Polis Malaysia tahan lebih 1,000 pendatang asing di sekitar ‘Mini Dhaka’
2023.12.21
Kuala Lumpur
Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis telah menahan lebih seribu pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan besar-besaran yang menyasarkan lokasi tumpuan aktiviti golongan migran di pinggir bandaraya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’, susulan kebimbangan mengenai tingkah laku yang tidak sihat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak segera menyatakan dari negara mana asal mereka tetapi berkata mereka telah mengakses harga subsidi kerajaan untuk barangan keperluan yang hanya diberikan kepada rakyat tempatan, dan pentadbiran sedang berusaha untuk menamatkan "kebocoran" subsidi tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai 1,101 warga asing telah ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah apabila diperiksa dalam operasi melibatkan pelbagai agensi yang berlangsung selama lima jam di sekitar ibunegara.
“Operasi bersepadu di kawasan yang dikenali sebagai ‘Mini Dhaka’ di kalangan warga Kuala Lumpur itu dijalankan ekoran maklumat yang diterima berkaitan aktiviti pendatang asing tanpa izin yang terlalu ramai di kawasan tersebut yang juga dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah lain.
“Ekoran maklumat tersebut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, dibantu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Polis Trafik dan unit pengesan bersama serta beberapa lagi agensi berkaitan telah melakukan operasi bersepadu di beberapa lokasi sekitar ibunegara.
“Hasilnya kita telah menahan sejumlah 1,101 orang pendatang asing tanpa izin selepas membuat tapisan,” kata Allaudeen kepada media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Beliau berkata kebanyakan PATI ditahan ketika sedang bekerja dan menjalankan pelbagai aktiviti lain itu, akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen selepas selesai proses dokumentasi.
BenarNews difahamkan kebanyakan mereka adalah warganegara Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
Menurut Allaudeen, polis turut merampas pelbagai barang seludup seperti rokok dan pelbagai jenis ubat-ubatan yang diimport dari Bangladesh dan Nepal tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Antara rampasannya adalah 100 karton rokok bernilai RM22,000 mengikut seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, sejumlah 80 karton arak bernilai RM48,000 juga di bawah akta yang sama serta ubat-ubatan tanpa kelulusan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, sebuah premis didapati menjalankan kegiatan menjual ubat-ubatan dipercayai untuk kegunaan pendatang tanpa izin bagi kawasan tersebut turut disita bersama ubat-ubatan bernilai RM34,530.
“Jumlah nilai rampasan keseluruhan bernilai lebih RM104,000… dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengambil tindakan susulan terhadap mana-mana pemilik premis yang dikesan menyewa premis mereka kepada warga asing tanpa izin.
“Operasi bersepadu ini dijalankan selari dengan hasrat kerajaan untuk membebaskan Malaysia daripada pendatang tanpa izin, selain mengurangkan ketirisan subsidi kerajaan yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan,” tambah Ketua Polis Kuala Lumpur itu lagi.
Sebahagian daripada pendatang tanpa izin yang ditahan dalam satu operasi bersama oleh pihak berkuasa Malaysia di sekitar Kuala Lumpur, 21 Disember 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Serbuan tidak beri kesan
Dalam reaksi kepada operasi besar-besaran berkenaan, Adrian Pereira, aktivis hak buruh dan migran menegaskan langkah tersebut tidak membantu mengurangkan masalah warga asing tanpa dokumen di Malaysia.
Sebaliknya, beliau menegaskan pihak berkuasa seharusnya memberi lebih tumpuan menangani isu buruh paksa di kalangan pekerja migran.
“Sebenarnya, operasi sebegini tidak mempunyai kesan dan tidak pernah mengurangkan masalah migran tanpa dokumen di negara ini, sebaliknya ia hanya membazirkan sumber, masa dan wang.
“Ribuan anggota keselamatan yang dikerahkan untuk serbuan sebegitu sebaiknya digerakkan untuk menghentikan isu buruh paksa melibatkan pekerja migran, bukannya memburu migran tanpa dokumen.
“Ia tidak berkesan. Hanya membazirkan sumber negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya kepada BenarNews.
Adrian turut membidas dakwaan sesetengah pihak kononnya warga asing dan pekerja migran bersikap seperti rakyat tempatan.
“Ia hanyalah propaganda tidak berasas yang cuba mengalihkan perhatian daripada kepincangan pentadbiran dalam menjalankan tanggungjawab,” dakwanya lagi.
Berhubung rampasan ubat-ubatan impot tanpa kebenaran dalam operasi tersebut, beliau berkata ia adalah kesan daripada langkah Kerajaan menghentikan subsidi perubatan kepada warga asing sejak 2016.
“Ini menyebabkan ramai di kalangan mereka telah terkeluar dari akses kepada sistem kesihatan khususnya kemampuan untuk mendapatkan rawatan pesakit luar bagi penyakit yang tidak berpunca dari tempat kerja.
“Disebabkan itu, mereka terpaksa mencari ubat alternatif sama ada melalui kaedah formal atau tidak formal. Ini berpunca daripada kegagalan polisi kesihatan Malaysia untuk pekerja migran. Kita tidak boleh menyalahkan mereka,” ujarnya lagi.