Malaysia: Penyiasat Penerbangan MH370 Dedahkan Pihak Ketiga Mungkin Ubah Haluan
2018.07.30
Kuala Lumpur, Malaysia
Laporan 495 muka surat, yang dikeluarkan pada Isnin, mengenai siasatan terhadap Penerbangan 370 Malaysia Airlines mendedahkan kemungkinan adanya campur tangan pihak ketiga hingga menyebabkan pesawat itu tersasar dari laluan asalnya pada malam ia hilang empat tahun lalu.
Ketua Pasukan Penyiasatan Keselamatan Penerbangan 370 Kok Soo Chon berkata, penyiasat membuat kesimpulan itu berdasarkan satu siri ujian simulator penerbangan yang mengikut rakaman laluan pesawat Boeing 777 ketika ia berubah arah ke barat daya pada 8 Mac 2014 semasa penerbangan ke Beijing, yang terletak di timur laut Kuala Lumpur .
"Pemanduan autopilot tidak lagi dalam kawalan, ia dilakukan secara manual. Kami telah menjalankan tujuh ujian simulator, simulator penerbangan, tiga di paras kelajuan tinggi dan empat pada kelajuan rendah dan kami mendapati haluan itu diubah semasa dalam keadaan kawalan manual, bukan autopilot," kata Kok kepada pemberita di Kuala Lumpur pada pagi Isnin.
Penyiasat itu berkata, mereka tidak percaya juruterbang Zaharie Ahmad Shah atau pegawai pertama Fariq Abdul Hamid menyebabkan pesawat itu tersasar arah, malah menunjukkan kemungkinan adanya campur tangan seseorang yang turut berada dalam pesawat itu.
"Campur tangan yang menyalahi undang-undang mungkin bermakna seseorang sedang memegang pisau di leher juruterbang," kata Kok.
Tidak seorang pun, termasuk organisasi pengganas, mengaku bertanggungjawab menyebabkan kehilangan pesawat itu.
Penerbangan 370 hilang semasa membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang yang kebanyakannya dari China. Penyiasat mendapati pesawat Boeing 777 berusia 12 tahun itu berada dalam keadaan baik semasa penerbangan terakhirnya itu tetapi tidak semua empat pemancar kecemasan (ELT) yang berfungsi, menyebabkan ia gagal menghantar isyarat kecemasan normal bagi membantu mencari pesawat itu.
Intan Maizura Othman, yang suaminya, Hazrin Hassan, seorang daripada anak kapal dalam penerbangan itu mempersoalkan kerosakan tersebut.
"Saya bertanya kepada Kok bagaimana pemancar tidak menghantar isyarat susulan adanya impak tersebut, dan beliau berkata pemancar tidak boleh dipercayai," katanya. "Ia amat mengejutkan apabila mengetahui tentangnya. Ada empat pemancar, sekurang-kurangnya satu mesti berfungsi.
"Mereka menyatakan dalam laporan itu bahawa bateri ELP telah tamat tempoh. Betapa mudahnya itu? "
Beliau serta yang lain juga terkejut apabila diberitahu bahawa ia bukan laporan terakhir kerana laporan itu hanya menyentuh isu keselamatan dan bukan operasi mencari dan menyelamat.
"Mereka bukan dari pasukan pencarian, jadi, saya bertanya kepada mereka, 'Siapa kamu?" katanya. "Mereka berkata mereka bukan orang yang melakukan pencarian, jadi, saya bertanya di mana orang yang melakukan pencarian? Kami mahu bercakap dengan mereka, tetapi tiada siapapun yang dapat menjawabnya. "
Waris keluarga mangsa berkata, mereka kecewa kerana wakil dari Malaysia Airlines, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan Kementerian Pengangkutan tidak hadir pada pertemuan itu.
Bukan laporan akhir
Semasa menjawab kritikan daripada waris mangsa, Kok berkata, penyiasat tidak boleh menganggapnya sebagai laporan terakhir mereka. Di bawah peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, para penyiasat di bawah seliaan Kok diberi mandat untuk menyiasat hanya tentang keselamatan pesawat itu dan bukannya mencari dan menyelamat.
"Tanpa adanya pemeriksaan terhadap bangkai pesawat dan rakaman maklumat data penerbangan, penyiasatan tidak dapat mengenal pasti sebarang punca pesawat atau kegagalan sistem yang munasabah," katanya.
Laporan itu menyatakan bahawa ketika Penerbangan 370 mengubah haluannya, ia terbang hampir 20 minit tanpa dipantau oleh pusat-pusat trafik udara semasa melintasi ruang udara Malaysia dan Vietnam.
Pusat kawalan trafik udara Kuala Lumpur gagal mengambil langkah kecemasan yang diperlukan dan menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia tepat pada masanya selepas menyedari sesuatu yang tidak kena, menurut laporan itu.
Penyiasat berkenaan akan menyampaikan hasil siasatan mereka kepada waris 153 penumpang yang berada dalam Penerbangan 370, pada 8 Ogos di China.