Malaysia Ketuai Pasukan Pemantau Siasat Pertempuran Maut di Selatan Filipina

Richel V. Umel & Jeoffrey Maitem
2018.06.05
Iligan City & Cotabato City, Filipina
180605-PH-MILF-1000.jpg Anggota-anggota bersenjata Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengiringi orang awam menaiki sebuah trak di Tangkal, sebuah bandar di wilayah Lanao del Norte, selatan Filipina, 28 Mei 2018.
[Richel V. Umel/BeritaBenar]

Satu kontinjen yang diketuai Malaysia telah dihantar untuk membantu penyiasatan operasi anti-dadah yang membawa kepada kematian sembilan pemberontak Muslim bulan lalu di selatan Filipina, kata para pegawai pada Selasa, ketika Kongres digesa mengadakan rundingan mengenai wilayah pemerintahan sendiri seperti yang telah dijanjikan.

Misi pemantauan antarabangsa itu, yang diketuai Mejar Jeneral Mohd Nazir Haji Mami dari Tentera Darat Malaysia, ditugaskan untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku pada 25 Mei lalu di antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan pasukan anti-dadah elit di Matalam, sebuah bandar di wilayah Cotabato, kata pegawai.

"Bagi kami, tidak ada penyelarasan antara pihak polis dan tentera. Siasatan mereka masih berterusan dan kami berharap ia dapat menyelesaikan masalah yang timbul itu, "kata Mohammad Ameen, ketua kanan MILF, kepada BeritaBenar yang merujuk kepada pasukan antarabangsa berkenaan.

"Saya yakin ia tiada kaitan dengan dadah seperti yang dikatakan pihak polis," katanya.

Pada Selasa, komander Malaysia itu merayu kedua-dua pihak supaya bertenang sementara siasatan dijalankan, bagi memastikan ia tidak merumitkan rundingan cadangan mewujudkan wilayah autonomi Islam, yang merupakan tumpuan utama dalam perjanjian damai yang ditandatangani oleh Manila dan pihak pemberontak pada 2014.

"Kami akan memastikan siasatan kami terhadap dakwaan pertempuran antara sembilan anggota MILF dan polis adalah menyeluruh," katanya ketika ditemu bual sebuah stesen radio tempatan di bandar Cotabato.

Malaysia telah mengusahakan rundingan damai di antara kerajaan Filipina dan pemberontak Islam di selatan Mindanao. Penglibatan Malaysia juga meluas termasuklah yang melibatkan pemantauan terhadap kesepakatan melakukan gencatan senjata sementara oleh kedua-dua pihak sejak dua dekad yang lalu.

Wakil-wakil dari Libya, Brunei, dan Jepun juga menyetai misi yang diketuai Malaysia itu, yang turut memantau aspek kemanusiaan, pemulihan dan pembangunan proses damai. Kontinjen pengaman itu juga memastikan orang awam diberi perlindungan di kawasan-kawasan yang dikendalikan MILF.

Pada 25 Mei lalu, anggota pasukan polis elit yang mendapat sokongan pihak tentera, sedang melakukan misi untuk menahan dua pengedar dadah yang terkenal kejam di Kampung Kilada apabila beberapa lelaki di dalam sebuah rumah  menembak ke arah mereka lalu menyebabkan berlakunya pertempuran, kata para pegawai.

Sembilan orang terbunuh di dalam rumah itu dan polis berkata, mereka menemui beberapa senjata api berkuasa tinggi termasuk senapang penembak hendap dan pelancar bom tangan. Tiada dadah yang dijumpai, kata para penyiasat.

MILF berkata, mereka yang terbunuh adalah anggota pasukan pejuang elit di bawah sayap Angkatan Bersenjata Islam Bangsamoro (BIAF), yang pernah membantu pihak tentera menentang kumpulan-kumpulan yang pro-Negara Islam di selatan Filipina.

Tetapi, ketika mereka mengemukakan "bantahan kuat" terhadap rakan-rakan seperjuangan, para pegawai MILF menyatakan bahawa mereka yakin insiden itu tidak langsung menjejaskan pembentangan Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) di Kongres.

BBL mengandungi cadangan kawasan autonomi di selatan yang merangkumi ruang lingkup dan kuasanya. Pembentangan undang-undang itu dijangka dapat membawa keamanan kepada Mindanao, wilayah ketiga yang kaya dengan mineral di mana banyak kawasan masih terperangkap dalam kemiskinan berikutan pemberontakan yang sentiasa berlaku.

MILF, yang mempunyai 12,000 ahli, terpaksa menggugurkan permintaan mendapatkan wilayah yang diperintah sendiri demi mencari penyelesaian bagi autonomi yang diperluaskan apabila ia menandatangani perjanjian damai dengan Manila pada empat tahun lalu.

Minggu lalu, Dewan Negara dan Dewan Perwakilan telah meluluskan versi undang-undang masing-masing tetapi para penggubal undang-undang telah dikecam kerana didakwa mengetepikan peruntukan tertentu.

Presiden Rodrigo Duterte dijangka menandatangani rang undang-undang itu untuk diwartakan menjadi akta semasa beliau menyampaikan ucapan negara pada persidangan kedua-dua Kongres pada Julai depan.

Undang-undang yang dicadangkan itu, dengan sebahagiannya dapat dilihat oleh BeritaBenar, menunjukkan bahawa banyak kuasa yang dituntut MILF termasuk yang berkaitan dengan pengurusan tanah, utiliti awam dan kuasa pengawalseliaan asas, seperti yang berkaitan dengan hak-hak kumpulan pribumi, telah digugurkan.


Dennis Jay Santos di Davao City, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.