Militan di sempadan Myanmar jadi tali barut dalam rangkaian penipuan serantau

Bank, perbadanan serta ahli politik di Thailand dan Malaysia turut dikenal pasti dalam laporan kumpulan hak asasi manusia.
Staf RFA dan BenarNews
2024.06.13
Mae Sot, Thailand
Militan di sempadan Myanmar jadi tali barut dalam rangkaian penipuan serantau Anggota tentera Thailand berkawal di depan Mae Sot dalam Wilayah Tak, Thailand, 13 April 2024.
[Athit Perawongmetha/Reuters]

Pasukan militan etnik minoriti berpangkalan di sempadan Myanmar dan Thailand disyaki menjadi tali barut sindiket penipuan Internet, pemerdagangan manusia, buruh paksa dan jenayah lain yang semakin berleluasa serta diperkaya oleh rangkaian perniagaan yang merentasi seluruh Asia, kata kumpulan hak asasi manusia dalam satu laporan.

Kumpulan Justice for Myanmar memperincikan banyak hubungan perniagaan yang telah ditubuhkan oleh Pasukan Pengawal Sempadan Karen atau BGF, yang bersekutu junta di Thailand, Malaysia serta lain-lain dan ia menggesa Kerajaan terbabit bertindak untuk menghentikan aktiviti haram itu.

Kumpulan militan itu ditubuhkan oleh pejuang yang berpisah daripada kumpulan pemberontak Kesatuan Kebangsaan Karen pada 1990-an dan memihak kepada junta. Ia menjadi antara beberapa Pasukan Pengawal Sempadan yang disokong tentera pada 2009.

Kawalan ke atas laluan lintasan di sempadan memberikan kumpulan itu akses kepada aliran hasil yang lumayan manakala zon yang diperintah sendiri menjadi magnet bagi kasino haram, perjudian dalam talian dan pusat penipuan yang berkembang pesat di sepanjang sempadan Myanmar dengan China dan Thailand.

Operasi itu, yang didalangi kumpulan samseng di seluruh rantau ini selalunya mengerah tenaga orang yang ditipu bahawa mereka telah mendapat pekerjaan yang sah namun terpaksa menggunakan identiti palsu dalam talian serta digelar sebagai skim "menyembelih babi," membentuk hubungan dengan mangsa kemudian menipu mereka untuk melabur dalam skim palsu.

Penyelidik Universiti Texas menganggarkan dalam laporan Mac bahawa penipu telah menipu para pelabur membabitkan kerugian lebih AS$75 bilion sejak Januari 2020.

Ketua kumpulan Karen, Saw Chit Thu “telah membina rangkaian perniagaan jenayah dengan ahli keluarga dan rakan sekutunya … … (mengawasi) percambahan kasino haram, perjudian dalam talian dan pusat penipuan siber yang diusahakan menggunakan tenaga buruh yang diperdagang dari seluruh dunia serta dipaksa melakukan jenayah, diseksa dan diperas ugut.”

“Sebagai balasan, tentera Myanmar menerima manfaat melalui keuntungan hasil jenayah terancang BGF,” menurut kumpulan hak asasi manusia itu dalam laporannya.

Saw Chit Thu tidak menjawab panggilan telefon RFA yang ingin mendapatkan komen.

Seorang pegawai BGF, Mejar Tin Win, dalam temu bual baru-baru ini dengan portal berita Irrawaddy, berkata kumpulannya hanya memiliki "perniagaan kecil" dan beliau tidak tahu mengenai operasi penipuan.

Beliau berkata kumpulannya telah menyewakan tanah untuk kasino dan memiliki sedikit pengetahuan tentang operasi mereka selain penggunaan komputer dan menafikan dakwaan menggunakan buruh paksa kerana kumpulannya sudah meneliti perkara itu namun tidak mengesan kes sedemikian.

RFA gagal menghubungi Mejar Tin Win untuk mendapatkan komen.

Bagaimanapun, jurucakap Justice for Myanmar Yadanar Maung berkata kerajaan dan perniagaan di seluruh rantau ini membolehkan penipuan siber beroperasi apabila gagal mengambil tindakan tegas terhadap aliran menguntungkan yang mereka hasilkan.

“Organisasi jenayah rentas negara telah mewujudkan rangkaian di Thailand, Malaysia, Singapura dan Kemboja yang meraih keuntungan daripada kegiatan penyeludupan, buruh paksa dan mencuri kekayaan daripada mangsa penipuan di seluruh dunia,” menurutnya dalam kenyataan kepada RFA.

“Walaupun kerajaan terbabit gagal mengambil tindakan keras terhadap pelabur yang kadangkala mempunyai hubungan baik dan meraih untung daripada jenayah ini.”

Perniagaan Thailand

Hab operasi perniagaan BGF ialah Shwe Kokko, sebuah bangunan yang luas dan gah di tepi sungai yang bersempadan dengan Myanmar, kira-kira 32 kilometer (20 batu) di utara bandar Thai Mae Sot.

Di situlah usahasama yang dikenali sebagai Yatai International Holding Group Company Limited ditubuhkan oleh Pasukan Pengawal Sempadan dan ahli perniagaan bernama She Zhijiang untuk membangunkan projek hartanah Yatai New City Shwe Kokko, menurut Justice for Myanmar dalam laporannya.

She Zhijiang ialah warganegara Kemboja secara naturalisasi yang dilahirkan di China serta memiliki perniagaan hartanah dan perjudian di seluruh Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Beliau telah diberkas di Thailand pada 2022 dan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Britain mengenakan sekatan ke atas She Zhijiang pada 2023 bersama-sama Saw Chit Thu dan seorang lagi pegawai tertinggi dalam pasukan keselamatan di sempadan, Kolonel Min Min Oo kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia, buruh paksa dan penderaan lain.

RFA gagal menghubungi Min Min Oo untuk mendapatkan komen.

Yatai berkata perniagaannya didaftarkan di Hong Kong dan beribu pejabat di Bangkok. Alamat Thailand yang disenarai dalam talian adalah sepadan dengan alamat sebuah hotel, Bizotel. Pihak hotel bagaimanapun tidak menjawab soalan RFA.

Satu lagi cawangan, Myanmar Yatai International Holding Group Company Limited, pula telah menyewa sebuah kedai di Lapangan Terbang Mae Sot.

Jabatan Lapangan Terbang Thailand enggan mengulas sama ada Lapangan Terbang Mae Sot mengambil wang daripada Myanmar Yatai International Holding Group atau Pasukan Pengawal Sempadan.

Seorang pegawai yang enggan dikenali memberitahu RFA bahawa jabatan itu tidak dapat mengesahkan sama ada organisasi itu atau sekutunya memiliki cawangan kedai di Lapangan Terbang Mae Sot. Lapangan Terbang Mae Sot menyenaraikan kedai di laman sesawangnya.

Beberapa syarikat utama dari sektor kewangan Thailand sekurang-kurangnya menunjukkan minat terhadap Shwe Kokko, kata Justice for Myanmar dalam laporannya.

Ia menerbitkan gambar individu yang dikatakan sebagai wakil empat bank di Thailand melawat Shwe Kokko pada 2020.

Ia turut memetik rakan sekutu Thai BGF yang dikatakan telah menyiarkan gambar itu dan menyatakan tujuan lawatan itu adalah "untuk meneroka potensi sokongan kewangan untuk ekonomi yang sedang berkembang."

13 TH-MN-border2.jpg

Dalam imej ini yang terdapat dalam laporan Justice for Myanmar, wakil bank-bank Thailand telah mengambil kesempatan untuk bergambar di Shwe Kokko pada 2020, menurut Justice for Myanmar. (Imej daripada Justice for Myanmar)

Menurut Justice for Myanmar, ia tidak dapat mengesahkan sama ada bank-bank Thailand telah mencapai persetujuan.

Seorang lelaki yang dipaksa bekerja dalam apa yang disifatkannya sebagai operasi penipuan di zon itu berkata keluarganya perlu membayar sejumlah wang untuk mengeluarkannya.

Lelaki Cina berusia 28 tahun itu, yang mahu dikenali sebagai Neo Lu, memberitahu RFA bahawa beliau telah ditipu dan dipaksa bekerja di kawasan itu pada Jun 2022.

Selepas pembebasan Lu yang diuruskan oleh seorang warga China yang enggan dikenali, seorang ahli BGF bersetuju membawa beliau menyeberangi sempadan dengan bayaran untuk penyeludupan.

Dalam mesej teks yang dilihat oleh RFA, Lu meminta ibu bapanya membayar 15,000 baht (AS$409) melalui Bank Kasikorn Thailand ke dalam akaun yang ditetapkan oleh BGF milik "Mrs Win."

Bank Kasikorn tidak menjawab permintaan RFA untuk mendapatkan komen.

Perkaitan di Malaysia

Pelabur utama di tempat Lu dipaksa bekerja iaitu Dongmei Park, yang terletak di selatan bandar Myawaddy, ialah bekas bos mafia China yang dikenakan sekatan oleh Washington iaitu Wan Kuok-koi yang juga dikenali sebagai Broken Tooth, Yin Gouju.

Dia juga dikehendaki polis Malaysia, kata Justice for Myanmar dalam laporan mereka.

Kumpulan itu berkata Wan, bekas ketua 14K, menubuhkan Dongmei Park melalui hubungan baiknya dengan "warganegara Malaysia yang berpengaruh."

Mereka termasuk Mashitah Ibrahim, seorang ahli politik parti pemerintah di Malaysia selama beberapa dekad iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan suaminya, Abdul Shakor Abu Bakar serta dua individu bernama Sri Liong Kee Huat dan Yong Mun Hong.

Amerika Syarikat pada 2020 telah mengenakan sekatan ke atas Wan dan Dongmei Park, nama lain untuk Dongmei Investment Group Co. Ltd.

Mashitah, yang masih aktif dalam politik bersama UMNO, adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 2008-2013.

BenarNews, sebuah perkhidmatan berita dalam talian yang bersekutu dengan RFA, telah beberapa kali menghubungi telefon bimbit Mashitah untuk mendapatkan komen serta menghantar mesej teks kepadanya, tetapi beliau hanya memberikan respons "Tidak berminat."

Justice for Myanmar berkata Mashitah telah memuat naik hantaran di laman Facebook yang memaparkan bahawa beliau sekurang-kurangnya mengenali Broken Tooth dan dikaitkan dengan projek Dongmei Park.

BenarNews tidak menemui sebarang rekod awam untuk Liong Kee Huat, atau nombor telefon Yong Mun Hong. Tiada siapa yang membuka pintu sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang disenaraikan di bawah nama Mun Hong dalam pendaftaran korporat Kumpulan Dongmei di Hong Kong.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen mengenai penglibatan pelabur Malaysia dengan bekas bos kumpulan mafia itu dan kumpulan militan Myanmar.

Justice for Myanmar menggesa agar kerajaan di Asia mengambil tindakan berhubung perkara itu.

“Rangkaian perniagaan jenayah ini adalah satu ancaman global … menyebabkan kesengsaraan yang meluas terhadap masyarakat tempatan, pekerja dari seluruh Myanmar dan dunia yang dikurung serta dilayan seperti hamba abdi, selain mangsa penipuan siber di mana sahaja,” katanya dalam laporan.

“Pihak berkuasa di rantau ini khususnya China, Hong Kong, Kemboja, Malaysia, Singapura dan Thailand harus menyiasat penglibatan rakyat, penduduk dan syarikat mereka yang melakukan, menjadi dalang dan mendapat manfaat daripada jenayah rentas negara serta pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan di Myanmar dan meminta mereka bertanggungjawab,” kata kumpulan itu.

Kiana Duncan di Mae Sot, Thailand, Pimuk Rakkanam di Bangkok, Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur dan Shailaja Neelakantan di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.