Follow us

Laporan MH370: Pengerusi Penerbangan Awam Letak Jawatan

Hareez Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-31
E-mel
Komen
Share
Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Azharuddin Abdul Rahman, menunjukkan peta kawasan carian semasa sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Putrajaya, 23 Mei 2018.
Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Azharuddin Abdul Rahman, menunjukkan peta kawasan carian semasa sidang media bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Putrajaya, 23 Mei 2018.
AP

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia(PLPAM) meletakkan jawatan pada Selasa setelah mengambil kira laporan yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasat khas berkenaan kehilangan pesawat penerbangan MH370 yang menyatakan adanya pelanggaran prosedur oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KPTUKL) pada malam kejadian empat tahun lepas.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, Azharuddin Abd Rahman berkata peletakan jawatan itu dilakukan setelah memikir sedalam-dalamnya tentang perkara tersebut.

“Dengan rasa kesalnya, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi PLPAM yang berkuatkuasa 14 hari dari tarikh notis peletakan jawatan saya yang telah diserahkan pada hari ini (Selasa),” kata beliau.

Azharuddin melepaskan jawatan tersebut sehari selepas laporan MH370 menyatakan KPTUKL tidak menepati prosedur operasi standard [SOP] seperti yang telah ditetapkan. KPTUKL, dikawal selia oleh Jabatan Penerbangan Awam yang diketuai oleh Azharuddin sebagai ketua pengarah semasa pesawat MH370 Boeing 777-200 milik Sistem Penerbangan Malaysia [MAS] hilang dari radar pada 8 Mac 2014.

Azaharuddin dalam nada kesal berkata, “Saya sudah cuba sebaik mungkin membantu dalam pencarian Penerbangan MH370, dan bertekad untuk mendapatkan penyelesaian dalam tragedi ini ... sesuatu yang kita perlu berikan kepada keluarga mangsa dan mereka yang dicintai….

“Saya amat sedih kerana terpaksa berundur dalam keadaan ini. Berkhidmat selama lebih 40 tahun adalah penghormatan tertinggi dalam hidup saya. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menghabiskan tempoh perkhidmatan," katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan beliau hadir sejurus sebelum Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook membentangkan laporan MH370 dalam sesi perbahasan di persidangan Parlimen pada awal pagi Selasa.

Loke semasa ditemui media di lobi Parlimen berkata pegawai trafik udara yang bertugas semasa penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang itu akan diambil tindakan sekiranya didapati tidak mengikut SOP yang ditetapkan.

“Apa yang jelas adalah SOP tidak diikuti, masih terdapat pengawal trafik udara yang bertugas pada hari kejadian masih bertugas hingga hari ini dan kita sedang menyiasat mengenainya,” kata Menteri itu.

Tubuh jawatankuasa dalaman


Beliau menambah, satu jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan serta merta untuk menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil ke atas pegawai trafik udara yang bertugas semasa kejadian itu berlaku.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk menubuhkan jawatankuasa dalaman dan tindakan akan diambil serta diputuskan untuk tempoh sebulan lagi,” tambahnya lagi.

Laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan mengenai kehilangan MH370 oleh pasukan penyiasat keselamatan dalaman sebanyak 495 mukasurat yang dikeluarkan pada Isnin mendapati pegawai yang bertugas untuk menyelia operasi Pusat Kawalan Udara Kuala Lumpur pada hari kejadian tidak mematuhi SOP.

Laporan itu juga mendedahkan kemungkinan adanya campur tangan pihak ketiga hingga menyebabkan pesawat itu tersasar dari laluan asalnya pada malam kehilangan pesawat tersebut.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang, 12 kru dan anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi menuju ke Beijing, China tetapi hilang dari rada selepas kali terakhir berhubung dengan menara kawalan pada jam 1.22 pagi dan sehingga kini masih belum ditemui.

Laporan itu juga menyatakan bahawa ketika penerbangan MH370 mengubah haluannya, pesawat itu didapati terbang hampir 20 minit tanpa dipantau oleh pusat kawalan trafik udara semasa melintasi ruang udara Malaysia dan Vietnam.

Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur itu juga gagal mengambil sebarang langkah kecemasan yang diperlukan atau menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia tepat pada masanya selepas menyedari sesuatu yang tidak kena telah berlaku.

Semasa mengulas mengenai keputusan Azharuddin meletakkan jawatan sebagai Pengurus Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Loke berkata tindakannya tidak bermakna beliau telah melakukan kesalahan.

Beliau tidak didapati bersalah dan saya tidak menyatakan bahawa adanya kesalahan namun selepas laporan itu keluar, dia (Azharuddin) telah mengambil keputusan meletakkan jawatan untuk mengambil tanggungjawab (atas yang berlaku),” kata Loke kepada pemberita di Parlimen.

Sementara itu, Loke semasa membentangkan laporan MH370 di Parlimen berkata, kerajaan Malaysia sedang meneliti kesemua cadangan penambahbaikan keselamatan udara yang dikemukakan pasukan penyiasat khas untuk mengenalpasti punca kehilangan pesawat penerbangan MH370 itu.

“Kerajaan akan membuat penambahbaikan yang sewajarnya berdasarkan rekomendasi keselamatan yang terkandung  di dalam laporan setebal 495 mukasurat itu bagi mengelakkan kemalangan udara di masa hadapan,” kata menteri itu.

Lihat Laman Penuh