Internet, Media Sosial Medium Digunakan Secara Agresif oleh IS
2015.09.03
Kemudahan Internet dan media sosial adalah medium utama yang digunakan secara agresif oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam menyebarkan propaganda mereka untuk mempengaruhi orang ramai menyertai gerakan kumpulan itu.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Kriminologi, Prof. Madya Dr. P. Sundramoorthy berkata, media sosial seperti Facebook merupakan medium yang digunakan kumpulan itu untuk menarik minat orang ramai menyertai gerakan mereka di negara bergolak Syria dan Iraq.
“Mereka menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkongsi tentang kehidupan mereka sebagai 'pejuang jihad',” katanya kepada BeritaBenar baru-baru ini.
Sehubungan itu, Sundarmoorthy meminta pihak berkuasa Malaysia menimbangkan satu sistem komprehensif bagi membolehkan rakyat untuk menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan ancaman gerakan militan di negara ini.
"Kita perlu melihat kepada pelbagai peringkat - dari komuniti kepada jabatan kerajaan, sektor swasta dan sebagainya - satu sistem di mana mereka yang mengesyaki seseorang yang mereka kenali berkelakuan mencurigakan boleh membuat laporan tanpa mendedahkan identiti pelapor.
"Sekarang kita ada institusi polis tetapi kita memerlukan institusi sokongan yang membolehkan maklumat disalurkan dengan cepat dan tepat supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan efektif," katanya.
Pada 20 Ogos lepas, sepuluh rakyat tempatan termasuk dua orang wanita ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mempromosi ideologi IS serta mengumpul dana dan mengatur perjalanan ke Syria.
Lebih mengejutkan, enam daripada mereka yang ditahan terdiri daripada anggota keselamatan, dua pegawai kerajaan, seorang guru tadika dan seorang bekas pereka bentuk dalaman.
Bagaimanapun, difahamkan kesemua mereka yang ditahan tidak mengenali antara satu sama lain kerana mereka bukan daripada kumpulan yang sama.
Akhbar Utusan Malaysia melaporkan sepuluh suspek yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal Malaysia pada era 1990-an, Akel Zainal yang kini menganggotai kumpulan militan IS di Syria.
Laporan itu, yang memetik sumber mendakwa, sebahagian daripada suspek itu sedang dalam persiapan untuk ke Syria bagi tujuan berperang dan menjalani latihan ketenteraan.
"Suspek-suspek terbabit dipercayai telah berkomunikasi dengan Akel melalui media sosial dan akan menyertai perjuangan kumpulan IS di negara bergolak itu tidak lama lagi. Mereka juga dikesan mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan Akel yang kini menetap di Syria. Mereka berhubung antara satu sama lain untuk persiapan ke negara itu.
“Mereka terpengaruh dengan perjuangan IS dan mahu menyertai Akel yang kononnya sedang memartabatkan Islam di bumi bergolak itu. Polis juga percaya ada antara individu itu direkrut Akel untuk tujuan tersebut malah ada yang ditugaskan untuk mencari dana,” kata sumber itu kepada akhbar berkenaan.
Sukar kesan
Sundaramoorthy berkata, disebabkan faktor penyebaran propaganda IS secara terbuka melalui media sosial, adalah sukar untuk mengesan siapa di kalangan masyarakat yang telah terpengaruh dan terlibat dalam gerakan militan.
"Boleh jadi sesiapa sahaja, tidak kira dari mana-mana latarbelakang, profesion, atau pendidikan.
"Mereka juga tidak semestinya mempunyai sejarah berperlakuan ganas atau mempunyai rekod jenayah dan sebagainya. Tidak mudah membina profail penjenayah atau anggota kongsi gelap, umpamanya," jelas beliau.
Tegasnya, walaupun hanya segelintir dari 28 juta rakyat Malaysia yang terpedaya dengan dakyah IS melalui media sosial, tetapi semua pihak, daripada institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan perlu berkerjasama untuk membendung ancaman ini.
"Kita harus akui bukan mudah untuk memantau dunia Internet tanpa sempadan, apatah lagi dengan kecanggihan teknologi maklumat yang membolehkan sesiapa sahaja mengakses maklumat menggunakan pelbagai gajet, seperti telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berhadapan dengan pelbagai kekangan dalam usaha menghalang penyebaran ideologi IS di kalangan rakyat Malaysia dengan pelbagai cara pemantauan.
Katanya, isu ancaman propaganda militan IS tidak hanya unik kepada Malaysia kerana ia turut menjadi masalah global.
Mengenai penglibatan enam anggota keselamatan negara yang ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan militan itu, Sundramoorthy berkata, penglibatan mereka perlu diberi perhatian serius kerana ia mungkin melibatkan anggota yang mahir dengan pengendalian senjata.
Bagi organisasi militan seperti ini, anggota tentera dan mereka yang mahir menggunakan pelbagai senjata menjadi sasaran utama untuk membantu mereka menjalankan operasi, katanya lagi.
Pemulihan
Ditanya sama ada kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan sistem pemulihan kepada rakyat Malaysia yang pulang dari menyertai gerakan militan di luar negara - dan bukannya menghukum mereka dengan tindakan undang-undang seperti yang diamalkan di negara lain, beliau berkata itu bukanlah langkah yang wajar.
"Hakikatnya adalah, bukan mudah untuk memulihkan mereka 100 peratus kerana ia melibatkan indoktrinasi ideologi yang amat mendalam.
"Saya fikir adalah lebih baik kerajaan dan masyarakat menumpukan kepada pencegahan daripada mencari jalan untuk pemulihan," katanya.
Sehingga kini, Malaysia telah menahan seramai 111 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan itu sejak tahun lepas. Daripada jumlah itu, enam telah didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 66 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan IS berada di Syria dan Iraq dengan 11 dilaporkan terkorban.