PENJELASAN: Mengapa ribuan warga asing tanpa izin bergegas tinggalkan Malaysia?

Pegawai imigresen menyatakan kerajaan menawarkan program pengampunan untuk pekerja asing tanpa izin untuk pulang secara sah sebelum 1 Januari.
Iman Muttaqin Yusof dan Ili Shazwani Ihsan
2024.12.13
Kuala Lumpur
PENJELASAN: Mengapa ribuan warga asing tanpa izin bergegas tinggalkan Malaysia? Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia mendaftar pekerja asing untuk Program Repatriasi Migran di pejabat agensi itu di Kuala Lumpur, 11 Disember 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang wanita berasal dari Acheh, Indonesia, Ramlah, 57, telah tinggal di Malaysia selama 12 tahun tanpa sebarang dokumen yang sah.

Dia pada mulanya datang ke negara ini atas alasan melawat anak sulungnya tetapi selepas itu dia terus tinggal di Malaysia secara tidak sah.

Selepas bekerja dan berniaga secara kecil-kecilan di negara ini, Ramlah kini bersedia untuk pulang ke negara asalnya.

“Sudah tiba masanya untuk kami pulang,” kata Ramlah kepada BenarNews sambil memegang tangan anak perempuannya yang berusia 10 tahun ketika beratur di kawasan pejabat imigresen di Kuala Lumpur.

“Saya bersyukur kepada Malaysia atas peluang di sini, tetapi ini bukan negara kami. Kami perlu pulang dan membina semula kehidupan di kampung halaman.”

Seperti Ramlah, lebih 200,000 warga asing termasuk kanak-kanak yang tinggal di Malaysia telah mengambil peluang untuk pulang melalui Program Repatriasi Migran yang ditawar pihak kerajaan bermula pada 1 Mac dan berakhir pada 31 Disember.

Bagi ramai pendatang, tawaran itu menjadi talian hayat buat mereka bagi mengelakkan diri daripada ditangkap pihak berkuasa dan diusir dalam usaha untuk mencari jalan keluar yang sah.

Bagaimana ia berfungsi?

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff program repatriasi dirangka bagi “menggalakkan penyerahan diri secara sukarela dalam kalangan migran.”

Jelasnya sambutan terhadap program ini paling tinggi direkodkan di Selangor, Johor dan Kuala Lumpur yang menyaksikan ramai warga asing tanpa dokumen bekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan domestik.

“Inisiatif ini membolehkan individu yang telah tinggal melebihi tempoh atau melanggar undang-undang imigresen untuk meninggalkan Malaysia dengan membayar denda pada kadar minimum berbanding menghadapi pendakwaan undang-undang yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda yang berat atau penjara,” katanya kepada BenarNews.

Di Malaysia, pesalah imigresen berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 [AS$2,247] atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, dengan mereka yang tinggal melebihi tempoh juga berisiko dikenakan denda harian berganda serta hukuman lebih berat bagi kesalahan berulang.

Untuk mengelakkan daripada ditahan, warga asing perlu mempunyai pasport yang sah dan tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh 14 hari selepas menerima pas melalui program pengampunan itu.

Mereka juga disyaratkan membayar denda yang telah dikurangkan kepada RM500 [AS$112] dan menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap.

Wan Mohammed Saupee memberikan amaran bahawa mulai 1 Januari depan, Jabatan Imigresen akan meningkatkan operasi di seluruh negara bagi menahan warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

"Mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang sepenuhnya,” tegasnya.

pendatang2.png
Ratusan warga asing beratur untuk mendaftar dalam Program Repatriasi Migran di pejabat Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur, 11 Disember 2024. (S. Mahfuz/BenarNews)

Siapa yang terlibat?

Kebanyakan peserta program ini berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India.

Di Kuala Lumpur sahaja, lebih 30,000 warga asing telah mendaftar untuk program tersebut manakala tabloid tempatan Harian Metro melaporkan lebih 200,000 orang migran di seluruh negara telah menyertai tawaran pengampunan itu.

BenarNews telah menghubungi Jabatan Imigresen untuk mendapatkan data terkini tetapi belum menerima sebarang maklum balas.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Mac lalu menyatakan bahawa kira-kira 600,000 warga asing tanpa dokumen dijangka mendaftar dalam program repatriasi sebelum akhir Disember.

Ramai daripada kalangan mereka tinggal dan bekerja di Malaysia selama bertahun-tahun tanpa dokumen sah dan sering menghantar wang kepada keluarga mereka di kampung halaman.

Sebahagian daripada pekerja asing itu mengambil keputusan untuk pulang akibat cabaran kewangan, masalah kesihatan atau keinginan untuk bersama semula dengan ahli keluarga.

Bagi Syakir Munsyid, seorang pekerja binaan dari Bangladesh berusia 38 tahun, program itu menawarkan peluang untuk pulang secara bermaruah.

Selepas sembilan tahun di Malaysia, dia memutuskan untuk pulang kerana masalah kesihatan anak lelakinya.

“Saya berasa gembira hendak pulang,” katanya kepada BenarNews.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan atas program ini. Ia memudahkan saya untuk pulang bersama keluarga.”

Sementara itu, seorang pekerja restoran Faizul Omar, 54, yang berasal dari India menyatakan dia mengambil keputusan untuk pulang atas faktor kesihatan.

Setelah hanya enam bulan di Malaysia menggunakan visa yang tidak sah untuk bekerja, dia tidak sabar lagi hendak kembali ke pangkuan keluarganya.

pendatang3.png
Seorang lelaki menolak seorang warga asing yang berkerusi roda untuk mendaftar dalam Program Repatriasi Migran di pejabat Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur, 11 Disember 2024. (S. Mahfuz/BenarNews)

Kritikan terhadap program repatriasi

Meskipun program tersebut dialu-alukan kerana kerajaan mengggunakan pendekatan memberikan "pengampunan", pengkritik berpendapat bahawa ia tetap mempunyai banyak kelemahan.

Adrian Pereira, pengarah eksekutif North-South Initiative, sebuah kumpulan advokasi hak migran, menyatakan ramai pekerja tanpa dokumen menjadi begitu kerana kegagalan sistemik.

“Menurut kajian kami, pekerja sering kehilangan status sah mereka disebabkan eksploitasi pihak majikan, kekurangan saluran dokumentasi yang betul atau penipuan,” kata Pereira kepada BenarNews.

“Menghukum mereka dengan denda dan menyenaraihitamkan daripada kembali adalah tidak adil. Ini adalah sistem kejam yang meraih keuntungan daripada kesusahan mereka.”

Pereira turut mempersoalkan ke mana wang denda yang dikumpul itu digunakan.

“Adakah wang tersebut dilaburkan semula untuk perkhidmatan berkaitan migran atau hilang ke dalam tabung kerajaan?” soalnya.

Sementara itu, aktivis hak migran Andy Hall mengakui walaupun program repatriasi sukarela ini memberi manfaat kepada sesetengah pekerja, ia sering mengabaikan mangsa buruh paksa.

“Ramai pekerja yang pulang melalui program ini telah menghadapi penderaan dan eksploitasi serius semasa berada di Malaysia,” kata Hall.

“Kerajaan mesti menyaring mangsa pemerdagangan manusia sebelum dibenarkan pulang ke negara asal untuk memastikan keadilan dan pemulihan yang sewajarnya.”

pendatang4.png
Seorang wanita warga asing beratur sambil mendukung anaknya untuk mendaftar dalam Program Repatriasi Migran di pejabat Jabatan Imigresen di Kuala Lumpur, 11 Disember 2024. (S. Mahfuz/BenarNews)

Apa akan berlaku selepas 31 Disember? 

Dengan Program Repatriasi Migran dijadualkan tamat pada 31 Disember, pihak berkuasa imigresen sedang bersedia untuk tindakan penguatkuasaan secara besar-besaran bermula 1 Januari.

“Mulai tahun depan, kami akan meningkatkan operasi di seluruh negara,” kata Wan Mohammed Saupee.

“Mereka yang masih tidak mempunyai dokumen sah akan menghadapi tindakan undang-undang sepenuhnya, termasuk pendakwaan, denda atau penjara.”

Bagaimanapun, pihak berkuasa bukan sahaja menyasarkan warga asing tanpa dokumen malah majikan dan pemilik hartanah yang memberi perlindungan kepada mereka turut akan dikenakan tindakan sewajarnya.

“Kami memberi tumpuan kepada tiga kumpulan iaitu pendatang tanpa dokumen, majikan dan mereka yang menyediakan perlindungan,” jelas Wan Mohammed Saupee.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekosistem yang tidak kondusif untuk warga asing yang masuk secara haram.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.