Lima Tahun Sudah Berlalu, Keluarga MH370 Masih Mencari Jawapan

Muzliza Mustafa
2019.03.07
Kuala Lumpur, Malaysia
190307-MY-CH-MH370-Anniversary620.jpg Iman Mohd Hazrin tidur dengan gambar bapanya Mohd Hazrin Mohamed Hasnan adalah anak kapal Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 2014, setiap malam sejak lima tahun lepas, di rumahnya di Kuala Lumpur, 7 Mac 2019.
[Ihsan Intan Maizura Othaman]

Iman Mohd Hazrin menghabiskan separuh daripada kehidupannya dengan menanti kepulangan bapanya, yang merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.

Setiap malam, anak perempuan berusia 10 tahun itu akan tidur bersama gambar bapanya,  Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, yang merupakan anak kapal penerbangan itu, di sisinya, tanpa seharipun tidak pernah berbuat demikian.

"Bingkai gambar bapanya sentiasa berada disisinya ketika Iman tidur dan ke mana saja beliau pergi, gambar itu akan tetap bersamanya," demikian luahan ibu Iman, Intan Maizura Othaman kepada BeritaBenar.

Lima tahun lepas, pesawat Boeing 777-200ER, MH370 yang membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua orang bayi, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira 40 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pesawat yang sepatutnya terbang selama enam jam ke destinasinya itu bagaimanapun gagal dikesan selepas transponder dipercayai dimatikan dan melencong dari laluan serta  terbang selama hampir lapan jam dengan transmisi terakhir menunjukkannya terbang ke selatan Lautan Hindi, menurut pegawai.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook memberitahu BeritaBenar pada Khamis bahawa kerajaan bersedia untuk membuka semula usaha pencarian sekiranya terdapat tawaran yang sesuai, tetapi buat masa ini kerajaan belum menerima apa-apa tawaran lagi.

Ocean Infinity, sebuah syarikat penerokaan laut dari Amerika Syarikat yang mempunyai perjanjian dengan kerajaan untuk mencari pesawat berkenaan telah menamatkan pencariannya pada Mei 2018, selepas lebih daripada tiga bulan menggunakan teknologi pengimejan dasar laut terkini di keseluruhan kawasan selatan Lautan Hindi.

Syarikat itu telah menandatangani kontrak "tidak penemuan, tidak bayaran” dengan jangka masa 90 hari pada Januari 2018, setahun selepas Australia, China dan Malaysia secara rasminya menghentikan pencarian bersama mereka beribu-ribu batu persegi.

Terdahulu itu, Malaysia, China dan Australia menamatkan pencarian pesawat yang hilang  selepas menghabiskan masa hampir tiga tahun menjelajah kawasan seluas 120,000 km persegi (46,332 batu persegi) di perairan Lautan Hindi berhampiran pantai barat Australia.

Kawasan pencarian itu dipilih berdasarkan analisa satelit dari penerbangan yang tersasar daripada laluannya.

Bergelut ketahui kebenaran


Untuk tempoh waktu selama lima tahun itu juga, anggota keluarga pesawat malang tersebut masih bergelut dalam mendapatkan kebenaran dan mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku kepada orang tersayang mereka yang berada dalam penerbangan itu.

Pada Khamis selepas agar lama tidak menangis, air mata Iman tiba-tiba mengalir semula selepas ibunya menunjukkan gambar beliau bersama bapanya semasa berusia 4 tahun.

"Dia memberitahu saya sudah terlalu lama dan mahu sekali bertemu bapanya," kata Intan kepada BeritaBenar.

Adik lelaki Iman, Muhammad, yang berusia hampir 5 tahun, dilahirkan selepas pesawat itu hilang, kadangkala dilihat seperti kehilangan, tanpa kasih seorang bapa, kata Intan.

"Saya mendedahkan kepadanya gambar dan video Hazrin. Jadi dia tahu siapa bapanya. Semasa usianya meningkat, beliau mula bertanya di mana bapanya dan sama ada beliau boleh berjumpa dengannya," kata Intan, yang enam bulan mengandungkan Muhamad semasa pesawat itu hilang.

Intan berkata kedua anaknya adalah kekuatan beliau dalam mengharungi kehidupan selepas ketiadaan suaminya.

"Saya boleh jadi gila, tanpa keluarga dan anak-anak saya. Saya cuba menjadi kuat untuk mereka," katanya.

Intan mengakui kehidupannya sangat sukar dari segi emosi dan kewangan.

"Saya mungkin tidak akan berada di sini. Saya boleh bunuh diri – atau berakhir di tempat perlindungan - ia terlalu banyak untuk ditanggung," tambah wanita itu.

"Hamil dan terpaksa menanggung ketidak-tahuan tentang apa yang sebenarnya berlaku kepada suami saya sepanjang lima tahun ini, tetapi Alhamdulillah (bersyukur kepada tuhan) ia sedikit demi sedikit menjadi lebih baik. Perlahan-lahan... Saya perlu kuat untuk anak-anak saya, "katanya.

Kenangan


Selama lima tahun, Intan cuba menyibukkan dirinya dengan mendaki, mengambil bahagian dalam maraton dan menyertai pelbagai acara larian di seluruh negara.

Wanita itu cuba membawa kedua-dua anaknya bersama atau mendukung Muhammad di belakangnya semasa memanjat gunung.

"Kenangan... Saya mahu menghabiskan masa dengan anak-anak saya sebanyak yang boleh. Melakukan pelbagai perkara bersama mereka," katanya yang masih terkenangkan Hazrin.

"Tetapi saya sentiasa berfikir yang suami saya berada dalam jagaan baik. Saya tidak tahu di mana beliau atau dijaga siapa, tetapi saya ingin berfikir seperti itu,

"Adalah sangat menyakitkan kerana tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan di mana kapal terbang itu selepas bertahun-tahun lamanya, tetapi saya akan cuba meneruskan kehidupan supaya saya boleh membesarkan anak-anak dengan cara terbaik selagi mampu sebagai ibu tunggal," kata wanita itu.

Intan berharap usaha mencari pesawat itu disambung semula - dan belaiu bukannya satu-satunya waris yang mahukan jawapan terhadap kehilangan pesawat berkenaan.

Jacquita Gonzales, yang suaminya Patrick Gomes adalah penyelia anak kapal penerbangan MH370, juga mempunyai mahu jawapan yang sama.

"Saya berharap kerajaan dapat menerima tawaran, jika ada, untuk melakukan pencarian pesawat yang hilang di bawah perjanjian "tidak penemuan, tidak bayaran”. Kerajaan tidak perlu membayar apa-apa sehingga dijumpai," katanya kepada BeritaBenar.

Guru tadika berusia 57 tahun itu berkata bahawa kes MH370 bukan sekadar mencari kebenaran tentang apa yang berlaku atau di mana pesawat itu, sebaliknya kerajaan hendaklah mengkaji semula tragedi itu supaya prosedur keselamatan dapat diperbaiki.

"Kami mahu terbang dan kami mahu terbang dengan selamat selain mengelakkan insiden seperti itu berulang lagi," tambahnya.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.