Follow us

Pencarian MH370 Ditamatkan Tanpa Sebarang Penemuan

Ray Sherman & Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-01-17
E-mel
Komen
Share
Kementerian Pertahanan Australia mengeluarkan gambar beberapa buah bot sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airline MH370 di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia, 8 April 2014.
Kementerian Pertahanan Australia mengeluarkan gambar beberapa buah bot sedang menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airline MH370 di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia, 8 April 2014.
Lsis Bradley Darvill/Kementerian Pertahanan Australia/AFP

Malaysia, Australia dan China, tiga negara yang terlibat dalam operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, pada Selasa telah mengambil keputusan untuk menggantung usaha tiga tahun mencari di dasar laut di selatan Lautan Hindi, dengan keluarga mangsa terus berharap pencarian itu diteruskan.

Keputusan penggantungan itu dibuat secara bersama antara Menteri Pengangkutan Malaysia Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng, melalui Pusat Penyelarasan Agensi Bersama di Australia.

Pengumuman yang melibatkan pencarian pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, digantung secara rasmi selepas gagal menemui sebarang bukti atau lokasi tepat pesawat berkenaan di kawasan pencarian 120,000 km persegi sejak hampir tiga tahun lepas.

Pesawat malang yang membawa 14 warganegara di kalangan penumpangnya dengan majoriti 153 rakyat China itu, hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kenyataan itu, juga berkata pesawat berkenaan tidak dapat dikesan, "walaupun segala usaha telah dilakukan, menggunakan pengetahuan sains terbaik, teknologi tercanggih serta pemodelan dan nasihat daripada profesional berkemahiran tinggi, yang amat pakar dalam bidang masing-masing".

"Pada hari ini [Selasa], kapal yang menjalankan kerja pencarian berlepas meninggalkan kawasan dasar laut Lautan Hindi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut yang keputusan untuk menggantung pencarian itu "tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya dan tanpa perasaan sedih, sebaliknya ia merupakan satu keputusan yang diambil semasa mesyuarat peringkat menteri oleh ketiga-tiga negara di Putrajaya pada Julai 2016.

Antara bukti yang ditemui milik pesawat malang Boeing 777 adalah beberapa serpihan yang terdampar di pantai Mauritius, Tanzania dan Pulau Reunion, di Lautan Hindi tahun lepas.

“Kami sekali lagi menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada banyak negara yang menyediakan kepakaran dan bantuan sejak awal tragedi itu berlaku.

"Kami sungguh terharu dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan beratus-ratus orang yang terlibat dengan pencarian itu, yang merupakan cabaran yang tidak pernah dialami sebelum ini.  

"Usaha mereka yang tidak mengenal penat lelah terus menambah pengetahuan kami tentang kawasan pencarian dan sangat penting dalam usaha kami untuk mengesan pesawat berkenaan,” " kata kenyataan bersama ketiga-tiga menteri itu

Pada Disember, pegawai penyiasat kehilangan pesawat berkenaan telah mengesyorkan krew carian menuju kawasan baru ke utara iaitu kira-kira 25,000 kilometer persegi (9,700 batu persegi), sebuah kawasan yang dikenal pasti dalam analisa terbaru, di mana berkemungkinan kawasan pesawat terhempas. Tetapi kerajaan Australia menolak cadangan berkenaan dengan berkata keputusan analisa pakar-pakar berkenaan 'tidak cukup bukti untuk meneruskan pencarian.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China semasa sidang media harian di Beijing memberitahu wartawan dengan berkata, China akan terus berhubung dengan negara terlibat berkaitan MH370 walaupun selepas ketiga-tiga negara mengambil keputusan mengakhiri pencarian pesawat berkenaan di dasar laut.

Jurucakap Kementerian Luar Negara, Hua Chunying, memberitahu pemberita bahawa China masih "amat bimbang" mengenai kejadian pada Mac dua tahun lepas kerana hampir dua pertiga daripada penumpang merupakan rakyat negara berkenaan.

Hua turut berjanji akan meneruskan “komunikasi dan kerjasama rapat” dengan Australia dan Malaysia.

Dalam pada itu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama itu juga menyebut, pengumuman yang dibuat pada Selasa itu, lebih penting bagi keluarga dan sahabat handai mereka yang menaiki pesawat malang itu.

"Kami sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk memperingati dan memberi penghargaan kepada mereka yang kehilangan nyawa serta amat menyedari kepiluan yang dirasai mereka yang kehilangan orang tersayang.

"Kami tetap berharap agar maklumat baharu akan muncul dan akhirnya pesawat itu akan dijumpai," kata kenyataan itu.

Semak keputusan tamat pencarian


Isteri pramugara MH370 Junaidi Mohd Kassim, Nurazlinda Ayub semasa dihubungi berharap pencarian pesawat malang itu diteruskan tetapi lokasinya perlu disemak semula.

"Bukankah kerajaan juga mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat itu? Pesawat negara kita dan juga rakyat sendiri.

"Jika mereka telah menjalankan kerja pencarian yang meliputi seluruh kawasan seperti yang diperkatakan dan masih tidak dapat mencari apa-apa, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa memulakan pencarian di tempat lain," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa di Kuala Lumpur.

Voice370, sebuah kumpulan sokongan waris keluarga mangsa merayu kepada ketiga-tiga kerajaan untuk menimbang semula keputusan itu dan mahu kerja pencarian disambung ke kawasan baru.

Kumpulan itu, turut melahirkan rasa kecewa selepas cadangan kawasan pencarian baru di utara kawasan pencarian sedia ada, seperti dalam Laporan Kajian Prinsip Pertama yang dikeluarkan pada 20 Disember lepas  oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), tidak diambil peduli.

Kumpulan itu bagaimanapun berkata, "Kami masih menaruh harapan bahawa maklumat baru akan menjelma dan suatu ketika pada masa depan, pesawat tersebut dapat dikesan."

Syarikat penerbangan terima penggantungan


Malaysia Airlines yang turut kehilangan sebuah pesawat lain, Pesawat MH17, yang ditembak peluru berpandu Rusia di timur Ukraine, empat bulan kemudian pada Selasa turut  mengeluarkan kenyataan memaklumkan yang syarikat berkenaan menerima keputusan ketiga-tiga kerajaan itu.

"Pencarian merupakan satu usaha yang teliti dan menyeluruh dan Malaysia Airlines berkongsi kesedihan kerana kerja-kerja pencarian tidak menemui sebarang maklumat seperti yang diharapkan semua pihak," kata kenyataan syarikat penerbangan berkenaan.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu syarikat berkenaan masih mengharapkan "maklumat terbaru, penting dan memberi sedikit harapan" di mana pesawat malang itu berada.

Pencarian pesawat yang hilang itu dianggarkan menelan kos AS$145 juta sehingga kini, dengan sebahagian besar dibiayai oleh Malaysia dan Australia.


Lihat Laman Penuh