Filipina Lanjut Gencatan Senjata Dengan MILF
2016.02.12
Kerajaan Filipina dan kumpulan militan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengesahkan "komitmen untuk terus menuju kearah keamanan" dengan menambah setahun lagi perjanjian gencatan senjata yang sedia ada.
Langkah itu diambil pada Khamis, hari terakhir pertemuan dua hari yang berlangsung di Kuala Lumpur anjuran kerajaan Malaysia, kira-kira seminggu selepas kongres Filipina menangguh tanpa meluluskan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) usaha untuk membangunkan wilayah autonomi bagi minoriti Muslim di selatan negara itu.
Filipina adalah sebuah negara Roman Katolik.
Rang undang-undang tersebut dikaitkan dengan perjanjian damai pada Mac 2014, iaitu Perjanjian Komprehensif Mengenai Bangsamoro (CAB) antara kerajaan dan pemberontak MILF. Rang undang-undang tersebut berkaitan dengan aspek-aspek tertentu CAB, termasuk pelucutan senjata dan pejuang MILF.
Rang undang-undang itu ditangguh berikutan pembunuhan seramai 44 komando polis dalam pertempuran yang melibatkan beberapa gerila MILF pada Januari 2015, Associated Press melaporkan.
Perunding kerajaan, yang diketuai oleh Miriam Coronel Ferrer, dan pihak pemberontak, yang diketuai oleh Mohagher Iqbal, mengesahkan komitmen mereka untuk menyelesaikan proses damai dan "untuk mengekalkan manfaat daripada rundingan selama lebih 17 tahun."
Kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan gencatan senjata sehingga 31 Mac, 2017, dan bersetuju bahawa cara terbaik adalah untuk meluluskan rang undang-undang semasa sesi perundangan seterusnya.
Penganalisis: BBL wujudkan kepercayaan
"Apa yang perlu dilaksanakan adalah untuk memastikan BBL dapat diluluskan oleh pentadbiran baru dan kongres Filipina. Apabila ini dapat dilakukan, maka proses damai boleh diteruskan mengikut ketetapan, kerana ia akan mewujudkan kepercayaan antara kedua belah pihak, terutama di kalangan pemimpin-pemimpin MILF. Selagi ia tidak diluluskan, akan wujud rasa tidak senang, " kata penganalisis politik dan profesor Universiti Malaysia Sabah Askandar Zimmermann kepada BeritaBenar.
Presiden Benigno Aquino III, yang menyelia majlis menandatangani perjanjian damai 2014, tidak boleh bertanding semula akhir tahun ini. Ferrer dan Iqbal turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Najib Razak atas sokongan beliau terhadap proses damai itu. Najib menghadiri majlis menandatangani perjanjian tahun 2014 di Istana Malacanang di Manila.
Dalam pertemuan dua hari lalu, Iqbal memberi amaran bahawa kegagalan Kongres Filipina meluluskan rang undang-undang autonomi bulan ini bakal mencetuskan "kekecewaan meluas di kalangan rakyat kami," lapor AP.
Iqbal berkata, kerajaan dan pemberontak harus "bersama mencari cara dan kaedah untuk menangani keadaan berbahaya itu dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan kekecewaan.
Satu dokumen yang ditandatangani dengan kenyataan bersama menjelaskan bahawa kerajaan dan pihak pemberontak akan mengekalkan kumpulan tindakan bersama yang bertanggung jawab untuk "mengasingkan dan menahan semua sindiket jenayah/menculik untuk wang tebusan; dan kumpulan jenayah lain seperti ‘Lost Commands’ di Mindanao.
Pasukan tentera Filipina bertempur minggu ini dengan lelaki bersenjata yang mengorbankan seorang anggota tentera di wilayah Maguindanao selatan, menurut AP.
Pasukan tentera pada mulanya menyangka lelaki bersenjata itu anggota pemberontak dari kumpulan lain, ternyata beliau adalah anggota gerila MILF. Kedua belah pihak telah mengambil langkah untuk mengelak berlakunya sebarang pertelingkahan, kata jurucakap tentera, Kapten.Joan Petinglay.