Malaysia Tuan Rumah Mesyuarat Kerajaan Filipina, MILF Bagi Laksanakan Perjanjian Damai

Muzliza Mustafa
2016.08.15
Kuala Lumpur
160815-my-ph-bangsamoro-620 Ahli-ahli delegasi Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Moro Islam menyertai para pegawai Malaysia di Kuala Lumpur untuk memulakan mesyuarat mengenai pelaksanaan proses damai di antara kedua-dua pihak, 13 Ogos 2016.
[Muzliza Mustafa/BenarNews]

Kerajaan Filipina dan wakil kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah bersetuju dengan rancangan untuk melaksanakan perjanjian damai yang tertangguh susulan mesyuarat dua hari di Malaysia – mesyuarat pertama seumpamanya sejak Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengambil alih jawatan pada Jun.

Pada Sabtu, kedua-dua pihak itu bersetuju dengan pelaksanaan dua fasa bagi keamanan di rantau ini - menulis undang-undang asas diikuti dengan pelucutan tauliah pejuang MILF, kata fasilitator Malaysia Tengku Ab Ghafar Tengku Mohamed kepada pemberita di Kuala Lumpur.

"Bagi fasa pertama, kami serahkan kepada kedua-dua pihak yang terlibat untuk memutuskan bagaimana mereka mahu membentuk masa depan Filipina. Dalam fasa kedua, Malaysia mungkin terlibat atas permintaan daripada pihak berkenaan, "kata fasilitator Malaysia itu.

Semasa mengakhiri mesyuarat itu pada Ahad, pegawai-pegawai Kerajaan Filipina dan MILF mengumumkan dalam satu kenyataan bersama bahawa mereka telah bersetuju untuk bertemu secara tetap di Filipina bagi meneruskan usaha membentuk "keamanan yang adil dan berkekalan" di kawasan konflik yang terjejas di pulau selatan Mindanao. Mereka menetapkan pertemuan seterusnya di Davao City, Filipina pada 3 Ogos, lapor GMA News Online.

"Kedua-dua pihak telah bersetuju mengenai aspek substantif keamanan dan pembangunan pelan tindakan berkenaan," kata kenyataan bersama itu. "Selaras dengan keazaman teguh mereka untuk membentuk manfaat proses damai setakat ini, pihak-pihak berkenaan komited untuk bekerjasama bagi memastikan pelaksanaan perjanjian yang GPH (Kerajaan Filipina)-MILF tandatangan secara cekap dan menyeluruh.”

Satu perjanjian yang dicapai pada Mac 2014 ketika di bawah penerajuan presiden sebelumnya, Benigno Aquino III, telah ditangguhkan kerana Senat Filipina gagal meluluskan Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL), yang diperlukan untuk melaksanakan perjanjian itu.

Senat menolak untuk meluluskan BBL selepas 44 komando Filipina dan sekurang-kurangnya 17 pejuang MILF terbunuh dalam pertempuran semasa serbuan polis di wilayah tuntutan MILF pada Januari 2015. Selepas itu, kerajaan Aquino dikritik kerana melaksanakan operasi itu dan MILF dituduh melanggar syarat-syarat gencatan senjata selepas  perjanjian damai asal ditandatangani.

Di bawah perjanjian itu, pemimpin MILF berjanji untuk meletakkan senjata mereka sebagai pertukaran kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi selatan. Para pemberontak MILF telah berjuang sejak tahun 1970-an bagi mendapatkan autonomi untuk penduduk Islam Bangsamoro di selatan Filipina.

Malaysia berkhidmat sebagai fasilitator dalam usaha-usaha damai itu.

Suruhanjaya Peralihan diperluaskan

Dalam satu lagi langkah proses damai, kedua-dua pihak itu bersetuju untuk meningkatkan keahlian Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro, dengan 11 ahli yang akan dinamakan oleh MILF dan 10 ahli lagi oleh kerajaan. Suruhanjaya itu, yang ditugaskan untuk merangka BBL baru, akan melihat  keahliannya meningkat daripada  15 orang  - lapan daripada MILF dan tujuh daripada kerajaan.

Kedua-dua pihak itu juga memutuskan untuk membawa pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari dalam  proses damai itu

Nur Misuari adalah bekas Gabenor Wilayah Autonomi Islam Mindanao dan telah menjadi pelarian sejak serangan ke atas Zamboanga City pada 2013. Pada Mei lepas, beliau telah membantu pegawai-pegawai Malaysia dan Indonesia mendapatkan pembebasan anak-anak kapal Malaysia dan Indonesia daripada Abu Sayyaf.

Pada Sabtu, Pengerusi MILF Murad Ebrahim berkata panel itu menyambut baik kemasukan Misuari, dan menjemput kumpulan militan selatan Filipina lain untuk membawa keamanan kepada rantau ini.

"Kami perlukan semua pemain untuk melakukannya. Kami mengalu-alukan semua, bukan sahaja saudara Misuari, tetapi puak-puak yang lain juga. Kami mahu mereka turut sama terlibat.

"Mereka semua adalah sebahagian daripada proses damai sebelum ini. Abu Sayyaf adalah sebahagian daripadanya. Mereka adalah ahli-ahli MNLF. Juga sebahagian daripada kami adalah kumpulan Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro yang kelihatan radikal. Kedua-duanya telah meninggalkan MNLF dan MILF, "kata Murad pada sidang media sebelum mesyuarat dimulakan pada Sabtu.

Murad berkata penubuhan kerajaan Bangsamoro adalah penting dalam mencegah Negara Islam (IS)  daripada bertapak di Mindanao dan bagi menghentikan militan di selatan Filipina.

Penasihat Presiden Filipina Jesus Dureza, yang mengetuai delegasi kerajaan, bersetuju dengan pendapat Murad.

"Itulah sebabnya kami datang bersama-sama demi Bangsamoro," kata Dureza.

Penganalisis: Perjanjian damai dapat menolak IS

Pelaksanaan perjanjian damai itu bermakna umat Islam di selatan Filipina tidak lagi melihat perlunya menyokong ekstremis, kata penganalisis keselamatan Rohan Gunaratna.

"Pelaksanaan perjanjian damai Bangsamoro akan menafikan pertumbuhan kumpulan yang menumpukan kepada IS di selatan Filipina," kata Gunaratna, yang mengetuai Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Keganasan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura, kepada BeritaBenar.

Beliau berpendapat adalah penting untuk semua pihak di Filipina, terutamanya Malaysia, menyokong proses damai itu kerana IS di Filipina akan menimbulkan ancaman yang serius kepada keselamatan dan kestabilan Asia Tenggara.

"Resolusi bagi pertikaian di antara utara dan selatan bukan sahaja membawa keadaan yang aman dan damai, malah kemakmuran ekonomi dan pembangunan di Mindanao," kata Gunaratna, kolumnis untuk BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.