Malaysia Sahkan Serpihan Milik MH370

Oleh H. Alya
2015.08.05
150805-MY-MH370-620 Perdana Menteri Najib Razak semasa persidangan media mengenai MH370 di Kuala Lumpur. 6 Julai 2015
AFP

Malaysia mengesahkan serpihan flaperon yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi pada Rabu lalu ialah komponen pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Najib Razak dalam sidang media pada awal pagi Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra di mana Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Hari ini, 515 hari sejak pesawat itu hilang, saya dengan rasa berat hati mesti memberitahu anda bahawa satu pasukan pakar antarabangsa telah secara muktamad mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion sememangnya adalah daripada MH370,” kata Najib dalam satu kenyataan ringkas yang disiar secara langsung keseluruh dunia.

Pada 29 Julai lalu, satu serpihan dari bahagian sayap pesawat ditemui di Pulau La Reunion di luar pantai timur Afrika dan ia dipercayai daripada pesawat Boeing 777, lantas menimbulkan spekulasi kemungkinan ia serpihan pesawat MH370 yang hilang itu.

Pesawat MH370 yang membawa bersama-sama 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Pesawat itu hilang 120 batu nautika dari timur Kota Kinabalu di Laut China Selatan, dan tiada isyarat kecemasan diberikan dari pesawat Boeing 777-200ER yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dan dijangka tiba di Beijing pukul 6.30 pagi.

Sebahagian besar penumpangnya adalah warga China iaitu seramai 153 orang, diikuti Malaysia (38), Indonesia (7), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Holland (1) and Austria (1).

Berikutan kejadian itu, Malaysia dan pelbagai negara lain melancarkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang berterusan sehingga ke hari ini.

Selepas pesawat itu hilang, operasi SAR telah dilancarkan di Laut China Selatan dan seterusnya kawasan carian dilanjutkan ke Selat Melaka apabila disahkan pesawat itu membuat pusingan balik.

Beberapa negara termasuk Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Amerika Syarikat telah menghantar pasukan dan aset mereka membantu pencarian dan sebanyak 26 negara terlibat dalam fasa pencarian yang meliputi 2.24 juta batu nautika persegi pada ketika itu.

Pada hari ke-17 pencarian, Najib telah membuat pengumuman bahawa data yang dikeluarkan oleh Inmarsat satelit Britain membuat kesimpulan bahawa penerbangan berakhir di Lautan Hindi dan Australia sehingga membawa kepada operasi SAR ke barat laut Perth, Australia.

Pada Januari lepas, Malaysia telah membuat pengisytiharan secara rasmi menganggap kehilangan MH370 satu kemalangan dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu telah meninggal dunia.

Perisytiharan itu adalah untuk membolehkan keluarga mangsa MH370 mendapatkan bantuan yang mereka perlukan terutamanya dalam proses pampasan.

Pengesahan sumber asal

Sementara itu, Agence France-Presse (AFP) melaporkan flaperon yang ditemui oleh seorang pembersih pantai di pulau La Reunion itu, telah dipindahkan ke Toulouse, Perancis pada 1 Ogos lalu.

Penyiasatan pertemuan serpihan itu berada di bawah rangka kerja siasatan kehakiman Perancis yang diketuai oleh hakim penyiasat, M. Alain Gaudino dalam melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan sumber asal serpihan berkenaan.

Siasatan terhadap serpihan itu diketuai oleh Perancis selepas ianya dijumpai terdampar di pulau milik negara itu yang terletak di luar pantai Madagascar, kira-kira 4,000km dari tempat usaha mencari pesawat MH370 Malaysia Airlines dijalankan.

Agensi berita itu pada Isnin turut berkata, pasukan penyiasat Malaysia tiba di Palais de Justice di Paris, Perancis untuk berbincang dengan pegawai Perancis mengenai perkembangan terkini berikut penemuan serpihan pesawat MH370 itu.

“Kami kini mempunyai bukti fizikal yang, seperti saya umumkan pada 24 Mac tahun lepas, penerbangan MH370 berakhir dengan tragik di selatan Lautan Hindi. Ini adalah kawasan yang amat jauh, ganas dan berbahaya,” kata Najib.

Sambil menyatakan simpatinya terhadap kesemua keluarga mangsa, Najib berkata beliau amat berharap pengesahan itu dapat memberikan kepastian kepada mereka mengenai insiden itu walaupun ia amat tragis dan menyakitkan buat mereka.

"Menghitung hari, minggu dan bulan merupakan suatu tempoh yang menyeksakan buat keluarga mangsa," kata Najib.

Komited cari kebenaran

Perdana Menteri turut memberi jaminan kepada semua yang terlibat dengan tragedi itu bahawa kerajaan Malaysia komited untuk mencari kebenaran mengenai tragedi itu.

“Kehilangan MH370 menandakan kita sebagai sebuah negara. Kami bersedih bersama anda, sebagai sebuah negara.

“Dan saya berjanji kepada anda: Malaysia akan sentiasa mengingati dan memberi penghormatan kepada mereka yang hilang berama-sama pesawat MH370,” kata Najib.

Beliau berkata penyiasatan oleh pakar penerbangan terkemuka dunia tidak dapat menjawab mengapa MH370 tersasar daripada haluan dan hilang dan kehilangan pesawat itu kekal misteri.

Selain MH370, serpihan itu turut dikatakan milik sebuah pesawat enjin berkembar yang terhempas pada 4 Mei 2006 berhampiran Pulau La Reunion atau milik pesawat A310 yang dilaporkan terhempas di luar pantai Comoros pada Jun 2009.

Sementara itu, syarikat penerbangan negara MAS turut mengesahkan serpihan itu adalah milik pesawat MH370.

Perkara itu disahkan secara bersama oleh Pihak Berkuasa Perancis iaitu Bureau d’Enquêtes et d’Analisis pour la Sécurité de ‘Aviation civile (BEA), Pasukan Siasatan Malaysia, Wakil Teknikal daripada Republik Rakyat China dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di Toulouse, Perancis sebelum diumumkan Najib, kata MAS dalam kenyataannya pada awal Khamis.

Menurut MAS semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Ini merupakan satu kejayaan besar bagi kami dalam menyelesaikan kehilangan MH370. Kami menjangka dan berharap agar lebih banyak objek akan dijumpai bagi membantu menyelesaikan misteri ini,” kata syarikat penerbangan nasional Malaysia itu.

Dalam perkembangan yang sama bapa kepada seorang penumpang penerbangan MH370, Ibrahim Abdul Razak, 77, semasa ditemui BeritaBenar di rumahnya di Alor Star, Kedah sebaik saja berita penemuan serpihan pesawat itu disiarkan berkata, beliau redha dengan apa yang terjadi dan hanya berserah kepada ketentutan Allah.

Anak lelaki beliau Sofuan Ibrahim, 33 merupakan seorang pegawai tadbir dan diplomatik menaiki pesawat itu selepas mendapat pertukaran tugas ke pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di Kedutaan Malaysia di Beijing.

Kehilangan pesawat itu merupakan misteri terbesar di dalam sejarah penerbangan dunia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.