Malaysia: Serpihan Di Afrika Selatan dan Mauritius Hampir Pasti MH370

Hata Wahari
2016.05.12
Kuala Lumpur
160512-my-rollsroyce620 Kepingan yang dipercayai dari bangkai pesawat ditemui di Klein Brak River berhampiran Mossel Bay di luar pantai Afrika, timur Mozambique, 21 Mac 2016.
AFP

Kerajaan Malaysia mengesahkan dua serpihan yang ditemui masing-masing di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues, Mauritius, hampir pasti milik penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang hilang lebih dua tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata dua serpihan iaitu enjin cowling dengan separa logo Rolls-Royce dan sekeping panel dalaman dari kabin pesawat telah selesai diperiksa oleh pasukan pakar antarabangsa di Australia.

“Setelah pemeriksaan dan penilaian terperinci, Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia bagi MH370 (Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370) telah membuat kesimpulan bahawa kedua-dua keping serpihan adalah konsisten dengan panel pesawat Malaysia Airlines Boeing 777.

“Justeru itu, pasukan berkenaan telah mengesahkan bahawa kedua-dua keping serpihan yang ditemui di Afrika Selatan dan Pulau Rodrigues hampir pasti berasal dari MH370,’’ kata Liow dalam satu kenyataan pada Khamis.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Liow berkata, pengesahan itu sekaligus melengkapkan hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan tersebut terhadap serpihan yang ditemui di Mozambique pada Mac lepas.

Katanya, kerajaan Malaysia, Australia dan China akan terus komited mencari pesawat MH370 itu, dengan pencarian terkini telah meliputi kawasan melebihi 105,000 kilometer persegi.

'Kaji kehidupan laut'

Sementara itu, Juruterbang Ujikaji Teknologi Penerbangan, Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala  Lumpur (MIAT UniKL)  Profesor Kapten Dr. Mohd Harridon Mohamad Suffian yang dihubungi BeritaBenar berkata, pengesahan bahawa serpihan itu milik MH370 akan membolehkan para penyiasat membuat perincian dengan mengkaji kehidupan laut yang terdapat di serpihan itu dalam menentukan lokasi sebenar pesawat itu terhempas.

“Terdapat organisma kecil di atas serpihan dan para penyiasat akan menggunakan proses “water blasting’ atau ‘air blasting’ untuk mengkaji organisma tersebut bagi menentukan dari kawasan Lautan Hindi mana ia bermula,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Beliau menegaskan kesemua serpihan kecil yang mudah ditemui itu adalah kerana ia lebih ringan dan diperbuat daripada bahan komposit dan bagi badan kapal terbang yang diperbuat dari titanium dan lebih berat, maka cara ia hanyut juga berlainan.

Tegas beliau, pengesahan itu juga akan merungkaikan dengan lebih tepat tempat kedudukan badan pesawat MH370 .

Seorang Pakar Kanan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Ahmad Maulan Bardai pula berkata,  pengumuman tersebut adalah seiring dengan tempat pasukan mencari dan menyelamat MH370 di Lautan Hindi.

“Data satelit yang dikumpul menunjukkan laluan lengkap penerbangan sebelum ia terputus hubungan sepenuhnya dan pengesahan pakar mengenai kedua-dua serpihan itu adalah milik MH370 bermakna kita kini yakin bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi,’’ katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.