Sedekad selepas MH370 hilang, Malaysia pertimbang mula pencarian baharu
2024.03.05
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 7 petang waktu tempatan ETS - 2024-03-05
Sudah 10 tahun berlalu bagi Jacquita Gonzales, di mana kali terakhir wanita itu memeluk suaminya, penyelia penerbangan Malaysia Airlines, Patrick Gomes adalah sebelum beliau keluar dari rumah mereka di Petaling Jaya, Selangor untuk bekerja pada 8 Mac 2014.
Gomes merupakan antara 239 penumpang dan kru yang berada dalam penerbangan MH370, pesawat Malaysia yang hilang daripada radar ketika dalam perjalanan ke Beijing, China pada malam kejadian.
"Masih segar dalam memori saya tetapi masa telah pergi berlalu. Cucu saya yang ketika itu baru berumur tiga tahun, kini telah membesar sebagai remaja berumur 14 tahun. Saya cuba menutup kisah sedih itu, tetapi sukar untuk menerima realiti bahawa dia sudah tidak ada bersama kami lagi," katanya ketika ditemui BenarNews.
Insiden kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini masih diselubungi misteri telah membuatkan Malaysia menjadi tumpuan seluruh dunia.
Empat bulan kemudian, pada 17 Julai, negara itu sekali lagi mendapat perhatian masyarakat antarabangsa apabila sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines iaitu MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terkena tembakan peluru berpandu lalu berkecai sekali gus mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.
Sambil menghela keluhan yang dalam, Jacquita berkata, kehilangan MH370 membawa kepada penyebaran spekulasi, pencarian dan penyiasatan tanpa sebarang jawapan konklusif selain hanya penemuan serpihan bangkai pesawat yang hanyut lalu terdampar di pulau-pulau di Lautan Hindi dan pantai Afrika.
Jacquita Gonzales menunjukkan gambar suaminya, Patrick Gomes yang merupakan penyelia penerbangan Malaysia Airlines di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, 26 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Ketika majlis memperingati ulang tahun ke-10 kehilangan MH370 pada Ahad, ratusan anggota waris, saudara-mara dan orang ramai berkumpul di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya, dekat Kuala Lumpur dengan harapan baharu selepas Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook memberi jaminan kerajaan akan membuka semula misi pencarian pesawat itu.
Loke memberitahu, pihaknya akan bertemu secepat mungkin dengan firma eksplorasi laut dalam, Ocean Infinity sebelum membawa cadangan misi tersebut kepada Kabinet untuk kelulusan dengan kos bakal ditanggung kerajaan Malaysia sekiranya pesawat yang hilang itu berjaya ditemui lokasinya.
Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu, sebelum ini telah menjalankan misi pencarian selama empat bulan pada 2018 namun tidak berhasil.
"Jika syarikat itu berjaya mengenal pasti lokasinya, kos mengendalikan misi tersebut perlu ditanggung oleh kerajaan. Saya tidak melihat ia sebagai satu halangan," ujarnya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bercakap kepada media selepas majlis ulang tahun ke-10 kehilangan MH370 di Subang Jaya, Selangor, 3 Mac 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pesawat hilang
Juruterbang MH370 yang hilang melakukan komunikasi terakhir dengan menara kawalan trafik udara pada pukul 1.19 pagi ketika terbang merentasi Laut China Selatan.
Ucapan terakhirnya ialah "Selamat malam, Malaysia Tiga Tujuh Kosong [Three Seven Zero]." Tiada isyarat kecemasan diterima.
Pesawat itu dilaporkan telah melencong dari laluannya selepas melepasi bahagian utara Sumatera dan bergerak ke arah selatan sehingga kehabisan minyak.
Siasatan bersama selama tiga tahun oleh Malaysia, Australia dan China telah digantung pada Januari 2017.
Pasukan Penyiasatan Keselamatan Penerbangan MH370 yang ditubuhkan kerajaan Malaysia mengeluarkan laporan setebal 495 muka surat mendapati pesawat itu terbang selama hampir 20 minit tanpa dipantau oleh pusat kawalan trafik udara ketika ia melintasi ruang udara Malaysia dan Vietnam.
Kawalan trafik udara Kuala Lumpur juga gagal mengeluarkan isyarat kecemasan yang diperlukan dan menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia tepat pada masanya selepas menyedari sesuatu perkara yang tidak kena berlaku.
Laporan itu mengakui terdapat 27 serpihan penting ditemui termasuk disahkan berasal dari pesawat itu bersama 15 yang lain dilabelkan sebagai "hampir pasti" dan "kemungkinan besar."
Serpihan itu ditemui di lokasi sejauh utara pantai timur Tanzania sehingga ke selatan pantai timur Afrika Selatan dengan laporan sebelum ini mendakwa transponder penerbangan itu telah dimatikan 40 minit sebelum penerbangan selama enam jam.
Sebaliknya, pesawat itu terbang selama hampir lapan jam dengan transmisi terakhir menunjukkan ia menuju ke selatan merentasi Lautan Hindi
Semasa di menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Malaysia dengan berkata usaha pencarian baharu akan dilaksanakan jika terdapat kes yang menarik dan bukti mengenai pesawat yang hilang itu.
"Ia merupakan isu yang melibatkan kehidupan orang ramai dan apa sahaja perlu dilakukan mesti dilakukan," katanya semasa sidang media bersama rakan sejawatannya Anthony Albanese di Australia pada Isnin.
Penumpang yang menaiki penerbangan MH370 melibatkan 152 warganegara China, Malaysia (38), Australia (6), Indonesian (7), India (5), Perancis (4) manakala selebihnya dari New Zealand, Itali, Russia, Belanda, Amerika Syarikat, Austria dan Ukraine.
Pada Ahad, Oliver Plunkett, Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity dalam satu kenyataan menyatakan syarikatnya merasakan ia kini "berada dalam kedudukan untuk kembali mencari" MH370 dan pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Malaysia untuk menyambung semula misi tersebut.
"Kami berharap dapat memulakan kembali kerja-kerja pencarian tidak lama lagi," kata Plunkett.
Kerajaan pada Januari 2018 bersetuju untuk membayar Ocean Infinity sehingga AS $70 juta (RM280 juta) untuk mencari bangkai pesawat MH 370.
Nyalaan lilin bagi memperingati mereka yang berada dalam penerbangan MH370 semasa majlis ulang tahun ke-10 kehilangannya, di Subang Jaya, Selangor, 3 Mac 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Kesan 'dilihat beberapa tahun kemudian'
Sementara itu, Calvin Shim, 48, yang merupakan suami kepada Christine Tan, anak kapal MH370 berkata, "Saya tidak pernah membuat persediaan sebenarnya untuk menghadapi kesan daripada tragedi berprofil tinggi seperti ini. Kesannya hanya dapat dilihat beberapa tahun kemudian,"
Dia pada mulanya cuba memendam rasa terkejut dan trauma demi dua anaknya yang ketika itu berusia enam dan lapan tahun.
“(Tetapi) saya diberitahu oleh pakar perubatan, anak perempuan saya mengalami kehilangan sokongan emosi secara tiba-tiba daripada ibunya,” kata Shim sambil menambah bahawa mereka masih mendapatkan rawatan untuk menangani kehilangan itu.
Bagi Jacquita, 61, yang pernah dua kali melawan kanser payudara, pertama pada 2006 dan kemudian sekali lagi pada 2016, kini dalam proses untuk memulihkan kesakitan dengan memutuskan bahawa sudah tiba masanya untuk menutup kisah itu.
Bulan depan, beliau akan mengadakan majlis peringatan untuk Patrick di Gereja St Xavier di Petaling Jaya. Mereka telah berkahwin di gereja itu pada 1985 dan majlis tersebut bakal melengkapkan kitaran proses pengabadian di tempat mereka memulakan hidup bersama.
"Memandangkan tiada abu, tiada tempat berehat terakhir, maka cincin perkahwinan menjadi simbolik.
“Sekurang-kurangnya keluarga akan mempunyai tempat untuk menyalakan lilin semasa ulang tahun kelahiran dan perkahwinan," katanya lagi.
Beliau juga memberitahu bahawa telah menyumbangkan sebahagian besar daripada pakaian Patrick, namu sesetengah barang terlalu berharga untuk dilepaskan.
"Saya telah menyimpan bagasi, tanda nama dan kasut kerjanya," tambah Jacquita.
Bai Shuan Fu, seorang warganegara China di mana isterinya, Han Ai Chin merupakan penumpang dalam penerbangan malang mendesak Malaysia dan agensi berkaitan mencari kebenaran dalam tragedi malang itu.
"Kami tidak mahu lebih banyak spekulasi. Kami mahu bukti dan kebenaran," katanya semasa ditemui BenarNews di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Orang ramai memeriksa tapak nahas MH17 selepas ia ditembak jatuh di Ukraine, 17 Julai 2014. [Dmitry Lovetsky/AP]
Dua penerbangan
Fuad Sharuji, bekas pengarah krisis Malaysia Airlines terpaksa mengendali banyak kes pada tahun itu apabila dua pesawat ditimpa musibah tetapi keadaannya, jelas beliau seperti malam dan siang.
"Salah satu diselubungi misteri, teori konspirasi, banyak perkara yang tidak diketahui dan tiada jawapan sebenar. Berbeza dengan MH17, serpihan, mayat, memang mengerikan, tetapi kami boleh melakukan kerja pemulihan, mengenal pasti mangsa, memudahkan semua prosedur bedah siasat dan membantu proses pengebumian dan pembakaran mayat.
"Kami boleh melakukan semua perkara itu," katanya yang berasa lega dengan komitmen kerajaan untuk terus mencari MH370.
"Mendapatkan kelulusan Kabinet adalah satu langkah positif. Pesawat itu telah hilang selama sedekad, tetapi usaha yang diperbaharui ini memberi kami harapan. Tidak bermakna ia akan menjadi mudah tetapi sekurang-kurangnya ada peluang."
Pada usia 68 tahun, Fuad masih mempunyai hubungan dengan industri penerbangan dan ikatan yang dibuatnya dengan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam MH370 dan MH17.
Katanya, ia bukan sekadar mengenang tragedi, malah berharap dan berdoa agar sejarah tidak berulang.