Michelle Yeoh dianugerah Pingat Kebebasan Presiden Amerika Syarikat

Yeoh, wanita Asia pertama yang memenangi Oskar pelakon terbaik, "telah memecah tradisi dan siling kaca," kata Presiden Biden mengenainya.
Nani Yusof dan Shailaja Neelakantan
2024.05.03
Washington
Michelle Yeoh dianugerah Pingat Kebebasan Presiden Amerika Syarikat Presiden Joe Biden mengurniakan Pingat Kebebasan Presiden iaitu penghormatan tertinggi negara untuk orang awam kepada aktres kelahiran Malaysia Michelle Yeoh dalam satu majlis di Bilik Timur, Rumah Putih di Washington, 3 Mei 2024.
(Alex Brandon/AP)

Aktres Malaysia yang berjaya merangkul Oskar Michelle Yeoh adalah antara 19 individu dianugerah Pingat Kebebasan Presiden pada Jumaat atas sumbangan cemerlang teladan mereka terhadap kepentingan Amerika Syarikat, keamanan dunia atau pencapaian dalam kebudayaan serta bidang awam atau swasta lain.

Presiden AS Joe Biden, yang menyampaikan pingat itu kepada Yeoh, 61, dan 18 lagi penerima lain - pingat penghormatan tertinggi negara itu kepada orang awam dalam satu majlis yang berlangsung di Rumah Putih pada lewat petang Jumaat.

“Lebih empat dekad dan di luar mahupun dalam skrin, [Michelle] Yeoh… telah memecah tradisi dan siling kaca dalam usaha menyuburkan serta memperkasa budaya Amerika,” kata Biden ketika memperkenalkan bintang filem kelahiran Malaysia itu.

“Peranan yang dimainkan beliau adalah merentasi jantina, budaya dan bahasa, daripada seni mempertahankan diri kepada komedi romantik sehinggalah fiksyen sains, untuk menunjukkan kepada kita persamaan yang kita miliki.

"Aktor Asia pertama yang menggondol Oskar sebagai Aktres Terbaik, beliau berjaya merapatkan budaya bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga menjadi inspirasi dan membuka hati. Dan itulah yang beliau terus lakukan,” tambah Biden lagi.

Ketika memperkenalkan aktres Yeoh, Presiden AS itu kelihatan terkial-kial untuk menyebut nama pertama Yeoh dan merujuk beliau sebagai “Michael” sebelum membetulkan kesilapannya dengan pantas. Sejurus kemudian, Biden memakaikan pingat dengan riben biru itu ke badan Yeoh, yang berpakaian serba hitam.

Memandangkan kesemua 19 penerima diberi penghormatan mengikut susunan abjad, Yeoh adalah individu terakhir yang menerima pingat itu.

AP24124777365688.jpg

Bekas Senator Elizabeth Dole berbual dengan Michelle Yeoh (kanan) ketika Presiden Joe Biden berucap sebelum beliau mengurniakan penghormatan tertinggi negara untuk orang awam iaitu Pingat Kebebasan Presiden kepada mereka dalam satu majlis di Bilik Timur, Rumah Putih di Washington, 3 Mei 2024. [Alex Brandon/AP]

Tahun lepas, Yeoh yang dilahirkan di Ipoh, Perak menjadi aktres Asia pertama yang berjaya merangkul Anugerah Akademi bagi aktres terbaik untuk lakonannya sebagai watak utama dalam filem “Everything Everywhere All at Once.”

Bagaimanapun, Yeoh terpaksa bekerja keras hampir 40 tahun untuk mencapai kejayaan itu.

Sepanjang tempoh pada akhir tahun 1990-an, beliau enggan menerima tawaran untuk berlakon dalam banyak filem – semua watak yang ditawarkan adalah karektor stereotaip orang Asia – yang menyaksikan beliau tidak dapat berkarya selama dua tahun, kata Yeoh dalam beberapa temu bual.

“Ketika itu, orang dalam industri ini tidak dapat membezakan sama ada saya adalah warga China atau Jepun atau Korea ataupun jika saya boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris,” katanya kepada majalah People pada Mac 2023.

“Mereka akan bercakap dengan begitu kuat dan secara amat perlahan,” katanya.

Perkara ini berlaku selepas beliau memegang watak dalam sebuah filem francais James Bond yang membawanya ke persada antarabangsa iaitu “Tomorrow Never Dies.” Dalam filem aksi itu, beliau memegang watak sebagai Wai Lin, seorang pengintip warga China yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Yeoh fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Kantonis.

Aktres kelahiran Malaysia itu bukan sekadar memecah tradisi stereotaip sebagai penduduk Asia malah beliau juga enggan berlakon dalam filem yang menjadikan seseorang aktres itu sebagai prop semata-mata atau sebagai gadis dalam kesusahan. Yeoh melakukan perkara ini pada awal kerjayanya dan bukan hanya selepas beliau telah terkenal.

MY-pic-2 (5).JPG

Pelakon kelahiran Malaysia Michelle Yeoh melemparkan senyuman selepas merangkul Anugerah Akademi bagi Aktres Terbaik melalui filem “Everything Everywhere All at Once” pada Anugerah Akademi ke-95 di Los Angeles, California, 12 Mac 2023. [Carlos Barria/Reuters]

Senarai 19 penerima Pingat Kebebasan Presiden pada Jumaat turut menampilkan beberapa ahli politik dan individu yang merupakan perintis serta berjaya memecahkan rekod dalam pelbagai bidang seperti seni dan hiburan, pendidikan, hak-hak sivil, sukan serta aeroangkasa.

Selain Yeoh, turut menerima pingat itu ialah personaliti rancangan bual bicara TV Phil Donohue; Ellen Ochoa iaitu wanita Hispanic pertama yang menerokai angkasa lepas; Medgar Evers, ikon pergerakan hak-hak sivil yang dibunuh pada 1963; Atlet renang Katie Ledecky yang memenangi pingat emas sebanyak 21 kali pada kejohanan dunia; dan mendiang Jim Thorpe iaitu atlet yang cemerlang dalam pelbagai acara sukan serta merupakan Orang Asli Amerika pertama yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.

Dari Hong Kong ke Hollywood

Bekas ratu cantik Malaysia, Michelle Yeoh mendapat peluang berlakon dalam sebuah filem Hong Kong bersama-sama superstar antarabangsa yang terkenal sebagai pelakon aksi dan seni mempertahankan diri iaitu Jackie Chan – dan mereka kemudian telah bekerjasama dalam berpuluh-puluh filem. Menerusi filem pertama lakonannya, Yeoh memberitahu majalah People bahawa beliau telah berlakon sebagai seorang wanita yang perlu diselamatkan.

Bagaimanapun, itu adalah kali terakhir beliau memegang watak sedemikian. Setahun kemudian iaitu pada 1985, beliau telah ditawarkan watak utamanya yang pertama dalam filem aksi iaitu sebagai anggota polis di Hong Kong. Ketika itu, Yeoh tidak begitu fasih berbahasa Kantonis, jadi beliau telah mempelajarinya. Beliau juga melakukan aksi lagak ngeri sendiri, satu lagi tradisi yang dipecahkan oleh Yeoh.

Tidak lama selepas itu,Yeoh berjaya menempatkan diri sebagai bintang terkenal menerusi filem-filem lakonannya di Hong Kong. Kemudian, Hollywood memanggil beliau pada 1997 menerusi filem James Bond dan selepas itu, Yeoh tidak berkarya selama dua tahun.

Pengarah Ang Lee, yang menempah nama di Hollywood melalui filem “Sense & Sensibility,” menawarkan Yeoh watak sebagai kesatria iaitu satu daripada tiga watak utama dalam filem aksi “Crouching Tiger, Hidden Dragon.”

Filem itu mencapai kejayaan yang memberangsangkan dan bagi Yeoh, telah melakar sejarah dalam kerjayanya – beliau telah menerima pencalonan sebagai aktres terbaik daripada BAFTA (The British Academy of Film and Television Arts). Pada Februari 2023, apabila filem itu dikeluarkan dalam versi 4k, majalah Time mengisytiharkan bahawa “Crouching Tiger, Hidden Dragon adalah bukti bahawa bakat Michelle Yeoh seringkali diremehkan dan dipandang rendah.”

MY-pic-3 (1).jpg

Aktres kelahiran Malaysia Michelle Yeoh ketika berlakon dalam filem berbahasa Mandarin “Crouching Tiger, Hidden Dragon” yang mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. [Peter Pau/Sony Pictures Classics]

Filem yang memaparkan seni mempertahankan diri itu sekali lagi telah membawa beberapa tawaran daripada Hollywood namun kali ini watak yang ditawarkan adalah jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Yeoh kemudian berlakon dalam beberapa filem terkenal seperti “Memoirs of a Geisha,” “Sunshine” dan “Crazy Rich Asians.”

Akhirnya, pada 2018, the Daniels – dua pengarah iaitu Daniel Scheiner dan Daniel Kwan – telah menawarkan watak utama kepada Yeoh dalam “Everything Everywhere All at Once,” sebuah filem yang berkisarkan multiverse atau multisemesta.

Filem eksentrik itu ternyata berjaya membuahkan hasil yang selama ini dinanti-nantikan oleh Yeoh iaitu watak yang telah membolehkan beliau menggondol anugerah Oskar.

Lakonan mantap sebagai seorang imigran China-Amerika yang memiliki sebuah kedai dobi dan merupakan satu-satunya individu yang boleh menyelamatkan dunia, Yeoh muncul sebagai wanita Asia pertama berjaya merangkul Oskar bagi anugerah aktres terbaik.

Yeoh merujuk perjalanan kerjayanya yang penuh bersejarah dalam ucapan penerimaan anugerah itu.

“Untuk semua anak muda lelaki mahupun perempuan yang menonton malam ini, (kejayaan) ini adalah nyalaan harapan dan kemungkinan,” kata beliau.

“Ini adalah bukti bahawa impian boleh menjadi menjadi kenyataan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.