk menerimanya.

"Kami mahu bukti pembabitan Rusia. Tetapi, setakat ini tiada bukti, hanya cakap-cakap sahaja," katanya lagi.

Pertuduhan terhadap empat lelaki

MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang dikuasai pemisah pro-Rusia di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Rusia merampas wilayah Ukraine di Semenanjung Crimea itu pada 2014 dan dikatakan menyokong kumpulan pemisah di negara itu.

Sehari sebelum kenyataan Mahathir pada 20 Jun itu, pendakwa raya Belanda Fred Westerbeke berkata siasatan menemukan pembabitan Rusia dalam menembak jatuh pesawat Malaysia tersebut.

Westerbeke berkata para penyiasat mendapati kerajaan Rusia telah membekalkan peluru berpandu BUK Telar yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat malang itu.

"Kami mempunyai semua bahan yang boleh membuktikannya," katanya. "Ini juga bermakna, jika anda imbau kembali, anda dapati bahawa selepas 17 Julai 2014, Persekutuan Rusia tidak mendedahkan apa-apa pun tentang apa yang berlaku. Ia adalah suatu tamparan bagi semua keluarga mangsa dan mereka yang kehilangan orang tersayang.”

JIT mengumumkan bahawa empat suspek - Igor Girkin, bekas kolonel dengan Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, yang bekerja untuk Perkhidmatan Perisikan Ketenteraan Rusia; dan Leonid Kharchenko, bekas komandan tentera Ukraine, akan didakwa dengan pertuduhan membunuh dan perbicaraan itu akan diadakan pada Mac 2020 di Belanda.

Kesemua mereka mungkin akan dibicarakan tanpa kehadiran kerana Rusia dan Ukraine dijangka tidak akan mengekstradisi suspek-supek tersebut.

Peguam Cara Malaysia Hanafiah Zakaria turut memberitahu wartawan di Belanda pada masa yang sama, bahawa keputusan untuk megemukakan pertuduhan itu dibuat berdasarkan penyiasatan dan penyelidikan perundangan yang menyeluruh.

Hanafiah yang mewakili Malaysia adalah antara anggota Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang turut diwakili anggota dari Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine.

"Objektif JIT adalah untuk menyelesaikan siasatan, mengumpulkan bukti atau menemu bual saksi untuk tujuan mendakwa pihak yang melakukan kesalahan. Pendirian Malaysia adalah berpegang kepada undang-undang dan proses yang sewajarnya. Jadi, kami bersama-sama dengan JIT dalam hasil penemuan ini," kata Hanafiah.

Radzi Razak di Kuala Lumpur turut membantu kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.