Follow us

Lelaki Mengaku Anggota IS Ancam Letupkan Kementah

Hata Wahari
2016-01-21
E-mel
Komen
Share
Pasukan tentera khas Malaysia mempamerkan kemahiran mengendalikan senjata semasa sambutan Hari Angkatan Tentera di Kuala Lumpur. 21 September 2013
Pasukan tentera khas Malaysia mempamerkan kemahiran mengendalikan senjata semasa sambutan Hari Angkatan Tentera di Kuala Lumpur. 21 September 2013
AFP

Polis Malaysia menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang mengaku menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) serta mahu meletupkan Kementerian Pertahanan (Kem Kementah) di Kuala Lumpur pada Rabu malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Tajuddin Md. Isa berkata, tindakan lelaki itu untuk menceroboh Kem Kementah bagaimanapun berjaya dihalang oleh anggota Polis Tentera yang mengawal pintu masuk utama kementerian berkenaan.

“Polis menerima laporan pada pukul 8.10 malam Rabu dari pos pengawal Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur menyatakan ada seorang lelaki cuba menceroboh.Bagaimanapun, anggota pengawal berjaya menghalang lelaki tersebut memasuki kem berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang diperolehi oleh BeritaBenar pada Khamis.

Beliau berkata, semasa menghampiri pintu masuk pengawal dan disoal siasat, lelaki itu menegaskan yang dia adalah anggota IS serta membawa bahan letupan bersamanya.

Tajuddin memberitahu sepasukan anggota polis telah dikerahkan ke Kem Kementah dan hasil pemeriksaan dan soal siasat mendapati dalam beg silang yang dibawa lelaki yang berasal dari Gombak, Selangor itu, barangan seperti ubat, tasbih, pen dan wang berjumlah RM45.

“Tiada sebarang bahan letupan ditemui bersama dengan suspek dan lelaki itu kini ditahan di Balai Polis Jalan Tun Razak untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya sambal menambah suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Dalam pada itu, akhbar The Star yang memetik Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohamad Roy Suhaimi Sarif sebagai berkata, suspek dipercayai mempunyai keadaan mental yang tidak stabil serta mendakwa telah menerima perintah daripada Yang di-Pertuan Agong untuk pergi ke Kem Kementah dan bertemu orang kenamaan di ibu pejabat Kementerian itu.

Memberi reaksi mengenai ancaman letupan oleh lelaki yang mendakwa anggota IS itu, Pensyarah Kriminologi Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, adalah tidak masuk akal bagi seorang yang waras boleh melakukan serangan keatas ibu pejabat Kementerian Pertahanan seorang diri.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut tidak boleh diambil mudah kerana ia melibatkan keselamatan negara…. anggota keselamatan telah mengendalikan perkara itu dengan bijak,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.

Sementara itu, seorang anggota tentera dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis setelah mengaku bersalah memiliki 11 penerbitan yang berkaitan kumpulan militan IS.

Hakim Azman Abdullah memerintahkan Prebet Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 25, dari Mahang, Kulim, Kedah, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos lepas.

Azman semasa penghakimannya turut memarahi tertuduh kerana menyimpan bahan-bahan berkaitan kumpulan militan dalam telefon bimbitnya dan menyifatkan perbuatannya itu sebagai tidak bertanggungjawab.

“Anda seorang askar, kami takut bahawa orang lain yang berminat dalam aktiviti-aktiviti pengganas boleh mengambil kesempatan daripada anda kerana anda mempunya akses kepada senjata api,” kata hakim itu dalam laporan yang dipetik dari media tempatan.

Hari ini, dalam mahkamah yang sama Azman juga menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada seorang bekas penuntut universiti awam di Perlis kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan Turkish Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Turki untuk menjadi anggota kumpulan itu.

Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 24, penuntut jurusan kejuruteraan marin itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di hadapan pintu C15, Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA pada kira-kira pukul 10.15 malam, 28 Dis 2014.

Azman memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Dis 2014.

S. Adie Zul turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh