Filipina Tahan Rakyat Malaysia Bersama Bahan Letupan

Muzliza Mustafa
2016.10.26
Kuala Lumpur
161026-my-suspect-620.jpg Tentera Filipina menguruskan beg mayat ahli kumpulan militan Abu Sayyaf selepas pertempuran bersenjata di Kampung Bongkaong, Bandar Patikul, Wilayah Sulu, selatan Pulau Mindanao, 26 Ogos, 2016.
AFP

Tentera Filipina menahan seorang lelaki warga Malaysia, dengan bahan letupan, yang dipercayai anggota kumpulan militan di sebuah pelabuhan di pekan Maluso yang cuba untuk kembali ke Malaysia baru-baru ini, menurut laporan media negara itu.

Media tempatan Filipina melaporkan komander Briged Infantri ke-104 tentera Filipina, Kolonel Cirilo Donato sebagai berkata, semasa tangkapan dilakukan lelaki yang dipecayai dari sebuah kem Abu Sayyaf itu kelihatan sedang bergegas untuk meninggalkan negara berkenaan di kawasan yang mempunyai banyak motorbot di selatan Maluso.

“Berdasarkan kepada maklumat dari orang awam, yang mengatakan lelaki berkenaan dilihat berada di kem Abu Sayyaf di Barangay Baguidan, Tipo –Tipo, sebuah kawasan yang dirampas oleh pihak tentera sejak Ogos lepas,” kata Donato seperti laporkan media Philippine Star pada Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam reaksinya terhadap penahanan berkenaan, mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata warga Malaysia itu dipercayai berasal dari Kelantan.

“Saya sahkan lelaki itu rakyat Malaysia…, dan beliau sekarang ini berada di bawah tahanan pihak tentera Filipina,” kata beliau kepada media di Kuala Lumpur pada Rabu.

Khalid bagaimanapun tidak mendedahkan identiti lelaki berkenaan.

Media tempatan Filipina turut melaporkan bahawa pasukan risikan tentera negara itu, kini sedang melakukan siasatan jika rakyat Malaysia tersebut mempunyai sebarang hubungan dengan kumpulan militan di selatan Filipina.

Donato seperti dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan bagi menyiasat jika suspek pernah menjalani latihan dengan Abu Sayyaf dalam pembuatan bom kerana semasa beliau ditahan terdapat bahan letupan buatan sendiri bersamanya.

Rakyat Malaysia kedua


Penahanan terbaru oleh pihak tentera itu merupakan yang kedua melibatkan rakyat Malaysia yang dipercayai mempunyai hubungan atau terlibat dengan kumpulan pengganas.

Awal bulan ini, Polis Filipina telah menggagalkan cubaan seorang kumpulan militan yang dikenali sebagai Mohamas Amin yang mahu melakukan serangan bom di tengah-tengah bandar raya Manila dalam operasi khas di Quezon City, dengan menangkap lelaki berkenaan pada kira-kira pukul 4 pagi.

Mohamas Amin, dipercayai seorang pakar membuat bom, merupakan antara militan yang dikehendaki dan kerajaan Filipina menawarkan sebanyak 600,000 peso (lebih RM51,600) bagi sesiapa yang membantu menangkapnya.

Turut ditahan untuk disoalsiasat bersama beliau ialah Bilal Kaalam, pemilik rumah di mana Amin dipercayai tinggal bersama Adnan Malangkis yang juga dipercayai rakannya, bersama lapan lagi penyewa rumah.

Pihak berkuasa Filipina percaya ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai hubungan dengan kumpulan Abu Sayyaf di Sulu.

Berikutan serbuan itu, polis menjumpai dan merampas, pecahan membuat bom, beberapa butir peluru, pelbagai kad pengenalan, satu pelan tindakan sebuah pusat membeli-belah yang mempunyai kondominium di Quezon City dan telefon selular.

Mohamas Amin yang juga dikenali sebagai Asman, Akman Amin dan Amin Aklam merupakan seorang pakar bom dengan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya atas kes bunuh di sebuah mahkamah di Jolo, Sulu.

Perniagaan menguntungkan

Kumpulan Abu Sayyaf, rangkaian militan yang berjanji setia kepada IS, telah mengumpul berjuta-juta dolar hasil daripada kegiatan penculikan sejak kebelakangan ini, menurut laporan dalam talian.

Tahun ini sahaja, Abu Sayyaf telah mengumpul sekurang-kurangnya $354.1 juta peso (AS$7.3 juta) hasil daripada pembayaran wang tebusan, laman web berita yang berpangkalan di Filipina Rappler.com melaporkan.

Tentera Filipina telah diarahkan oleh presiden baru negara itu, Rodrigo Duterte, yang berikrar mengambil tindakan keras terhadap kumpulan militan Abu Sayyaf yang berpusat di selatan negara berkenaan.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein pada September mengumumkan bahawa kerajaan negara itu berhasrat untuk meningkatkan keselamatan di timur Sabah dengan tujuan menghindari ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan pengganas yang berpangkalan di Timur Tengah yang menamakan diri mereka Negara Islam (IS) dan juga oleh Abu Sayyaf dan lain-lain kumpulan militan di selatan Filipina.

Kumpulan pelampau berkenaan juga telah memancung kepala sekurang-kurangnya tiga lelaki tahun lalu apabila tuntutan wang tebusan tidak dipenuhi. Dua rakyat Kanada telah dipenggal kepala mereka pada April dan Jun manakala seorang lelaki Malaysia, Bernard Then, juga telah dipenggal kepalanya pada November 2015

Sementara itu, Filipina, Malaysia dan Indonesia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat yang bertujuan untuk meningkatkan keselamatan terhadap pelayar di rantau itu. Ketiga-tiga negara jiran berkenaan telah berbincang mengenai keperluan rondaan maritim secara bersama dalam menghentikan penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf dan kumpulan lain di laut Sulu dan Sulawesi yang bersempadan dengan kesemua negara, tetapi masih belum melancarkan sebarang rondaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.