Follow us

Penyiasat: Briged Anti-pesawat Rusia Tembak Jatuh MH17

Khas kepada BeritaBenar
2018-05-24
E-mel
Komen
Share
Ketua Pendakwa raya Fred Westerbeke berdiri di sebelah sebahagian daripada peluru berpandu Buk, yang menembak pesawat Malaysia Airlines semasa ia sedang terbang di ruang udara Ukraine pada Julai 2014. Beliau memberi taklimat kepada sidang media bagi pihak Pasukan Penyiasat Bersama di Bunnik, Belanda, 24 Mei 2018.
Ketua Pendakwa raya Fred Westerbeke berdiri di sebelah sebahagian daripada peluru berpandu Buk, yang menembak pesawat Malaysia Airlines semasa ia sedang terbang di ruang udara Ukraine pada Julai 2014. Beliau memberi taklimat kepada sidang media bagi pihak Pasukan Penyiasat Bersama di Bunnik, Belanda, 24 Mei 2018.
[AFP]

Unit tentera Rusia telah melancarkan peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airline MH17 semasa ia sedang dalam penerbangan di ruang angkasa Ukraine pada Julai 2014 di mana kesemua penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan terbunuh, demikian menurut siasatan jenayah antarabangsa yang dipimpin oleh Belanda yang buat pertama kali memberi kesimpulannya secara rasmi.

Pasukan Penyiasat Bersama (JIT), yang terdiri daripada pihak berkuasa dari Australia, Belgium, Malaysia, Belanda, dan Ukraine, membuat pengumuman berhubung penembakan pesawat Boeing 777 oleh sebuah unit tentera Rusia, di sidang akhbar pada Khamis di Bunnik, Belanda.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di zon konflik di kawasan Donetsk, Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika ia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Seramai 298 penumpang dan anak kapal termasuk 200 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, dan 13 warga Indonesia terbunuh.

Pasukan JIT membuat kesimpulan bahawa “Briged ke-53 Peluru Berpandu Anti-Pesawat Buk-TELAR yang berpangkalan di Kursk Rusia telah menembak jatuh MH17, " kata seorang penyiasat terkenal Belanda Wilbert Paulissen kepada wartawan. "Briged ke-53 adalah sebahagian daripada angkatan bersenjata Rusia."

Pengumuman itu dibuat sehari selepas kerajaan baru Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pencarian sebuah lagi pesawat Malaysia Airline, MH370, yang hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing empat tahun lalu. Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal apabila hilang dari skrin radar kawalan tidak lama selepas berlepas pada malam 8 Mac 2014.

Pada Julai 2016, Malaysia, Australia dan China mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan usaha besar-besaran di Lautan Hindi untuk mencari  bangkai pesawat Boeing 777 yang hilang itu. Pada Januari 2018, kerajaan Malaysia mengupah sebuah firma swasta Amerika Syarikat, Ocean Infinity Ltd., untuk menyambung semula pencarian.

Tetapi pada Rabu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan akan menamatkan kontraknya dengan firma penerokaan dasar laut dari Houston, Texas yang pada 29 Mei, menurut agensi berita Bernama.

180524-MY-wing-620.jpg
Serpihan dari pesawat Malaysia Airlines MH17 dilihat di tapak nahas di Hrabove (Grabovo), Ukraine, 9 September 2014. [AFP]

Berikutan sidang akhbar JIT di Belanda mengenai MH17,Kementerian Pertahanan Rusia mengulangi bahawa ia tidak ada kaitan dengan penembakan pesawat berkenaan.

Bellingcat, satu pasukan penyelidik sumber terbuka dari Britain yang menyiasat bencana tersebut telah mengenal pasti Briged ke-53, dengan menggunakan Peluru Berpandu Anti-Pesawat Buk Telar buatan Rusia, telah menembak jatuh MH17.

Rusia telah menafikan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Ukraine, walaupun terdapat bukti kukuh bahawa Moscow telah menyediakan sokongan ketenteraan, ekonomi, dan politik kepada pemisah yang menentang Kiev. Rusia dan pihak pemisah menafikan menembak jatuh MH17 dan telah menawarkan beberapa teori dalam menjelaskan kejadian tersebut yang ditolak bulat-bulat oleh penyiasat.

Pada 2016, JIT memutuskan bahawa MH17 ditembak jatuh dari wilayah pemisah separatis di kawasan Donetsk oleh sistem anti-pesawat Buk yang disediakan oleh tentera Rusia. Laporan JIT berkata sistem Buk diseludup masuk ke Ukraine yang berhampiran dengan Krasnodon (Rusia), dan kemudian dibawa masuk ke Rusia sejurus selepas pesawat itu ditembak jatuh.

Siasatan Bellingcat yang dilakukan bersama dengan syarikat laman web bebas Rusia, The Insider, mengatakan pada Disember ia telah mengenal pasti seorang jeneral kanan Rusia sebagai tokoh penting yang disyaki terlibat dalam penembakan pesawat Malaysia itu.

Kumpulan Bellingcat dengan menggunakan teknologi digital yang canggih untuk menganalisa data audio dan visual melalui sumber terbuka, mendakwa bahawa seorang lelaki yang dikenal pasti dalam komunikasi yang dipintas sebagai Delfin (Dolphin) adalah seorang Kolonel Jeneral Rusia yang telah bersara, Nikolai Tkachyov, yang kini sedang berkhidmat sebagai ketua inspektor Pusat Tentera Daerah Rusia.

Tkachyov menafikan bahawa dia adalah Delfin atau berada di timur Ukraine pada 2014.

Sebahagian daripada laporan ini diterbitkan oleh Radio Free Europe-Radio Liberty (RFE-RL), sebuah entiti BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh