Minoriti Rakyat Malaysia Persoal Jika Kerajaan Baharu Mewakili Mereka

Hadi Azmi
2020.03.06
Kuala Lumpur, Malaysia
200306-MY-Minorities1000.jpg Rakyat Malaysia membantah pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri semasa satu perhimpunan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 29 Feb 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ketika beliau pertama kali berucap sebagai perdana menteri Malaysia yang baharu, Muhyiddin Yassin berjanji akan berkhidmat kepada “semua rakyat Malaysia” namun golongan bukan Melayu sudah pun mengkritik kerajaannya dengan mendakwa bahawa pakatan pemerintahannya yang sebahagian besarnya terdiri daripada bangsaa Melayu telah secara efektif menutup peluang golongan minoriti.

Blok Perikatan Nasional Muhyiddin didominasi oleh parti-parti yang anggotanya terdiri daripada majoriti Melayu beragama Islam, dan hanya tiga ahli parlimen daripada parti bersekutu yang mewakili golongan minoriti.

Perkara itu amat berbeza dengan Pakatan Harapan yang menyaksikan golongan minoriti diwakili dengan baik namun ia tumbang minggu lepas dalam tempoh kurang dua tahun selepas mencipta kemenangan yang menakjubkan dalam pilihan raya.   

Charles Santiago, Ahli Parlimen yang mewakili parti berbilang kaum iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP), mengkritik langkah Muhyiddin keluar Pakatan Harapan dan meraih kuasa selepas bergabung dengan parti yang pernah memerintah negara berbilang kaum itu sebelum pilihan raya 2018.

“Malaysia telah ditubuhkan sebagai sebuah negara berbilang kaum dan sekular oleh pengasas-pengasasnya. Ini merupakan satu ujian terhadap wawasan pengasas-pengasas Malaysia,” kata Santiago kepada BeritaBenar.

“Ia kini sebuah kerajaan yang begitu berbeza daripada agenda pembaharuan yang dibawa dalam PRU14 oleh semua rakyat Malaysia. Suara golongan bukan Melayu akan tenggelam,” katanya merujuk kepada pilihan raya umum ke-14 negara itu yang berlangsung pada Mei 2018.

Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad menubuhkan parti politik Bersatu, yang menyertai parti-parti lain pada 2018, termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), untuk menewaskan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungannya yang telah berkuasa sejak permulaan Malaysia sebagai sebuah negara.

Santiago berkata beliau bimbang mengenai UMNO, parti bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berdepan pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan penyelewengan berbilion dolar daripada dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau bimbang jika UMNO menggunakan kuasa yang dimilikinya semula untuk mendesak Muhyiddin menggugurkan pertuduhan terhadap Najib dan yang lain-lain, termasuk Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Jika PM berbuat demikian, maka beliau akan dilihat sebagai lemat dan bersubahat dengan mereka yang telah ditolak oleh rakyat. Ini akan menjadikan kerajaan sukar diuruskan dan saya tidak tahu bagaimana mereka akan melakukannya,” kata Santiago.

Katanya beliau juga bimbang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang konservatif, yang bersekutu dengan Bersatu dan UMNO yang menerajui gabungan Barisan Nasional untuk membentuk Perikatan, akan mencari jalan untuk memperkenalkan undang-undang syariah ke dalam sistem keadilan jenayah.

Sejurus selepas mengangkat sumpah pada 1 Mac, Muhyiddin, seorang PM bukan pilihan rakyat, cuba melenyapkan kebimbangan golongan minoriti di negara itu. Orang Melayu menyumbang kira-kira 60 peratus daripada sejumlah 32 juta penduduk Malaysia.

“Saya adalah perdana menteri semua rakyat Malaysia, dari Perlis hingga Sabah. Apa sahaja bangsa atau etnik, saya adalah perdana menteri anda. Berilah saya peluang untuk menggunakan pengalaman saya selama 40 tahun dalam politik dan kerajaan untuk membawa Malaysia kepada masa depan yang gemilang,” kata ahli politik berusia 72 tahun dalam ucapan yang disiarkan ke seluruh negara oleh stesen pada keesokan harinya.

Jaminan beliau itu kurang meyakinkan sesetengah pengundi golongan minoriti.

“Saya rasa seperti dikhianati, seperti suara saya langsung tiada nilai apabila keadaan seperti ini berlaku,” kata pelukis komik Ng Thye Sern, 34, kepada BeritaBenar.

Ng, seorang yang berbangsa Cina, berkata beliau amat bimbang mengenai status perbicaraan membabitkan Najib, Ahmad Zahid dan isteri Najib, Rosmah Mansor, yang berdepan pertuduhan berkaitan 1MDB. Pendakwa AS mendakwa bahawa lebih $4.5 bilion (18.8 bilion ringgit) telah diseleweng daripada 1MDB.

“Saya bimbang kesemua yang tertuduh akan dibebaskan dan saya kecewa bahawa negara inni sekali lagi diperintah oleh mereka yang korup,” kata Ng.

Seorang lagi rakyat Malaysia dari kaum Cina, Bok Chek Chu, penduduk Pulau Pinang berusia 58 tahun berkata beliau tidak menaruh harapan yang tinggi kepada tiga ahli parlimen bukan Melayu yang menjadi sebahagian daripada gabungan pemerintah baharu.

“Mereka adalah dari MCA dan MIC, yang jelas telah ditolak oleh rakyat pada pilihan raya lepas,” katanya.

Mengambil alih jawatan pada Mei  2018 selepas satu keputusan pilihan raya yang mengejutkan, Mahathir mengambil langkah membentuk sebuah kabinet yang inklusif.

Antara langkah pertama beliau ialah melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Pelantikan Thomas, seorang yang beragama Kristian dan berbangsa India pertama memegang jawatan itu telah menimbulkan kemarahan orang Melayu beragama Islam berhaluan kanan yang bimbang mengenai status Islam sebagai agama Persekutuan.

Thomas meletak jawatan minggu lepas yang menyebabkan Muhyiddin menamakan Hakim Mahkamah Persekutuan Idrus Harun sebagai Peguam Negara yang baharu pada Jumaat.

Sejurus selepas mengangkat sumpah dua tahun lepas, Mahathir turut menamakan Lim Guan Eng, yang berbangsa Cina dan anggota DAP, sebagai menteri kewangan.

Setakat ini, selepas beberapa hari Muhyiddin menjadi perdana menteri, DAP, PKR atau apa yang tinggal daripada Pakatan Harapan belum tampil dengan kenyataan umum yang mempertikai ketiadaan wakil golongan minoriti dalam kerajaan baharu.

Ahli Politik UMNO kata ‘itu bukan masalah besar’

Bagaimanapun, menurut bekas anggota Majlis Tertinggi UMNO Shahrir Samad, ketiadaan kepelbagaian dalam gabungan Muhyiddin tidak sepatutnya menjadi satu isu.

“Itu bukan satu masalah besar kecuali bagi mereka yang rasis. Lim Guan Eng berada di puncak kekuasaan dan itu tidak menjadikan keadaan bertambah baik kepada kaum Cina,” kata Shahrir yang hilang kerusi parlimennya kepada calon Pakatan pada 2018.

Beliau menggesa anggota komuniti Cina agar lebih pragmatik sambil menambah bahawa kebimbangan mereka adalah lebih kepada adakah kerajaan baharu akan menjadikan kehidupan lebih baik selepas “tahun 2019 yang mengecewakan,” dan bagaimana ia akan menangani isu COVID-19.

“Saya percaya semua orang tahu bahawa ia akan menjadi tahun yang sukar. Jadi ia akan menjadi sukar untuk Muhyiddin juga” katanya.

‘Kerajaan satu etnik’

Gabungan baharu boleh melakukan kesilapan dengan tidak mengiktiraf bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, kata James Chin, seorang penganalisis di Institut Asia, Universiti Tasmania.

Beliau menyifatkan realiti baharu politik Malaysia sebagai sebuah kerajaan satu etnik dalam negara berbilang kaum.”

“Adalah sesuatu yang bahaya jika mereka cuba mentadbir sebuah kerajaan hanya untuk satu bangsa,” katanya kepada BeritaBenar.

“PAS, saya percaya, sekali lagi akan cuba mengusulkan RUU355, kali ini sebagai parti pemerintah yang bermakna mereka tidak akan dihalang daripada membentangkannya di parlimen,” katanya. RUU355 merujuk kepada percubaan PAS sebelum ini yang gagal untuk memperkenalkan pindaan dalam usaha memberikan kuasa yang lebih besar kepada mahkamah syarikah di negara ini.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik di Universiti Malaya, menyarankan agar bukan Melayu mendapatkan semula kuasa selepas tumbangnya Pakatan dan kebangkitan Perikatan.

“Saya percaya cakap-cakap bahawa suara mereka dinafikan semakin meningkat susulan apa yang berlaku minggu lepas,” kata Awang Azman sambil menambah bahawa “pemimpin pilihan mereka menang secara adil pada pilihan raya lepas.”

Sesetengahnya, bukan semua, dalam kalangan kaum Cina mungkin menjadi acuh tak acuh dan melihat sentimen demokrasi sebagai sesuatu yang hanya membuang masa,, katanya. Bagi yang lain, perubahan pemimpin hanya berfungsi sebagai satu pemangkin.

“Mereka tidak putus harapan terhadap demokrasi, mereka akan bangkit semula dalam diam,” katanya.

 

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.