Agensi Australia Temui Data Terbaru Mampu Tentukan Lokasi MH370

Hadi Azmi
2017.08.16
Kuala Lumpur
170816-my-MH370.jpeg Seorang pekerja Penerbangan Malaysia sedang menjalankan tugas harian di mana pesawat ditempatkan di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, 1 Jun 2015.
AFP

Dua data terbaru yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pada Rabu bermungkinan mampu menentukan lokasi tepat pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Malaysia, Australia dan China, tiga negara yang terlibat dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 pada awal tahun ini telah mengambil keputusan untuk menggantungkan usaha  selama tiga tahun untuk mencari pesawat yang lenyap di dasar Lautan Hindi.

Pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya ATSB Greg Hood berkata walaupun pencarian MH370 di selatan dasar Lautan Hindi telah digantung pada Januari lalu, beberapa usaha untuk menganalisa sisa-sisa aktiviti tetap diteruskan.

“Selaras dengan komitmen kami untuk menyiarkan kepada pihak umum mengenai pencarian MH370, kami pada hari ini (Rabu) telah mengeluarkan dua laporan yang disediakan oleh Geoscience Australia dan Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO),” Hood berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

“CSIRO telah menyediakan analisa dan penemuan berkaitan imej satelit yang diambil pada 23 Mac 2014, dua minggu selepas kehilangan MH370, di selatan Lautan Hindi. Pesawat itu dipercayai terhempas di bahagian timur laut kawasan pencarian yang tidak menemukan hasil selama dua tahun” tambahnya.

ATSB berkata imej satelit yang disediakan oleh perkhidmatan tentera Perancis dan agensi angkasa kebangsaan Perancis telah mengesan sebuah kawasan yang bukan dalam linkungan pencarian udara pada ketika itu, tetapi hampir dengan kawasan pencarian, di mana 70 serpihan dan sedozen bahan, mungkin buatan manusia,  dijumpai.

“Geoscience Australia telah mengenalpasti beberapa objek dalam imej satelit yang telah diklasifikasikan sebagai buatan manusia,” kata Hood sambil menambah resolusi imej yang tidak cukup tinggi tidak mampu memberi kepastian sama ada objek tersebut sebahagian daripada bangkai pesawat  MH370 atau objek lain yang sering terapung di lautan seluruh dunia.

Digantung

Pada awal tahun ini, Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng telah membuat keputusan untuk menggantung usaha mencari  secara bersama melalui Pusat Penyelarasan Agensi Bersama di Australia.

Pengumuman yang melibatkan pencarian pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, digantung secara rasmi selepas gagal menemui sebarang bukti atau lokasi tepat pesawat berkenaan di kawasan pencarian 120,000 km persegi.

Pesawat malang yang membawa 14 warganegara di kalangan penumpangnya dengan majoriti 153 rakyat China itu, hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

Berdasarkan kenyataan penggantungan pencarian pada ketika itu, ia berkata pesawat berkenaan tidak dapat dikesan, "walaupun segala usaha telah dilakukan, menggunakan pengetahuan sains terbaik, teknologi tercanggih serta pemodelan dan nasihat daripada profesional berkemahiran tinggi, yang amat pakar dalam bidang masing-masing".

Masih belum pasti

Hood juga mengingatkan bahawa objek itu belum pasti kepunyaan MH370 dan pihak berkuasa tidak perlu terburu-buru dalam mengesahkannya.

“Jelas sekali kita perlu berhati-hati. Objek-objek ini belum dikenal pasti sebagai serpihan MH370,” tambahnya.

Manakala CSIRO dalam laporan ini berkata “Kami fikir ada kemungkinan boleh mengenal pasti kedudukan pesawat, dengan ketepatan dan kepastian yang belum pernah berlaku sebelum ini.”

CSIRO juga menamakan kawasan itu di lokasi 35.6°S, 92.8°E dalam laporannya.

Antara bukti yang ditemui milik pesawat malang Boeing 777 sebelum ini adalah beberapa serpihan yang terdampar di pantai Mauritius, Tanzania dan Pulau Reunion, di Lautan Hindi tahun lepas.

Sementara itu, kerajaan Malaysia berkata kedua-dua laporan tersebut akan dibincangkan dengan Australia dan China bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai penemuan tersebut.

“Kami memerlukan panduan untuk mengetahui bagaimana ia boleh digunakan untuk membantu mengenal pasti lokasi spesifik pesawat itu,” menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia Azharuddin Abdul Rahman dalam kenyataan Rabu.

Azharuddin berkata badan sains kebangsaan Australia CSIRO mengemukakan analisa menyeluruh mengenai corak hanyutan MH370 dalam laut berdasarkan maklumat serta imej satelit tersebut.

Malaysia Airlines turut kehilangan sebuah pesawat lain, MH17, yang ditembak peluru berpandu Rusia dari timur Ukraine, empat bulan selepas kejadian yang berlaku ke atas MH370.

Pesawat yang ditembak itu, membunuh kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk hampir 200 warga Belanda. Empat puluh tiga rakyat Malaysia dan 13 rakyat Indonesia berada di dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.