Kumpulan Hak Asasi Gesa Kerajaan Malaysia Hentikan Ancaman Terhadap Etnik Rohingya
2020.05.11
Kuala Lumpur, Malaysia
Sejumlah besar NGO dan kumpulan hak asasi pada Isnin bersama-sama mendesak kerajaan Malaysia supaya bersuara menyokong Muslim Rohingya dan menghentikan lontaran kebencian yang semakin meningkat terhadap komuniti pelarian tanpa kerakyatan dari Myanmar itu di platform media sosial.
Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia menahan kira-kira 1,000 pekerja asing dalam satu serbuan di Kuala Lumpur di tengah-tengah kebimbangan berhubung penularan jangkitan koronavirus.
Pelbagai catatan dalam talian di Malaysia baru-baru ini menyasarkan etnik Rohingya termasuk membuat ancaman dan mempersendakan bahasa dan gambar mereka, kata sebanyak 84 organisasi yang merangkumi Amnesty International Malaysia, Human Rights Watch dan Suruhanjaya Juri Antarabangsa yang berpejabat di Geneva dalam satu surat terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
"Kami mendesak anda supaya bertindak segera untuk mengatasi percambahan ‘kata-kata kebencian ’dan ancaman ganas terhadap masyarakat etnik Rohingya baru-baru ini dan memastikan bahawa retorik sedemikian tidak mencetuskan tindakan diskriminasi atau serangan fizikal,” kata kumpulan itu.
Mereka menuduh kerajaan mengutus "pelbagai mesej" berhubung pelarian itu. Kumpulan itu menyatakan bahawa Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menyuarakan simpati terhadap etnik Rohingya dalam ucapan beliau 27 April. Tetapi kenyataannya itu, kata mereka, dijejaskan oleh kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin beberapa hari kemudian apabila beliau menekankan tentang kurangnya status atau hak sah pelarian di negara ini.
"Kami mendesak anda dan kerajaan anda supaya bersuara menyokong hak-hak etnik Rohingya, menekankan tentang status mereka sebagai pelarian yang melarikan diri daripada penindasan dan pencabulan hak asasi manusia," kata kumpulan-kumpulan itu yang turut merangkumi Majlis Rohingya Eropah, kumpulan hak asasi Malaysia, Suaram, serta Islamic Renaissance Front, kumpulan pemikir sederhana.
Muhyiddin, sebagai ketua kerajaan, bersama-sama dengan para pegawai lain harus menunjukkan komitmen negara itu untuk menegakkan hak asasi manusia, kata surat terbuka itu, yang membangkitkan bahawa peningkatan lontaran kata-kata kebencian terhadap etnik Rohingya mungkin didorong oleh petisyen dalam talian yang meminta pengusiran masyarakat minoriti dari Myanmar itu.
Dalam kenyataan berasingan, Human Rights Watch berkata kerajaan itu "telah gagal melaksanakan tugasnya dalam melindungi hak-hak pelarian etnik Rohingya."
Sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak banyak membantu dalam menghentikan ancaman ganas itu terhadap para pemimpin etnik Rohingya, yang menyebabkan masyarakat pelarian itu ketakutan walaupun untuk keluar membeli makanan dan bekalan asas lain yang diperlukan bagi bertahan semasa perintah kawalan pergerakan COVID-19, kata HRW.
Sekurang-kurangnya 179,000 orang termasuk lebih 101,500 etnik Rohingya didaftarkan sebagai pelarian di Malaysia, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, UNHCR. Sebilangan besar etnik Rohingya memasuki negara itu selepas melarikan diri daripada serangan keganasan di negeri Rakhine di Myanmar, yang menjadi kampung halaman etnik Rohingya, di mana mereka tidak diakui sebagai warganegara.
Malaysia bukanlah pihak dalam Konvensyen Pelarian PBB dan tidak mempunyai sistem suaka yang mengawal selia status dan hak pelarian, menurut UNHCR.
Migran diserbu
Pada Isnin, dalam satu serbuan awal pagi yang mengejutkan, pihak berkuasa menahan kira-kira 1.000 pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah apabila para pegawai melakukan pemeriksaan di berderet-deret rumah kedai berhampiran pasar borong Kuala Lumpur, kata saksi dan pegawai Imigresen kepada BeritaBenar.
Para pegawai, yang meminta supaya tidak dinyatakan nama mereka kerana tidak dibenarkan bercakap dengan pihak media, memberitahu bahawa pelarian yang mempunyai kad pengenalan yang dikeluarkan oleh UNHCR tidak ditahan dalam serbuan itu.
"Mereka yang ditahan dibawa ke pejabat di Jalan Duta untuk tindakan dokumentasi," kata seorang pegawai kepada BeritaBenar. "Pada masa ini, seramai 1,000 orang telah ditahan. Hanya mereka yang mempunyai kad UNHCR yang dibebaskan. "
Ejen-ejen Imigresen, pegawai Kementerian Kesihatan serta anggota Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia terlibat dalam operasi itu. Seorang peniaga di pasar berkenaan memberitahu BeritaBenar bahawa rakyat Bangladesh, Indonesia dan Myanmar adalah antara mereka yang ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud tidak segera menjawab panggilan daripada BeritaBenar.
Kawasan pasar borong itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan kes jangkitan koronavirus yang tinggi.
Malaysia melaporkan 70 kes baru COVID-19 pada Isnin dengan 31 daripada mereka merupakan pekerja asing, yang menjadikan jumlah kes terkumpul adalah 6,726 di negara itu. Pihak berkuasa kesihatan mengesahkan satu kematian dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan jumlah kematian di seluruh negara adalah 109 orang.
Tenaganita: Mengapa hukum mereka yang paling sedikit?
Pihak berkuasa Imigresen telah mendaftarkan kira-kira 2.2 juta orang asing di negara itu, tetapi kumpulan hak asasi menganggarkan bahawa 2.5 juta hingga 3 juta orang pekerja tanpa dokumen sah bekerja di seluruh Malaysia termasuk kebanyakannya bekerja di ladang getah dan kelapa sawit.
Seperti negara jirannya, Singapura, sebuah negara kota yang baru-baru ini diserang wabak koronavirus yang dikesan di kawasan asrama sempit yang menempatkan ribuan warga asing, pekerja migran Malaysia juga ditempatkan di kawasan hostel atau tempat tinggal yang mempunyai bilangan bilik air yang terhad, menurut kumpulan pejuang hak-hak pekerja.
Sementara itu, NGO perlindungan migran dan pelarian Malaysia, Tenaganita, mendesak kerajaan supaya berhenti menggunakan penangkapan dan penahanan sebagai cara untuk menghukum masyarakat yang lemah termasuk pekerja migran tanpa dokumen sah.
"Mengapa kita terus menghukum dan mendakwa masyarakat yang paling sedikit dalam masyarakat kita?" Dalam satu kenyataan, Tenaganita berkata strategi mengawal pergerakan orang sepanjang pandemik "kemungkinan menyebabkan bahaya yang lebih besar berbanding kebaikan."